Sunday 31 December 2023

Nara - Osaka - Tokyo Travelogue 2023 (Episod 1) : Persiapan sebelum bertolak

 *Untuk entry Travelogue dan Siri Tips yang terdahulu, sila klik pada link di bawah ;


*Untuk entry Travelogue Nara - Osaka - Tokyo 2023 kali ini, saya tidak lagi menggunakan format masa, tapi akan membahagikan setiap entry mengikut tempat-tempat yang kami pergi. Semoga ia akan lebih mudah untuk dijadikan rujukan pembaca, insyaAllah.

------------------------------------------------

Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.

Pada 2 hingga 10 Disember 2023 yang lalu, alhamdulillah, saya bersama isteri dan anak tersayang telah selamat pergi dan balik ke Jepun, yang mana kali ini kami telah pergi ke 3 bandar besar iaitu Nara, Osaka, dan Tokyo, selain sempat pergi trip balik hari ke Kawaguchiko. Untuk trip kami pada kali ini, kami telah berkesempatan pergi ke 4 taman tema, iaitu Ikomasanjo (Nara), Universal Studio Japan (Osaka), Tokyo Disneyland (Tokyo), dan Sanrio Puroland (Tokyo). 


Kali terakhir saya ke Jepun adalah pada tahun 2016, yang mana saya telah pergi ke Osaka dan Kyoto bersama ibu dan isteri saya. Boleh rujuk catatan perjalanan atau travelogue yang saya kongsikan di SINI.

Untuk entry pertama siri travelogue Nara - Osaka - Tokyo 2023 ini, saya akan berkongsikan tentang persiapan sebelum menjejakkan kaki di bumi Jepun.
                            
------------------------------------------------------------------------------------------

(Episod 1) : Persiapan sebelum bertolak

Seperti percutian kami sebelum ini, kami telah membuat persiapan awal dengan membeli tiket kapal terbang, menempah hotel, dan membeli tiket masuk ke lokasi-lokasi tarikan yang ingin dikunjungi bermula kira-kira 5 bulan sebelum perjalanan kami. 

Kami terlebih dahulu memilih lokasi-lokasi tarikan yang ingin kami pergi sepanjang 9 hari 7 malam di Jepun, sebelum mula merancang kaedah pengangkutan dan tempat penginapan kami di sana.

Terdapat banyak lokasi-lokasi tarikan yang menarik di Nara, Osaka, dan Tokyo, tetapi disebabkan kami cuma ada masa yang singkat, maka kami telah memilih lokasi-lokasi yang dirasakan berbaloi dan sesuai untuk kami tiga beranak iaitu ;

Nara 
1. Ikomasanjo Amusement Park
2. Nara Park

Osaka
1. Dotonbori
2. Universal Studios Japan (USJ)

Tokyo
1. Tokyo Station
2. Tokyo Camii Mosque
3. Shibuya & Shibuya Sky
4. Tokyo Disneyland
5. Shimoyoshida (Chureito Pagoda, Honcho Street)
6. Lake Kawaguchiko
7. Shinjuku
8. Ueno Park
9. Ameyoko
10. Akihabara
11. Sanrio Puroland
12. Gundam Factory Yokohama
13. Asakusa
14. Odaiba

Dalam entry yang berikutnya, saya akan kongsikan informasi dengan lebih lanjut tentang tempat-tempat yang telah kami pergi, insyaAllah.

1. Penerbangan


Untuk penerbangan pergi ke Jepun, kami telah menaiki kapal terbang AirAsia, penerbangan terus dari Kuala Lumpur (KLIA2) ke Osaka (Kansai International Airport).


Manakala penerbangan balik dari Jepun ke Malaysia pula, kami telah menaiki kapal terbang VietJet yang mana ada transit dalam 2 jam di Tan Son Nhat International Airport (Ho Chi Minh). Walaubagaimanapun, saya tak recommend anda gunakan VietJet ni. Nanti insyaAllah saya akan kongsikan pengalaman kami dalam entry akan datang dalam siri travelogue ini.

Apa-apa pun, jangan lupa yang paling penting pastikan passport anda masih sah dan mempunyai sekurang-kurangnya baki 6 bulan dari tarikh anda berlepas! Untuk ke Jepun, warganegara Malaysia tidak memerlukan Visa.


2. Penginapan

Selepas membeli tiket penerbangan dan memilih tempat-tempat yang kami nak pergi, seterusnya kami telah menempah hotel penginapan kami di Nara, Osaka, dan Tokyo menggunakan aplikasi Agoda, Booking.com, dan juga Expedia.

Setelah membuat sedikit kajian dengan meneliti lokasi, membaca rating dan review, membandingkan harga di setiap aplikasi carian hotel, dan menggunakan bajet yang disediakan untuk penginapan, kami telah memilih untuk menempah hotel-hotel berikut ;

1. Guesthouse Nara Komachi untuk penginapan 1 malam kami di Nara.


2. Bande Hotel Osaka untuk penginapan 2 malam kami di Osaka.


3. Toyoko Inn Asakusa Kuramae No.2 untuk penginapan 4 malam kami di Tokyo.


Kesemua hotel yang kami pilih ni memang tak jauh dari stesen train, yang mana menjadi medium pengangkutan utama kami semasa di bumi Jepun.

Tips : Hotel yang sama kadangkala mempunyai harga berbeza di aplikasi carian hotel lain. Jadi gunakanlah beberapa aplikasi carian hotel untuk dapatkan harga yang terbaik. Contohnya, saya menggunakan Agoda, Booking.com, dan juga Expedia.


3. Aplikasi KLOOK

Aplikasi Klook sentiasa menjadi pilihan kami ketika merancang percutian. Dan dengan menggunakan aplikasi Klook, kami telah menempah masuk tiket ke Universal Studio Japan (USJ), Tokyo Disneyland, Shibuya Sky, dan juga Sanrio Puroland. Klook juga merupakan salah satu agen jualan tiket rasmi bagi tempat-tempat tersebut. Jadi tak perlu risau ya?




Tips : Anda juga boleh mendapat lebih penjimatan, yang mana setiap pembelian anda menerusi aplikasi Klook, anda akan menerima Credits yang boleh ditukarkan kepada nilai wang. Setiap kali anda menulis review pada produk atau perkhidmatan yang telah anda gunakan, anda juga akan mendapat Credits. Tapi nilai wang yang ada pada Credits tu hanya boleh digunakan untuk membeli perkhidmatan lain pada aplikasi Klook, tak boleh nak pindah masuk bank ya?



4. SIM card Jepun


Terdapat beberapa pilihan untuk mendapatkan mobile data atau internet di Jepun, antaranya menggunakan portable wifi modem, roaming Telco tempatan kita di luar negara, dan juga mendapatkan SIM card Telco Jepun. 

Pilihan saya adalah menggunakan SIM card yang boleh dibeli dari website Hello1010 ni. Mudah dan murah berbanding yang dijual di tempat lain. Dan yang paling penting, Hello1010 ni memang trusted!

Saya sendiri dah beberapa kali membeli travel SIM card dari Hello1010 ni.

Tips : Gunakan kod "hello1010xrtj" ketika membeli SIM card di website Hello1010 ni untuk dapatkan potongan diskaun (SIM card Jepun sahaja). Kredit pada admin JAck S Adli dari group FB Road To Japan.


5. Cetak dan muatnaik dokumen penting

Perkara yang wajib saya lakukan sebelum pergi bercuti ke luar negara adalah, mencetak dan memuatnaik ke dalam cloud semua dokumen penting. Print atau cetak semua maklumat penting yang diperlukan, antaranya tiket penerbangan, tempahan hotel, tiket masuk atau voucher yang telah dibeli lebih awal, insurans penerbangan, dan itinerary itu sendiri. Manalah tahu, tiba-tiba internet tak dapat digunakan nanti, tak ada pula tempat untuk dirujuk jikalau tiada hard copy itinerary bersama anda. Selain itu, kadangkala, pihak kastam Jepun mungkin akan terlebih rajin dan akan tanya di mana kita akan tinggal semasa di Jepun, jadi maklumat-maklumat ini sangat penting untuk disediakan.


Gunakan aplikasi Google Drive atau apa-apa perkhidmatan cloud, untuk upload dan simpan semua maklumat penting anda seperti itinerary, tiket penerbangan, itinerary penerbangan, insurans penerbangan, tempahan hotel, tiket masuk atau voucher, salinan passport dan kad pengenalan, sijil nikah, dan lain-lain yang dirasakan penting sekiranya berlaku apa-apa di luar negara nanti (mintak dijauhkan).


6. Gunakan SmartTag atau AirTag untuk mengesan lokasi beg

*Saya pernah menulis entry berkenaan SmartTag yang boleh dibaca di SINI.

Mesti ramai yang check in beg semasa naik kapal terbang kan? Bila dah sampai Jepun pula, belum boleh check in hotel lagi sebab masih awal, maka terpaksa tinggal beg di lobi hotel. Ada juga yang gunakan perkhidmatan locker, dan gunakan penghantaran beg dari hotel ke hotel di Jepun. 

Untuk melegakan rasa hati dan tahu di mana lokasi beg kami yang ditinggalkan semasa kami sibuk menikmati jalan-jalan di Jepun, saya telah gunakan SmartTag yang boleh pair dengan telefon Android Samsung ni. *Hanya boleh digunakan di telefon Samsung sahaja.


Menggunakan aplikasi bernama SmartThings, saya boleh tengok di mana lokasi beg kami. Contohnya dalam gambar peta di bawah ni, kami pergi jalan-jalan ke Dotonbori, tapi beg ditinggalkan kat lobi hotel di kawasan Kishinosato-Tamade. 


Dalam gambar di bawah ini pula, lega rasanya bila tengok beg kami dah sama-sama mendarat di KLIA. Ye la, risau juga dah beli barang-barang semua pastu tertinggal ke, hilang ke? 


SmartTag ni kecil je, boleh selit dalam poket kat beg luggage atau backpack. Kalau pengguna iPhone, ada juga versi mereka iaitu AirTag.

Sumber gambar

Tips : SOLUM Smart Tag mempunyai fungsi yang sama dengan Galaxy SmartTag, tapi harganya jauh lebih murah dan lebih mudah didapati di aplikasi jualan dalam talian seperti Shopee. Kedua-duanya boleh digunakan melalui aplikasi Samsung SmartThings.




7. (Tambahan) Gunakan Fitness Tracker atau Smartwatch yang boleh merekod jarak perjalanan

Selesai semua persiapan 1 hingga 6 di atas, tinggal nak persiapkan diri dari segi mental dan fizikal pula. Semasa kami di Jepun, kami telah berjalan secara puratanya lebih dari 13,000 langkah sehari! Ianya bersamaan lebih kurang 9 KM. Ada juga hari yang mencecah 17,000 langkah, bersamaan dengan lebih dari 11 KM!

Contoh rekod langkah saya pada 8 Disember 2023 menerusi aplikasi Zepp. Smartwatch yang digunakan adalah Amazfit T-Rex Pro.

Sekiranya anda bakal menggunakan train sebagai medium utama pengangkutan di Jepun nanti, memang itulah yang bakal anda hadapi. Jadi, dapatkanlah kasut yang selesa dan sesuai untuk berjalan banyak nanti.

Selesai semua persiapan, sekarang tibalah perkara yang sangat menyeksakan, iaitu sabar menanti hari penerbangan! 





No comments :

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile