Sunday 6 August 2023

[Review J-Dorama] Mr. Hiiragi's Homeroom (Netflix)

Minggu lepas saya baru habis menonton sebuah lagi J-Dorama yang terdapat di Netflix. Dorama yang berlatarkan watak guru dan pelajar sekolah memang ada banyak, antara yang popular dan epik adalah My Boss My Hero, Great Teacher Onizuka (GTO), Hanakimi no Kimitachi e, dan banyak lagi, tapi dorama yang ini agak lain dari lain, kerana membawakan tema buli siber. 

Sinopsis :

Hari persekolahan yang biasa untuk pelajar kelas 3A di Sekolah Tinggi Kaio pada suatu petang tiba-tiba berubah menjadi sesuatu yang tidak terfikir dek akal, apabila guru kelas mereka, Ibuki Hiiragi tiba-tiba membuat pengumuman yang mengejutkan, iaitu semua pelajar kelas 3A kini telah dijadikan tebusan! Bom telah diletupkan di dalam bangunan sekolah bagi mengugut dan menakutkan pelajar kelas 3A, selain menutup laluan untuk mereka melarikan diri. Semua telefon bimbit mereka juga telah dirampas oleh Hiiragi.

Hiiragi mula memberikan 'tugasan' kepada pelajar-pelajar kelas 3A, untuk menyiasat dan mendapatkan kebenaran akan apa yang sebenarnya telah terjadi kepada Reina Kageyama, iaitu salah seorang pelajar kelas 3A yang telah ditemui mati membunuh diri sebelum ini. Reina merupakan seorang atlit renang yang mempunyai masa depan yang cerah, namun pada satu hari, tiba-tiba satu video yang menunjukkan Reina mengambil bahan terlarang telah tersebar melalui laman media sosial 'Mind Voice' (lebih kurang Twitter/X). Sejak dari itu, Reina mula dipulaukan rakan sekelas, termasuk oleh rakan baiknya sendiri. Netizen-netizen di dalam Mind Voice terutamanya, meninggalkan komen-komen 'kejam' yang membuatkan Reina semakin tertekan. Akhirnya pada suatu hari, Reina Kageyama telah ditemui mati, dipercayai telah membunuh diri. 

Benarkah Reina Kageyama sebenarnya telah membunuh diri? Atau sebenarnya dia telah dibunuh? Di dalam 'kelas' Hiiragi sepanjang 10 hari pelajar-pelajar kelas 3A dijadikan tebusan, satu demi satu kebenaran dibongkar melalui 'pengakuan' oleh beberapa orang pelajar kelas 3A, di samping mereka semua memperoleh pengajaran dari apa yang telah berlaku. 

Siapa sebenarnya yang membunuh Reina Kageyama? Adakah rakan sekelas Reina dari kelas 3A yang bertanggungjawab atas kematiannya? Apakah matlamat sebenar Ibuki Hiiragi yang sanggup menjadikan pelajarnya sebagai tebusan?

Komen : 

Dorama ini memang memberi kesan, terutamanya dalam mengajar erti persahabatan dan mengajak agar penonton berfikir secara mendalam berserta rasa simpati dan empati sebelum membuat sesuatu hantaran di media sosial. Ya, tema berat yang dibawa dalam dorama ini adalah BULI SIBER.

Oh ya, ramai pelakon popular dalam dorama ini, antaranya Kawaei Rena, Imada Mio, dan Nagano Mei yang tengah popular sebagai watak Yamauchi Shizuka dalam dorama Burn The House Down yang baru juga keluar di Netflix.

Okaylah, panjang pula tulis kali ini. Kesimpulannya saya bagi 9/10⭐️ untuk dorama ini.

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile