Kebelakangan ini banyak isu-isu semasa yang panas dan melibatkan integriti. Buat individu berpengaruh yang ada 'kuasa', pastinya dugaan untuk mengekalkan amanah dan integriti itu sangat mencabar, tak hairan kenapa banyak yang tumpas.
Buat orang kebanyakan pula, mungkin mereka tidak berpengaruh dan ada 'kuasa', tapi mereka pun terdedah kepada hilangnya integriti diri, sebab 'boleh'. Dan sebab sentiasa ada hati kecil yang 'membenarkan' perkara salah yang mereka buat.
Buat claim bulanan di tempat kerja lebih dari sepatutnya, kerana rasa diri patut dan layak dapat sebab konon dah 'bekerja keras'. Guna laptop atau printer tempat kerja untuk tujuan peribadi atas alasan bukan waktu kerja atau waktu rehat. Tipu atau tidak mengisytiharkan pendapatan dengan tepat untuk mendapat bantuan kerajaan atau bayaran lebihan cukai. Tipu alamat rumah atau pendapatan ibu bapa semasa mengisi maklumat anak yang bersekolah untuk memudahkan pergerakan atau dapat bantuan.
Lalu laluan kecemasan atau langgar lampu isyarat merah sebab 'boleh', walaupun boleh membahayakan orang lain dan 'mencuri' hak laluan dan lampu hijau orang lain. Parking kereta di tepi jalan yang tidak dibenarkan sebab nak dekat dengan tempat ditujui walaupun banyak petak parking kosong di kawasan disediakan, alasannya orang lain pun buat, walaupun akibatnya menyusahkan orang lain.
Pendek kata, integriti ini hilang sebab manusia sentiasa cenderung mencipta alasan untuk membenarkan kesalahan yang kita buat. Kalau kita marah kepada individu-individu 'berpengaruh' yang penuh korupsi dan mengambil hak orang lain, kita juga perlu muhasabah diri, ada tak yang kita dah ambil hak orang lain dalam sehari-hari? Mungkin nilainya 'kecil', tapi salah tetap salah, dan tetap tiada integriti.
Yang paling penting, berkatkah hidup kita dan darah daging kita andai hidup tanpa integriti?
Renung-renungkan dan selamat beramal.

