Saturday 27 May 2023

[SmartTag - Peranti wajib ada zaman sekarang?]

Beberapa hari yang lalu telah viral cerita tentang seorang pempengaruh terkenal yang telah kehilangan beg di sebuah lapangan terbang. Beliau telah memohon pertolongan warganet sebagai salah satu ikhtiar mendapatkan semula begnya dengan mengongsikan lokasi beg yang dikesan menggunakan aplikasi di telefon pintar. Beliau mengesan lokasi beg menggunakan peranti Apple AirTag yang mungkin diletakkan di dalam beg beliau. Alhamdulillah dengan bantuan orang ramai, beliau berjaya mendapatkan semula begnya.


Mungkin ramai yang dah tahu tentang Apple AirTag, tapi tahukah anda, Samsung juga mempunyai peranti yang memiliki fungsi yang sama, iaitu Samsung SmartTag.

Kotak Samsung SmartTag

Cadangan penggunaan pada haiwan peliharaan, beg bagasi, dan kunci.

Samsung SmartTag ini bukanlah produk baharu, kerana ia telah dilancarkan 2 tahun lepas pada tahun 2021, bersama-sama dengan siri model Samsung Galaxy S21. Kalau dilihat pada kotak SmartTag itu sendiri, ia mencadangkan penggunaannya pada haiwan peliharaan, beg bagasi, dan juga kunci. Tapi tahukah anda, nak kesan lokasi kereta anda pun boleh? Ya, letakkan sahaja SmartTag anda di dalam kereta. Saya sendiri dah cuba dan menjadi.

Saiz SmartTag pada tapak tangan saya.


Bagaimana SmartTag ini berfungsi? SmartTag mengesan lokasi berdasarkan telefon pintar Samsung lain yang berada berdekatan dengannya, dan kemudian menghantarkan informasi berkenaan kepada telefon pintar kita, atau telefon pintar yang telah disambungkan atau disetkan. Ia berfungsi dan bergantung kepada gelombang Bluetooth Low Energy (BLE), yang mana ia hanya boleh berkomunikasi dengan telefon pintar pada jarak paling jauh 120 meter. Pendek kata atau kalau nak senang faham, selagi ada orang yang menggunakan telefon pintar Samsung berdekatan dengan SmartTag kita, selagi itu kita boleh dapat informasi tentang lokasi terkini SmartTag berkenaan.

"Spotted by a nearby device". Ini contoh apabila anda dapat mengesan lokasi SmartTag yang berada jauh dari telefon pintar anda. Informasi lokasi SmartTag anda akan diperoleh melalui 'bantuan' telefon pintar Samsung Galaxy lain yang berada berdekatan.

Itu kalau kita 'terpisah' atau berada jauh dari lokasi SmartTag. Macam mana pula kalau kita pasang SmartTag pada kunci rumah, tapi kita lupa letak dekat mana di dalam rumah? Macam mana nak cari? Ha, kalau yang ini lebih mudah, boleh gunakan aplikasi Samsung SmartThings, pilih untuk bunyikan penggera yang ada pada SmartTag. Bunyinya agak kuat. Kalau tak nak gunakan penggera, boleh gunakan 'radar' signal SmartTag untuk mengesan lokasinya di dalam rumah. Macam mana pula kalau telefon pintar anda yang hilang dan tak tahu letak di mana dalam rumah? Anda boleh gunakan pula SmartTag tadi untuk membunyikan penggera pada telefon pintar. Mudah kan?

Mengesan SmartTag menggunakan 'radar' signal.

Semakin dekat kita dengan SmartTag, semakin kuat signal yang diterima.

Sekarang SmartTag sudah berada terlalu dekat dan dalam had boleh dicapai dengan tangan.

Kes yang berlaku pada pempengaruh terkenal tersebut sebenarnya telah membuka mata betapa pentingnya penggunaan peranti seperti AirTag dan SmartTag ni dalam kehidupan seharian kita. Tak salah 'melabur' sedikit demi keselamatan harta benda mahu pun haiwan peliharaan kesayangan kita kan? Nak letak dalam beg sekolah anak untuk mengetahui lokasi mereka pun, boleh juga. Banyak aplikasinya, bergantung kepada kreativiti kita. Asalkan jangan salah guna untuk tujuan yang tidak baik atau tanpa kebenaran.


Info lain Samsung SmartTag ;

1. Menggunakan 1 biji bateri jenis CR2032.

2. Hanya boleh digunakan pada telefon pintar siri Samsung Galaxy, dengan minimum perisian Android OS 8.0. 

3. Semasa baru dikeluarkan dahulu, harga RRP kalau tak silap adalah RM109. Sekarang macam dah susah nak jumpa, di Shopee pun harga bermula sekitar RM160-RM200.


Kalau tak salah saya, di pasaran terdapat juga beberapa peranti seperti Apple AirTag dan Samsung SmartTag ini, yang mungkin harganya lebih murah tapi membawa fungsi yang serupa. Mungkin boleh cuba juga yang itu?


Penafian : Ini adalah artikel dan review peribadi penulis serta tidak dibayar.

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile