Saturday 10 February 2024

Nara - Osaka - Tokyo Travelogue 2023 (Episod 10) : Melangkah ke dunia Mario di Super Nintendo World, Universal Studio Japan!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Pada hari ketiga kami di Jepun, akhirnya kami akan pergi ke tempat yang menjadi sebab utama dan pencetus kepada trip kami kali ini, iaitu ke Super Nintendo World, Universal Studio Japan!

Perjalanan kami seperti biasa, menaiki train dari stesen terdekat dengan hotel penginapan kami, iaitu Kishinosato-Tamade Station, dan pada hari ini menuju ke Universal-City Station yang merupakan stesen train utama di Universal Studio Japan (USJ). Perjalanan mengambil masa kira-kira 35 minit.

Carta perjalanan kami dari Kishinosato-Tamade Station ke Universal-City Station. *Masa dalam gambar bukan masa sebenar perjalanan kami, ianya sekadar rujukan sahaja.

Untuk tiket masuk ke USJ, kami telah membeli tiket melalui salah satu agen rasmi jualan tiket USJ, iaitu melalui aplikasi Klook. Super Nintendo World ni sebenarnya cuma salah satu kawasan atau bahagian dalam taman tema Universal Studio Japan. Jadi kalau nak masuk ke dalam kawasan Super Nintendo World, anda perlu beli tiket masuk ke Universal Studio Japan. 

Contoh pembelian tiket melalui aplikasi atau website Klook.

Tapi itu sahaja tidak cukup! Memandangkan kawasan Super Nintendo World ini terlalu popular, jadi untuk mengelakkan keadaan terlalu sesak, kehadiran atau kemasukan ke dalamnya adalah dikawal dan terhad. Jadi, tak semestinya anda dah beli tiket masuk USJ, dan dah masuk USJ, maka anda dah pasti boleh masuk ke kawasan Super Nintendo World. 

Tips : Untuk masuk ke kawasan Super Nintendo World ni, anda mempunyai beberapa pilihan, iaitu ;

1. Beli tiket masuk kombo (express lane + Super Nintendo World) + 1 Day Studio Pass
2. Beli tiket masuk kombo (Super Nintendo World + 1 Day Studio Pass)
3. Beli tiket masuk biasa 1 Day Studio Pass / 1.5 Day Studio Pass / 2 Days Studio Pass
4. Beli tiket masuk (Early Entry + 1 Day Studio Pass)

Untuk pilihan 1 & 2, anda confirm dapat masuk ke USJ dan Super Nintendo World tanpa perlu dapatkan Time Entry Ticket. Tapi harganya agak mahal sedikit, lebih-lebih lagi yang kombo express lane tu. Tapi sesiapa yang tiada kekangan bajet, boleh je beli yang ini, senang tak perlu fikir dah.

Untuk pilihan 3, setelah anda dah masuk ke dalam kawasan USJ, baru anda dapat membuat tempahan untuk Time Entry Ticket, yang mana anda perlu gunakan aplikasi khas USJ, scan tiket masuk (Studio Pass), dan kemudian baru dapat membuat tempahan pukul berapa untuk dapat masuk ke dalam kawasan Super Nintendo World. Kalau lambat, sama ada anda dapat masuk lambat, tak pun tak dapat masuk langsung! 

*Time Entry Ticket ni 'tiket digital' tambahan yang anda perlu dapatkan untuk masuk ke dalam kawasan Super Nintendo World, tapi tiada charge atau bayaran tambahan dikenakan, pengunjung cuma perlu 'berebut' je. LOL.

Untuk pilihan 4, anda dapat masuk lebih awal ke dalam USJ berbanding pembeli tiket Studio Pass biasa. Kelebihannya? Anda boleh terus cepat-cepat pergi ke kawasan Super Nintendo World dan dapat terus masuk tanpa mendapatkan Time Entry Ticket! Sebab kalau masih awal dan pengunjung masih belum ramai, kemasukan ke dalam Super Nintendo World ni masih belum dihadkan. Jadi membeli tiket Early Entry + 1 Day Studio Pass ni paling berbaloi bagi saya, sebab harganya tak terlalu jauh beza dengan tiket 1 Day Studio Pass.

Tips Tambahan : Jualan tiket USJ secara online atau menggunakan aplikasi Klook ni hanya bermula 2 bulan dari tarikh yang ingin anda pergi. Contohnya anda nak beli tiket untuk pergi pada 19 Oktober, maka tiket hanya boleh dibeli bermula dari 19 Ogos. Kalau lambat beli, memang sold out tiket-tiket yang menjadi rebutan seperti pilihan 1, 2 & 4 yang saya terangkan kat atas. Tiket Studio Pass yang biasa tak akan sold out. Anda nak beli secara walk in masa sampai kat USJ nanti pun boleh.

Setelah membuat pembelian tiket melalui aplikasi Klook, anda akan diberikan tiket masuk digital (QR Code) yang anda boleh print kalau nak. Kalau anda beli tiket Early Entry macam kami, maka anda akan diberikan QR code yang anda hanya boleh buka sehari sebelum hari anda nak pergi. QR code tu akan bawakan anda pada webpage macam dalam gambar di atas ni, yang mana ia akan nyatakan waktu masuk awal (early entry), sekiranya anda nak masuk pada hari esok atau lusa. Jadi, datanglah awal dan beratur untuk dapat masuk awal 15 minit berbanding pembeli tiket biasa (Studio Pass).

Kami memulakan perjalanan dari hotel menuju ke Kishinosato-Tamade Station. Turun awal sebab nak sampai awal di USJ.

Beratur di Platform 4.

Exit Tamade ni adalah pintu keluar yang terdekat dengan hotel penginapan kami.

Menaiki train. Ramai juga orang, nak pergi kerja rasanya.

Sampai di Shin-Imamiya Station yang menjadi stesen penghubung kepada beberapa laluan train yang berbeza. Memang ramai orang bersesak nak pergi kerja.

Sekali lagi beratur di Platform 4.

Akhirnya tiba di kawasan Universal City.

Ada banyak kedai-kedai di sepanjang jalan menuju ke pintu masuk USJ. Ada sebuah restoran yang menyediakan menu makanan Halal di sini, iaitu restoran bernama 'Red Lobster'. Saya akan kongsikan dalam episod seterusnya dalam siri travelog ini.

Menghampiri pintu masuk USJ.

Bergambar dulu sebelum masuk.

Ramai yang dah sampai dulu dan beratur untuk 'early entry'. Rupanya ada 2 barisan di sini, yang di sebelah kiri adalah barisan untuk warganegara Jepun atau warga tempatan. Kami ditegur seorang staf yang meminta kami pergi beratur ke kawasan di sebelah kanan pintu masuk USJ, iaitu barisan untuk pelancong asing atau bukan warga tempatan.

Kami beratur semula di kawasan sebelah kanan pintu masuk. Barisan kat sini tak terlalu sesak sebab semuanya pelancong asing, dan tak seramai warga tempatan.

Tips : Ada staf akan periksa pakaian dan beg pengunjung sebelum masuk ke dalam kawasan USJ. Makanan dari luar tak dibenarkan masuk kecuali makanan bayi. Selfie stick, tripod, dan payung pun tak dibenarkan untuk dibawa masuk mungkin atas faktor keselamatan. Kalau terbawa juga, maka anda boleh letakkan di dalam locker berbayar yang disediakan. Kalau takut hujan, beli dan bawa je siap-siap poncho atau baju hujan.

Sebaik je dapat masuk ke dalam kawasan USJ, kami terus bergegas menuju ke kawasan Super Nintendo World. 

Tips : Sebaik sahaja masuk, anda ikut sahaja orang ramai yang bergerak menuju ke sebelah kanan dalam kawasan USJ ni, majoritinya memang menuju ke Super Nintendo World dulu! Kiranya macam kalau anda nak masuk roundabout, anda masuk ke sebelah kanan ikut arah lawan jam untuk pusing kawasan taman tema USJ ni.

Selepas berjalan dalam 5-7 minit, akhirnya kami sampai ke pintu masuk Super Nintendo World! Tak perlu pakai Time Entry Ticket pun untuk masuk ke sini sebab masih awal. Kalau anda lewat, nak masuk ke sini pun tak boleh sebab kena masuk ikut masa yang anda kena tempah menggunakan aplikasi khas USJ di telefon.

Yeay, akhirnya sampai!

Sumpah excited!

Macam masuk dalam game Super Mario sebaik menjejakkan kaki ke dalam kawasan Super Nintendo World ni!


Tips : Kat dalam kawasan Super Nintendo World ni, ada 2 rides yang utama, iaitu Mario Kart : Bowser's Challenge, dan Yoshi's Adventure. Masa menunggu untuk Mario Kart ni agak panjang kalau anda datang lambat, jadi sebaik sahaja masuk ke dalam kawasan Super Nintendo World ni, terus je pergi ke Bowser's Castle

Kami terus menuju ke Bowser's Castle untuk main ride Mario Kart : Bowser's Challenge. Walaupun kami antara yang terawal, ramai lagi yang dah sampai dulu 😅

Ada arca King Bowser kat sini.

Ambil gambar dulu sementara beratur.


Walaupun ramai. Tapi taklah beratur sampai tak bergerak.


Tak silap saya ada sekurang-kurangnya 5 bilik atau ruang dewan yang besar untuk memuatkan barisan panjang pengunjung yang beratur.


Replika trofi Mario Kart.



Setiap bilik atau dewan dalam Bowser's Castle ni memang hanya untuk barisan berlingkar-lingkar je.




Besar sebenarnya kerusi King Bowser ni.

Walaupun barisan panjang, tapi ada banyak prop di setiap bilik atau dewan, jadi taklah bosan, sebab dapat ambil gambar dan tengok prop.

Akhirnya sampai giliran kami. Pengunjung akan diberikan topi ikonik Mario yang dilengkapi cermin mata 3D.

Dah nak masuk dah!

Barisan para 'pemain' berkumpul sebelum masuk ke dalam arena.

Ride ni memang best, anda perlu cubanya sendiri!

Selepas habis ride Mario Kart : Bowser's Challenge, seperti biasa, pengunjung akan melalui 'perangkap' sebelum dapat keluar dari bangunan, iaitu kedai menjual merchandise Super Mario! Saya telah 'meracun' diri sendiri dengan membeli Power Band ni yang boleh digunakan untuk 'mengumpul coins dan high score' ketika di dalam kawasan Super Nintendo World.

Tips : Sebelum main apa-apa ride atau permainan interaktif yang ada kat dalam kawasan Super Nintendo World ni, lebih baik anda beli siap-siap Power Band ni yang dijual di booth di luar pintu masuk Super Nintendo World, dan juga di kedai-kedai menjual merchandise yang terdapat di dalam kawasan Super Nintendo World. 

Ini screenshot dari aplikasi khas USJ di telefon pintar, kita cuma perlu scan Power Band yang dibeli, dan create user name. Seterusnya kita boleh kumpul coins melalui pelbagai permainan interaktif yang ada dalam sekitar kawasan Super Nintendo World ni. Salah satunya, kalau anda nampak 'bata' yang Mario boleh tumbuk tu, haa, pergi la tumbuk. Pastu nanti Power Band tu akan detect dan kira jumlah coins yang kita kumpul. Sama juga sebelum main ride, anda boleh scan dulu Power Band.

Anda boleh semak jumlah coins yang dikumpul!

Untuk apa kumpul coins? Kalau tak silap, kalau anda cukup jumlah coins tertentu, anda boleh main ride istimewa yang tak semua pengunjung boleh masuk. Jadi kalau nak main, kumpul coins dulu! Kalau ikutkan, nak rasa puas memang seharian kena habiskan masa kat Super Nintendo World ni je! 

Jom tumbuk 'bata'!

Saya jadi Super Mario dah ni!

Anak tersayang pun beli Power Band versi Princess Peach dan hairband Princess Peach.

Ride seterusnya yang wajib pergi adalah Yoshi's Adventure ni.

Sini taklah ramai sangat orang beratur seperti ride Mario Kart tadi. 

Di kawasan menunggu.

Ketika menaiki ride Yoshi's Adventure.

Yoshi's Adventure ni sebenarnya membawa kita mengelilingi kawasan Super Nintendo World.

Baby Mario dan Yoshi!

Cantik, macam dalam game!

Semasa dalam ride ni pun sebenarnya ada permainan interaktif, jadi jangan lupa scan Power Band anda dan main!

Haa.. kita naik 'Yoshi' ni semasa ride Yoshi's Adventure. Perlahan je dia gerak.

1UP Factory ni kedai merchandise paling besar dalam Super Nintendo World ni. Memang kuat rachun kat sini. Hahaha!

Kami pergi Super Nintendo World hari tu pada 4 Disember 2023, dah nak dekat musim Krismas, jadi adalah pokok Krismas kat sini.

Dunia Super Mario!



Princess Mika depan Princess Peach's Castle.

Ni sebenarnya orang tengah beratur untuk main permainan istimewa yang hanya boleh main selepas dah kumpul banyak coins.

Papa dan Mika di depan King Bowser's Castle.

Kat depan Bowser's Castle ni pun ada booth yang menjual Power Band.

Tak lengkap datang ke Super Nintendo World kalau tak beli set popcorn bucket dia! Kedai popcorn ni terletak di hadapan bangunan Mario Motors.

Depan bangunan ni! Mario Motors ni kedai menjual merchandise Super Mario juga, sama seperti 1UP Factory tadi.

Ada 2 jenis set popcorn bucket istimewa yang hanya dijual di dalam kawasan Super Nintendo World ni. Ada Mario Kart Popcorn Bucket dan Super Star Popcorn Bucket.

Harga yang tertera tu termasuk dengan popcorn yang diisi di dalamnya. 5300 Yen untuk Mario Kart dan 4600 Yen untuk Super Star.

Saya telah beli popcorn bucket versi Super Star ni sebab unik. Ianya ada lampu sebenarnya, selain boleh memuatkan popcorn.

Instruction cara menggunakan lampu Super Star.

Haa.. ni contohnya popcorn bucket versi Super Star yang dah saya on lampunya pada waktu malam. Menarik kan?

Ada karakter Mario dan Luigi yang keluar ke pentas. Pengunjung boleh ambil gambar, tapi perlu beratur dan ada bayaran tambahan kalau tak silap.

Gambar panorama Super Nintendo World. Klik untuk besarkan.

Okay dah beberapa jam kami habiskan di sini, lepas ni nak masuk kawasan lain pula dalam Universal Studio Japan ni. Nanti tak sempat pula!

Sebelum keluar dari kawasan Super Nintendo World, kami bergambar dahulu di luar pintu masuk sebagai kenangan!






No comments :

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile