Wednesday 27 December 2023

Pentingnya semak kebenaran, bukannya percaya bulat-bulat sumber yang tak diketahui asal usul dan niat si penyebar fitnah

Walaupun dah lebih 2 tahun aku tinggalkan tempat kerja lama aku ni, tapi setiap kali aku dengar atau nampak orang dengan yakin sebar fitnah pasal kebersihan dan asal usul sumber air yang digunakan, memang aku akan triggered. Sebab aku sendiri pernah terlibat secara langsung dalam bahagian kualiti menguruskan bahagian pemprosesan air di kilang tersebut. 

Aku terlibat dan lihat sendiri dari awal bagaimana punca air yang baharu digali, bagaimana sumber air bawah tanah tersebut disalurkan ke pusat pemprosesan air, bagaimana proses-proses sanitasi dilakukan, bagaimana proses rawatan dan penapisan yang dilakukan, di mana titik kawalan kritikal dalam pemprosesan air yang perlu dijaga, sampailah sehingga ia dibotolkan. Begitu juga dengan proses audit atau pemantauan yang ketat dari Kementerian Kesihatan, Halal JAKIM, dan lain-lain lagi. 

Yang orang sering perkatakan adalah lokasi di mana kilang pembotolan air mineral ini berada, iaitu kononnya berdekatan dengan kawasan perkuburan Cina. Nah, tengok sendiri dalam gambar Google Maps ni, aku dah tanda. Yang merah tu kawasan perkuburan, yang hijau tu di mana terletaknya sumber-sumber punca air bawah tanah yang digunakan, yang mana terletak dalam kawasan berbukit hutan hujan tropika, iaitu terletak dalam kawasan hak milik persendirian syarikat berkenaan. 

  

Yang 'kolam' besar bersebelahan dengan syarikat tu adalah kawasan Empangan dan Loji Pembersihan Air milik Lembaga Air Perak. Pemfitnah sering kata air yang dibotolkan diambil dari kolam ini. Hoi, ini kolam tadahan dan loji pembersihan air LAP. Kalau ikut logik pemfitnah, air yang kita dapat dan disalurkan ke kawasan perumahan sekitar Taiping oleh LAP ni semuanya tercemar dengan air kubur lah? Tak jijik pulak kau buat air minum, mandi, masak, dan lain-lain? 

Tahu tak yang air mineral yang dibotolkan adalah diekstrak keluar dari bawah tanah? Beratus meter dari dalam tanah sana. Air dari bawah tanah yang kaya dengan mineral ini disedut keluar, dan seterusnya dirawat berkali-kali sampai bersih dan dipastikan selamat untuk diminum. Bukannya air dari kolam tadahan dan loji pembersihan! 

Nak terus fitnah? Fikir-fikirkanlah dan selamat beramal.


*Artikel asal ditulis di FB Areev Izat pada 27 April 2021.

No comments :

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile