Siri tips ini tidak akan menyentuh berkaitan cara-cara menunaikan ibadah umrah, kerana ianya boleh dibaca sendiri oleh para bakal jemaah melalui buku-buku panduan yang biasanya diberikan oleh agensi umrah atau dibeli sendiri. Malah, yang lebih baik, elok para bakal jemaah menyertai kursus umrah atau merujuk kepada ustaz-ustaz yang lebih arif tentangnya.
Siri tips ini diharap akan memberi panduan kepada para bakal jemaah tentang perkara-perkara yang mungkin jarang dikongsikan, tapi insyaAllah ianya akan sedikit sebanyak bermanfaat ketika berada di Tanah Haram nanti.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Episod 1 - Persediaan Ketika Di Tanah Air (sebelum bertolak)
1. Kain Ihram
Pergi umrah, pastinya perkara yang paling wajib kena ada adalah kain ihram. Bagi yang pergi menunaikan umrah menggunakan pakej atau agensi, biasanya para jemaah akan dibawa ke tempat miqat untuk menunaikan umrah sebanyak 3 hingga 4 kali sepanjang berada di Mekah, tidak termasuk yang jemaah pergi sendiri menaiki teksi atau kenderaan sewa.
Cukup ke cuma bawa sepasang kain ihram? Bagi saya sebenarnya cukup je, kerana walaupun kita akan banyak berpeluh di ketika menunaikan umrah, tapi insyaAllah, kain ihram kita tidak akan mengeluarkan bau yang kurang senang. Jadi selepas setiap kali selesai menunaikan umrah, pastikan sidai kain ihram elok-elok di dalam bilik hotel. Cuma mungkin jemaah perlu lebih berhati-hati agar kain ihram tidak terkena hadas kecil atau besar.
Kalau nak basuh sendiri, lambat juga nak kering sebab kain ihram yang tebal, dan kalau nak hantar laundry pula, mungkin ambil masa seharian baru siap. Kalau jemaah betul-betul terdesak tak ada kain ihram boleh dipakai (sebab basah/kotor/laundry belum siap), jangan risau, biasanya di tempat miqat itu sendiri ada peniaga yang menjual kain ihram, harganya sekitar 40 riyal ke atas.
2. Selipar dan Beg Selipar
Sepanjang di Tanah Haram, jemaah akan banyak berjalan. Berjalan dari hotel ke masjid, berjalan ketika aktiviti ziarah, dan lain-lain lagi. Disebabkan ketika dalam ihram memerlukan jemaah memakai selipar yang tidak menutup kelima-lima jari kaki dan tumit, jadi amat penting untuk para bakal jemaah membeli dan memakai selipar yang sesuai dan selesa bukan sahaja ketika dalam ihram, tapi juga ketika waktu-waktu lain.
Satu lagi perkara yang perlu disediakan oleh para bakal jemaah adalah beg untuk menyimpan selipar. Harus diketahui yang Masjidil Haram atau Masjid Nabawi mempunyai banyak pintu masuk di sekeliling masjid. Untuk jemaah yang tidak biasa, mungkin kadangkala boleh tersesat dan tak jumpa pintu yang dimasuki awal-awal tadi, ditambah pula dengan bilangan manusia yang terlalu ramai di sana. Jadi, ketika memasuki pintu masjid, jemaah boleh tanggalkan selipar dan simpan di dalam beg atau uncang atau plastik yang seterusnya kita bawa bersama ke ruang solat.
Memang ada disediakan rak kasut di dalam masjid, tetapi ada juga ketika yang mana selipar boleh hilang jika letak di rak kasut yang disediakan. Saya sendiri pernah kehilangan selipar yang diletakkan elok-elok di rak kasut bernombor di dalam Masjidil Haram.
Dalam gambar : (Atas) Rak kasut di dalam Masjidil Haram. (Bawah) Selipar disimpan di dalam beg dan dibawa ke ruang solat.
3. Kad SIM Arab Saudi
Talian telefon dan data internet merupakan keperluan asas pada masa kini walau di mana jua kita berada. Dan yang lebih penting, untuk memasuki ruangan solat Rawdah di Masjid Nabawi, jemaah perlu menempah slot menggunakan aplikasi Nusuk (dulu dikenali Eatmarna) yang boleh didownload di App Store atau Google Store.
Kad Sim untuk digunakan ketika di Tanah Haram atau Arab Saudi boleh dibeli terlebih dahulu ketika di Malaysia. Kalau nak beli ketika dah sampai di Tanah Haram atau Arab Saudi pun boleh, ia biasanya dijual di luar kawasan masjid (ada booth-booth kecil) dan juga di dalam shopping mall di sekitar masjid. Harganya pula sekitar 100 hingga 150 riyal, bergantung kepada pelan data dan panggilan yang dipilih.
4. Ubat-ubatan
Ubat yang dijual di farmasi di Arab Saudi ini agak mahal. Jadi lebih baik para bakal jemaah membawa ubat-ubatan asas seperti panadol, ubat sakit perut, ubat selsema, dan lain-lain yang dibeli siap-siap di Malaysia.
Pastikan ubatan yang dibeli ada preskripsi doktor atau ahli farmasi. Ada juga dijual di pasaran, kit ubat-ubatan untuk pengembara.
5. Pakaian
Perlu ke bawa banyak pakaian ke sana? Subjektif, bergantung kepada masing-masing kerana ada pros & cons. Bagi saya, tak perlu bawa banyak, kerana boleh basuh baju sendiri di dalam bilik hotel (tapi risiko kain lambat kering) atau hantar sahaja ke laundry yang terdapat sekitar hotel penginapan.
Harga untuk perkhidmatan laundry sekitar 15 hingga 25 riyal untuk sekilogram baju. Agak mahal juga sebenarnya.
Dalam gambar : Salah sebuah perkhidmatan laundry yang terdapat di dalam Safwa Tower, berhadapan dengan Masjidil Haram.
6. Travel Adapter
Yang ini perkara asas yang perlu dibawa oleh mereka yang nak ke luar negara. Di Tanah Haram atau Arab Saudi ini, ada hotel yang menggunakan soket untuk plug 2 pin, ada yang 3 pin, ada yang sesuai dan ada yang tak sesuai dengan plug pengecas telefon dari negara kita.
7. Softcopies Pengenalan Diri & Perkara Penting
Untuk tujuan keselamatan dan rujukan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ketika di luar negara, pastikan yang para bakal jemaah dah scan dan simpan softcopies atau salinan passport, MyKad, Lesen Memandu, Kad Nikah, Polisi Insurans, atau apa-apa sahaja yang dirasakan penting untuk dirujuk sekiranya berlaku perkara kecemasan.
Upload semua softcopies tadi ke dalam perkhidmatan '
cloud', seperti
Google Drive yang boleh didapati secara percuma, hanya perlu menggunakan akaun Google.
8. Tukar Duit Riyal & Aktifkan Kegunaan Kad Bank Di Luar Negara
Tukar duit riyal di Malaysia lebih berbaloi dan murah berbanding tukar di Arab Saudi. Jadi tukarkan duit secukupnya sebelum bertolak.
Jangan lupa telefon pihak bank atau aktifkan sendiri kad bank (debit & kredit) supaya dapat menggunakan ATM di luar negara dan untuk melakukan pembelian menggunakan kad debit atau kredit.
Dalam gambar : Aktifkan penggunaan kad debit di luar negara menggunakan laman web Maybank2U.
Bersambung di
Episod 2 untuk tips seterusnya.
No comments :
Post a Comment