Sunday 13 November 2022

[Siri Tips] Kali Pertama Menunaikan Umrah : Episod 7 - Bersedekah di Mekah & Madinah

Siri tips ini tidak akan menyentuh berkaitan cara-cara menunaikan ibadah umrah, kerana ianya boleh dibaca sendiri oleh para bakal jemaah melalui buku-buku panduan yang biasanya diberikan oleh agensi umrah atau dibeli sendiri. Malah, yang lebih baik, elok para bakal jemaah menyertai kursus umrah atau merujuk kepada ustaz-ustaz yang lebih arif tentangnya. 

Siri tips ini diharap akan memberi panduan kepada para bakal jemaah tentang perkara-perkara yang mungkin jarang dikongsikan, tapi insyaAllah ianya akan sedikit sebanyak bermanfaat ketika berada di Tanah Haram nanti. 

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Episod 7 - Bersedekah di Mekah & Madinah

Tanah Haram merupakan tempat yang banyak manusia berlumba-lumba nak membuat kebaikan dengan cara bersedekah. Kalau jemaah rasa nak sedekah di Masjidil Haram atau di Masjid Nabawi, tak ada tabung di dalam kawasan masjid. Jadi macam mana nak bersedekah?

Salah satu caranya adalah dengan memberi sedekah 'salam' berselit duit kepada pekerja-pekerja pembersihan di sekitar kawasan masjid. Contohnya dalam gambar ni, pekerja yang memakai baju berwarna biru tu.

Sambil berjalan tu hulurkan tangan salam dengan mereka dan selitkan duit sedekah. Tapi perlu hati-hati juga, jangan nampak jelas sangat, takut nanti kawan-kawan sekerja beliau atau orang sekeliling yang ternampak akan kerumun atau ikut kita pula untuk meminta duit juga (hal ini memang berlaku). Bukanlah taknak bagi atau berkira, tapi kadang-kadang kita pun tak sediakan wang sedekah yang terlalu banyak pada satu-satu masa kan? Kalau tak bagi rasa ralat pula.

Di kawasan luar berhadapan dengan Masjidil Haram, terdapat kawasan yang mana orang boleh bersedekah dengan cara memberi makan kepada orang ramai.

Nampak tak ramai orang beratur dalam gambar ni, mereka ni sebenarnya beratur untuk mengambil paket makanan yang disedekahkan. Biasanya situasi ini dapat dilihat selepas selesai solat fardhu.

Makanan biasanya disediakan atau dibeli dari deretan kedai-kedai makan seperti dalam gambar dan juga dari hotel berdekatan.

Lokasi tempat ini tidak jauh dari Pintu King Fahd (Nombor 79), dan kalau dari bangunan Menara Jam Abraj Al-Bait, ianya di sebelah kiri bangunan menara jam (menghadap Masjidil Haram).

Jadi macam mana nak bersedekah dengan memberi makan? Caranya adalah jemaah boleh pergi ke kawasan lot-lot kedai menjual makanan seperti di dalam gambar (tempat ramai orang beratur tu sebenarnya menghadap kedai-kedai menjual makanan).

Di sana, biasanya jemaah akan disapa oleh 'agen-agen' yang akan bertanyakan sekiranya jemaah ingin bersedekah memberi makan kepada orang ramai. Mereka akan menunjukkan business card mereka yang tertera harga makanan dan menu. Terpulang kepada jemaah nak sedekah untuk berapa orang makan. Biasanya satu paket makanan berharga dari 10-12 Saudi Riyal.

Kalau jemaah nak tunggu agen sediakan dan serahkan makanan yang kita sedekah pun boleh, kalau tak, kita amanahkan sahaja kepada agen tadi untuk menguruskannya.

Kawasan ini juga sebenarnya terdapat banyak burung merpati. Makanan burung pun ada dijual oleh penjaja di sini. Jadi kalau nak jadikan 'landmark' kepada rakan jemaah yang lain, bagitahu sahaja jumpa di kawasan 'burung merpati'.

Sambil membeli makanan burung daripada penjaja pun jemaah boleh bersedekah dengan membayar lebih dari yang diminta. Dan memberi makan kepada burung merpati pun dikira bersedekah. Banyak kan cara nak bersedekah?

Kawasan burung merpati dan orang ramai beratur mendapatkan makanan.

Ramai jemaah yang berjalan ke Masjidil Haram dari hotel penginapan mereka melalui jalan ini. Kiranya macam laluan utama juga.

Di kiri dan kanan pula terdapat deretan kedai makan dan cenderahati. Ianya sebenarnya sebahagian daripada bangunan-bangunan besar yang berhadapan dengan Masjidil Haram, termasuklah bangunan Menara Jam Abraj Al-Bait. Terdapat hotel 5 bintang, pusat membeli belah mewah dan biasa, restoran, dan tak lupa kedai menggunting rambut.

Di kawasan ini juga terdapat booth-booth yang menjual kad SIM Arab Saudi. Jadi kalau nak beli kat sini pun boleh, selain membeli di booth yang terdapat di dalam pusat membeli belah. Rujuk contoh dalam Siri Tips - Kali Pertama Menunaikan Umrah (Episod 1).

Pemandangan jika jemaah datang dari arah bertentangan dengan Masjidil Haram.


Bersambung di Episod 8 untuk tips seterusnya.


---------------------------------------------------------------------------

Senarai Episod Dalam Siri Tips - Kali Pertama Menunaikan Umrah :

Episod 1 - Persediaan Ketika Di Tanah Air (sebelum bertolak)

Episod 2 - Menuju Ke KLIA Dan Sebelum Berlepas

Episod 3 - Laluan Masuk Wheelchair Terus ke Tempat Tawaf (Mataaf) & Sa'ee (Al-Masa'a) di Tingkat 1

Episod 4 - Tawaf & Sa'ee Menggunakan Skuter Elektrik

Episode 5 - Pergi ke Tempat Sa'ee (Al-Masa'a) di Tingkat 1

Episod 6 - Menziarahi Makam Rasulullah S.A.W. dan Sahabat Dan Cara Mendapatkan Permit Masuk ke Rawdah

Episod 7 - Bersedekah di Mekah & Madinah

Episod 8 - Berbelanja di Mekah & Madinah

No comments :

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile