Tuesday 15 November 2022

[Siri Tips] Kali Pertama Menunaikan Umrah : Episod 8 - Berbelanja di Mekah & Madinah

Siri tips ini tidak akan menyentuh berkaitan cara-cara menunaikan ibadah umrah, kerana ianya boleh dibaca sendiri oleh para bakal jemaah melalui buku-buku panduan yang biasanya diberikan oleh agensi umrah atau dibeli sendiri. Malah, yang lebih baik, elok para bakal jemaah menyertai kursus umrah atau merujuk kepada ustaz-ustaz yang lebih arif tentangnya. 

Siri tips ini diharap akan memberi panduan kepada para bakal jemaah tentang perkara-perkara yang mungkin jarang dikongsikan, tapi insyaAllah ianya akan sedikit sebanyak bermanfaat ketika berada di Tanah Haram nanti. 

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Episod 8 - Berbelanja di Mekah & Madinah

(Mekah)
Ais krim di Mekah memang sedap, ianya adalah dari jenis 'soft ice cream', Biasanya dijual dalam cup atau pun kon. Terdapat beberapa perisa dan boleh campur.

Di sekitar Masjidil Haram, terdapat beberapa cawangan kedai Ice Cream Al Asemah ni. Harganya agak mahal berbanding beberapa tahun lepas, iaitu sekarang harganya bermula dari 10 Saudi Riyal. Mentang-mentang popular, mahal dah sekarang. Beberapa tahun lalu kalau tak silap harganya cuma 4-5 Saudi Riyal.

(Mekah)
Walaupun Restoran Felda D'Saji, iaitu restoran Malaysia sudah ditutup beberapa tahun yang lalu (kalau tak silap sebab COVID-19), tapi sekarang masih ada satu lagi restoran makanan Malaysia, iaitu restoran Nur Malaysia yang terletak di dalam bangunan Al-Safwa Tower.

Al-Safwa Tower ni kalau jemaah menghadap bangunan menara jam Abraj Al-Bait dari arah Masjidil Haram, ianya terletak di pintu masuk sebelah kiri bangunan menara jam, tak jauh pun dari pintu masuk utama bangunan menara jam.

(Mekah)
Di Mekah, jemaah boleh cuba makan ayam goreng, biasanya di menu ditulis 'Chicken Broast' (seperti KFC) yang dijual di kedai-kedai seperti ini di sekitar Masjidil Haram.

Rasanya memang sedap dan berbaloi-baloi, pasti kenyang. Biasanya ia set ayam goreng, kentang goreng, dan sekeping roti arab (macam roti nan).

(Mekah)
Restoran Al-Baik ni macam KFC, memang banyak terdapat di sekitar Kota Mekah. Kalau nak makan fast food yang macam KFC tapi Arab punya, maka boleh lah cuba ini.

Restoran Al-Baik yang ini terletak berhampiran dengan kawasan burung merpati di hadapan Masjidil Haram, tak jauh dari Pintu King Fahad (No.79).

(Mekah)
Rindu nak makan KFC? Sini pun ada, tapi rasanya bagi saya tak sesedap yang di Malaysia. Jadi kalau nak makan ayam goreng, lebih baik beli di Al-Baik atau kedai-kedai biasa.

KFC ini tak susah nak cari, kalau dari arah Masjidil Haram (Pintu King Fahd, Nombor 79), tengok sahaja ke depan iaitu ke arah bangunan menara jam, pasti boleh jumpa signage KFC.

(Mekah)
Untuk kebanyakan jemaah, mereka pastinya tidak mempunyai banyak masa untuk berjalan-jalan di sekitar Kota Mekah, jadi banyak masa akan dihabiskan di Masjidil Haram dan kawasan berdekatan sahaja.

Boleh kata hampir kesemuanya yang diperlukan jemaah ada di sekitar Masjidil Haram ni. Dalam bangunan menara jam Abraj Al-Bait ini sahaja, terdapat hotel, restoran, farmasi, pusat membeli-belah, kedai gunting/cukur rambut, dobi pakaian, dan macam-macam lagi.

Dalam gambar ni adalah pintu masuk utama ke Abraj Al-Bait Shopping Center. Kedai-kedai di sini adalah agak 'high-end' atau sedikit mahal. Kalau jemaah nak membeli-belah atau membeli cenderahati dengan harga lebih berpatutan, jemaah boleh pergi ke bangunan Al-Safwa Tower, yang mana pintu masuknya terletak di sebelah kiri pintu masuk utama bangunan menara jam dalam gambar ini.

Suasana di dalam Abraj Al-Bait Shopping Center. Terdapat laluan untuk ke hotel penginapan yang terdapat di sini, antaranya Hotel Movenpick dan Hotel Al Marwa Rayhaan.

(Mekah)
Di dalam Al-Safwa Tower, terdapat pelbagai kedai-kedai menjual pakaian, minyak wangi, dan cenderahati. Di sini boleh lah nak tawar menawar, tapi di dalam Abraj Al-Bait Shopping Center tak boleh sebab harga tetap dan kedai-kedai yang berjenama.

(Mekah)
Terdapat beberapa kedai dobi/laundry di dalam Al Safwa Tower ni. Harganya bermula dari 15 ke 20 Saudi Riyal sekilogram. Boleh lah nak cuci pakaian harian di sini. Kalau guna perkhidmatan laundry yang disediakan hotel penginapan pastinya lebih mahal.

(Mekah)
Kalau jemaah nak berbelanja dengan harga yang lebih berpatutan, boleh pergi ke kawasan lot-lot kedai yang terletak di tingkat bawah tanah Al-Safwa Tower. Pintu masuknya terletak di sebelah kiri sekali bangunan menara jam (jika menghadap dari arah Masjidil Haram). Nak lebih mudah cari, ianya terletak di belakang bangunan Tandas Nombor 3 di hadapan Masjidil Haram (Pintu Nombor 3&4&5).

(Mekah)
Bangunan putih itu adalah Tandas Nombor 3. Di belakangnya adalah laluan untuk turun ke tingkat bawah tanah Al-Safwa Tower.

(Mekah)
Kalau jemaah nak mencari barangan keperluan harian, terdapat hypermarket di tingkat atas sekali di Abraj Al-Bait Shopping Center. Nak beli buah ke, susu ke, sabun ke, barangan elektrik ke, barangan dapur ke, semuanya ada di sini. Kiranya macam Mydin/Lotus/TF lah di Malaysia.

(Mekah & Madinah)
Di sekitar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi juga terdapat supermarket Bin Dawood ni. Jemaah boleh dapatkan pelbagai keperluan harian di sini.

Supermarket Bin Dawood yang ini terletak berhampiran dengan kawasan burung merpati di hadapan Masjidil Haram, tak jauh dari Pintu King Fahd (Nombor 79).

Carrefour Market pun ada di sebelah atas bangunan yang terletaknya KFC tadi. Yang sebenarnya hampir semua bangunan-bangunan tinggi di sekitar Masjidil Haram terdiri daripada pusat membeli-belah, hotel, restoran, dan supermarket.

(Mekah & Madinah)
Sepanjang di Mekah dan Madinah, jemaah yang mengikuti travel agency pasti akan dibawa ziarah ke pelbagai tempat, dan tidak lupa akan dibawa singgah ke lokasi membeli-belah seperti di ladang kurma.

Tempat-tempat tumpuan yang dibawa oleh bas-bas ini biasanya menjual barangan atau makanan dengan harga lebih mahal. Jadi kalau nak membeli kurma, coklat, atau kacang-kacang, lebih murah kalau dibeli oleh jemaah di kedai-kedai kecil yang terdapat di sekitar Masjidil Haram/Masjid Nabawi dan di sekitar kawasan hotel penginapan jemaah.

Tapi, ada juga produk-produk ekslusif yang mungkin hanya dijual di ladang sahaja, dan tak ada dijual di kedai-kedai kecil. Jadi terpulang kepada jemaah yang nak membeli.

(Madinah)
Di Madinah, terdapat satu kawasan bazar jualan yang harganya lebih murah lagi dari yang dijual di sekitar kawasan hotel penginapan atau di sekitar Masjid Nabawi.

Di sini juga terdapat restoran, kedai menjual pelbagai barangan dengan harga 2 Saudi Riyal, kedai pakaian, dan kedai menjual kurma/kacang/coklat dengan harga yang murah dan berpatutan. Barangnya kebanyakan sama sahaja dengan yang di tempat lain, tapi di sini lebih murah dan boleh tawar-menawar.

Macam mana nak ke sini? Lihat gambar berikutnya.

(Madinah)
Kalau jemaah keluar dari Masjid Nabawi menerusi Pintu Nombor 20&21 (Pagar Nombor 333), terus sahaja berjalan ke hadapan.

(Madinah)
Dari Pintu Nombor 20&21 Masjid Nabawi, jemaah akan melalui deretan gerai berwarna putih dan hijau di sebelah kiri dan kanan yang menjual makanan dan cenderahati.

Teruskan jalan melepasi deretan gerai ini.

(Madinah)
Gerai menjual kunafa pun ada di sini.

(Madinah)
Harga kunafa di sini 15 Saudi Riyal.

(Madinah)
Di penghujung deretan gerai-gerai tadi, terdapat kedai ais krim ini. Jangan lupa mencuba ais krim di sini. Harganya tidak jauh beza dengan kedai ais krim di Mekah, tapi yang ini lebih selesa kerana boleh makan dan berehat di dalam kedai.

(Madinah)
Ais krim di Mekah 10 Saudi Riyal, di sini pula 11 Saudi Riyal.

(Madinah)
Mojito pun ada. 13 Saudi Riyal.

(Madinah)
Ais krim di Mekah berharga 10 Saudi Riyal tapi makan di tepi jalan, ais krim di Madinah pula 11 Saudi Riyal tapi boleh makan di dalam kedai dan boleh duduk rehat. Jadi ternyata lebih berbaloi.

(Madinah)
Di sebelah kedai ais krim tadi, terdapat kedai ini yang menjual pelbagai cenderahati 'premium' 'I Love Makkah' dan 'I Love Madinah'. Harganya sedikit mahal dan premium tapi berkualiti.

(Madinah)
Dari deretan gerai-gerai, kedai ais krim dan kedai 'I Love Madinah' tadi, apabila dah sampai di penghujung, jemaah boleh nampak bangunan bazar ini. Teruskan berjalan kaki ke sini.

(Madinah)
Sampai di sini. Selain lot-lot kedai, terdapat juga peniaga-peniaga jalanan yang berniaga di atas tikar dan di atas basikal/motosikal. Tapi mereka ini tak selalu ada kerana polis kerap datang, dan mereka ini melarikan diri dari polis, mungkin kerana berniaga secara haram.

(Madinah)
Antara coklat yang dijual di kedai di sini. 40 tu harga dalam Saudi Riyal untuk sekilogram coklat. Tapi jemaah boleh cuba minta tawar lagi. Mungkin boleh tawar menawar dan beli dengan harga 20 Saudi Riyal sahaja sekilogram.

(Madinah)
Ini kedainya dari luar. Boleh lah kalau jemaah nak beli dari sini seperti saya juga.

(Madinah)
Di sini juga terdapat beberapa restoran. Jadi kalau dah lapar tu, boleh lah singgah makan, salah satunya di Sameer Restaurant ni.

(Madinah)
Menu makanan di restoran Pakistan ini.


---------------------------------------------------------------------------

Senarai Episod Dalam Siri Tips - Kali Pertama Menunaikan Umrah :

Episod 1 - Persediaan Ketika Di Tanah Air (sebelum bertolak)

Episod 2 - Menuju Ke KLIA Dan Sebelum Berlepas

Episod 3 - Laluan Masuk Wheelchair Terus ke Tempat Tawaf (Mataaf) & Sa'ee (Al-Masa'a) di Tingkat 1

Episod 4 - Tawaf & Sa'ee Menggunakan Skuter Elektrik

Episode 5 - Pergi ke Tempat Sa'ee (Al-Masa'a) di Tingkat 1

Episod 6 - Menziarahi Makam Rasulullah S.A.W. dan Sahabat Dan Cara Mendapatkan Permit Masuk ke Rawdah

Episod 7 - Bersedekah di Mekah & Madinah

Episod 8 - Berbelanja di Mekah & Madinah

No comments :

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile