[Benarkah air mineral jenama Spritzer tercemar dengan air dari kawasan perkuburan Cina?]
Hari ini adalah hari terakhir aku sebagai pekerja di sebuah kilang air mineral yang terbesar di Malaysia, yang mana lebih dikenali sebagai jenama Spritzer. Kilang ini terletak di kawasan Air Kuning, Taiping. Ia juga sebenarnya terletak di bahagian kaki Bukit Larut yang menjadi salah satu simbol bagi Bandar Taiping, Perak.
Sebagai seorang yang pernah melihat dan terlibat secara dekat dalam proses penghasilan produk air mineral jenama Spritzer ini, aku rasa dah menjadi tanggungjawab aku untuk membuat pencerahan terhadap khabar angin yang telah sekian lama disebarkan orang awam khususnya warga tempatan tanpa mengetahui kebenarannya.
Aku akui, salah satu sebab aku memohon untuk bekerja di Spritzer dulu adalah untuk melihat sendiri dari dalam, apakah benar atau tidak khabar angin tersebut. Alhamdulillah, ditakdirkan aku akhirnya diterima masuk sebagai eksekutif yang dipertanggungjawabkan terhadap seksyen pemprosesan air.
Tahukah anda, air mineral jenama Spritzer ini telah diekstrak keluar dari bawah tanah melalui telaga-telaga atau punca air yang telah digali sedalam lebih daripada 420 kaki (128 meter)? Kawasan telaga atau punca air mineral jenama Spritzer ini pula terletak di dalam kawasan hutan hujan tropika yang berada di dalam kawasan persendirian yang mempunyai keluasan seluas 330 ekar, bersamaan dengan keluasan 266 buah padang bola! Kawasan hutan hujan tropika yang luas dan dikawal ini memastikan telaga atau punca air terlindung dari segala unsur pencemaran dan unsur sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Jirat atau perkuburan Cina yang dikaitkan dengan khabar angin pula terletak di luar kawasan persendirian ini.
Tahukah anda, setiap telaga atau punca air yang digunakan ini perlu mendapatkan kelulusan atau lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? Anda boleh semak label di setiap botol air mineral yang anda beli, pasti terdapat label lesen punca air ini. Proses untuk mendapatkan lesen punca air ini pula bukan mudah, kerana pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri perlu melakukan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kawasan punca air tersebut mematuhi syarat-syarat tertentu, contohnya terletak jauh dari kawasan yang berpotensi mencemari punca air. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan melakukan pemeriksaan sebelum meluluskan dan mengeluarkan lesen punca air kepada pihak yang memohon.
Tahukah anda, air mineral yang diekstrak keluar ini sebenarnya telah pun ‘ditapis’ secara semula jadi oleh lapisan-lapisan bawah tanah yang terdiri dari pelbagai jenis batuan. Tapi untuk menghasilkan produk air mineral yang akan dipasarkan atau dijual kepada pengguna, proses rawatan tambahan perlu dilakukan bagi memastikan kualiti dan air yang dipasarkan selamat untuk diminum.
Oleh itu, air mineral yang diekstrak keluar dari bawah tanah tadi seterusnya akan dibawa ke bahagian pemprosesan atau rawatan air mineral. Di sana, pelbagai jenis proses penapisan dan rawatan air mineral dilakukan bagi menyingkirkan mikroorganisma berbahaya, bendasing, dan lain-lain lagi yang tidak diingini. Selepas air mineral tadi dirawat, barulah ia dihantar ke bahagian pembotolan dan seterusnya dipek sebelum dipasarkan kepada pelanggan di seluruh Malaysia dan juga di luar negara.
Tahukah anda, produk air mineral jenama Spritzer ini mempunyai lesen atau sijil Halal dan telah disahkan Halal oleh pihak JAKIM? Bukan mudah bagi sesuatu produk makanan/minuman untuk memiliki sijil Halal ini kerana terdapat prosedur-prosedur ketat yang perlu dipatuhi dan audit secara berterusan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan semua kriteria dipenuhi. Selain Halal, pemantauan secara berterusan turut dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kualiti air mineral yang dihasilkan di kilang Spritzer ini.
Jadi, benarkah air mineral jenama Spritzer tercemar dengan air dari jirat (kawasan perkuburan) Cina?
Jawapannya adalah TIDAK BENAR, atau lebih tepat lagi adalah khabar angin semata-mata.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan melihat dari dekat proses penghasilan produk air mineral jenama Spritzer ini, anda boleh datang terus ke Spritzer Eco Park yang terletak berhadapan dengan kilang Spritzer yang terletak di Air Kuning, Taiping, Perak. Di sana anda boleh mendaftar untuk plant tour yang diadakan hampir setiap hari. Sila hubungi 05-8072663 atau email kepada info_ecopark@spritzer.com untuk mendapatkan keterangan lanjut.
Sekian, semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua yang membaca. Sebagai peringatan dan nasihat, janganlah kita menyebarkan sesuatu informasi yang kita sendiri tak pasti akan kebenarannya. Kalau nak sebarkan juga, pastikan anda sendiri dah semak fakta dan kebenarannya.
Penafian : Artikel ini ditulis mewakili pendapat penulis sendiri sebagai bekas pekerja dan tidak mewakili syarikat.
*Dikemaskini pada tahun 2024 : Blog post berkaitan :
*Dikemaskini pada tahun 2024 : Blog post berkaitan :