*Untuk entry Travelogue dan Siri Tips yang terdahulu, sila klik pada link di bawah ;
Sunday, 31 December 2023
Nara - Osaka - Tokyo Travelogue 2023 (Episod 1) : Persiapan sebelum bertolak
[Review] Kellie's Castle, Batu Gajah
Tak plan pun sebenarnya nak datang sini. Kebetulan semasa perjalanan pulang dari Ipoh (mengikut GPS) telah membawa kami melalui jalan yang di sebelah kanannya kelihatan Kellie's Castle. Dengan masa yang singkat, kami terus buat keputusan nak singgah, sebab alang-alang dah lalu sini.
Ramai pelancong dari luar negara kat sini. Tak sangka ada kemudahan yang baik di sini, macam bilik tayangan media, tandas, lokasi mengambil gambar, kiranya okey lah ianya dijaga. Saya harap perkara yang sama boleh dibuat untuk lebih mempromosikan Muzium Matang (Kota Ngah Ibrahim), kerana ianya lebih mempunyai nilai sejarah tempatan, berbanding sebuah 'rumah tak siap' tinggalan omputeh di Tanah Air kita.
Friday, 29 December 2023
[Review] Galeri Rumah Lat, Batu Gajah
Tahukah anda, terdapat Galeri Rumah Lat yang baru dibuka (bulan Julai 2023) terletak di Batu Gajah, Perak? Ianya terletak berdekatan dengan Silverlakes Village Outlet. Dari tol keluar Simpang Pulai, boleh nampak papan tanda pink 'Silverlakes Village Outlet' yang menghala ke sebelah kiri.
Galeri Rumah Lat ni memaparkan sejarah perjalanan hidup dan karya-karya kartunis lagenda tanah air, iaitu Datuk Lat. Selain galeri, terdapat sebuah rumah, iaitu replika rumah kediaman keluarga Datuk Lat ketika kecil di sebelah luar bangunan galeri.
Lokasi wajib datang kalau anda datang ke Ipoh atau Batu Gajah.
Tiket masuk percuma je, cuma perlu tulis nama pada buku pelawat. Mungkin dah lama nanti baru dikenakan bayaran.
Saya bagi 5/5⭐️
*Artikel asal ditulis di FB Areev Izat pada 29 Oktober 2023
Thursday, 28 December 2023
[Review Sarapan] Bihun Sup Wakaf, Taiping
Anda datang ke Taiping, nak sarapan, tapi bosan asyik nasi lemak atau roti canai? Nak sarapan Bihun Sup?
Haa, kalau nak sarapan Bihun/Kueytiaw/Mee Sup paling sedap dan lejen di Taiping, maka sila ke Gerai No.1, Medan Selera Wakaf di tengah pekan Taiping, lokasi bersebelahan dengan bangunan Bank CIMB cawangan Taiping.
Wednesday, 27 December 2023
Pentingnya semak kebenaran, bukannya percaya bulat-bulat sumber yang tak diketahui asal usul dan niat si penyebar fitnah
Walaupun dah lebih 2 tahun aku tinggalkan tempat kerja lama aku ni, tapi setiap kali aku dengar atau nampak orang dengan yakin sebar fitnah pasal kebersihan dan asal usul sumber air yang digunakan, memang aku akan triggered. Sebab aku sendiri pernah terlibat secara langsung dalam bahagian kualiti menguruskan bahagian pemprosesan air di kilang tersebut.
Aku terlibat dan lihat sendiri dari awal bagaimana punca air yang baharu digali, bagaimana sumber air bawah tanah tersebut disalurkan ke pusat pemprosesan air, bagaimana proses-proses sanitasi dilakukan, bagaimana proses rawatan dan penapisan yang dilakukan, di mana titik kawalan kritikal dalam pemprosesan air yang perlu dijaga, sampailah sehingga ia dibotolkan. Begitu juga dengan proses audit atau pemantauan yang ketat dari Kementerian Kesihatan, Halal JAKIM, dan lain-lain lagi.
Yang orang sering perkatakan adalah lokasi di mana kilang pembotolan air mineral ini berada, iaitu kononnya berdekatan dengan kawasan perkuburan Cina. Nah, tengok sendiri dalam gambar Google Maps ni, aku dah tanda. Yang merah tu kawasan perkuburan, yang hijau tu di mana terletaknya sumber-sumber punca air bawah tanah yang digunakan, yang mana terletak dalam kawasan berbukit hutan hujan tropika, iaitu terletak dalam kawasan hak milik persendirian syarikat berkenaan.
Yang 'kolam' besar bersebelahan dengan syarikat tu adalah kawasan Empangan dan Loji Pembersihan Air milik Lembaga Air Perak. Pemfitnah sering kata air yang dibotolkan diambil dari kolam ini. Hoi, ini kolam tadahan dan loji pembersihan air LAP. Kalau ikut logik pemfitnah, air yang kita dapat dan disalurkan ke kawasan perumahan sekitar Taiping oleh LAP ni semuanya tercemar dengan air kubur lah? Tak jijik pulak kau buat air minum, mandi, masak, dan lain-lain?
Tahu tak yang air mineral yang dibotolkan adalah diekstrak keluar dari bawah tanah? Beratus meter dari dalam tanah sana. Air dari bawah tanah yang kaya dengan mineral ini disedut keluar, dan seterusnya dirawat berkali-kali sampai bersih dan dipastikan selamat untuk diminum. Bukannya air dari kolam tadahan dan loji pembersihan!
Nak terus fitnah? Fikir-fikirkanlah dan selamat beramal.
*Artikel asal ditulis di FB Areev Izat pada 27 April 2021.
Tuesday, 26 December 2023
[Review] Trillion Game (J-Dorama) - Netflix
J-Drama Trillion Game ni baru keluar minggu lepas di Netflix. Lepas tengok trailer, saya cuba tengok sebab macam menarik walaupun saya cuma kenal pelakon Imada Mio je dalam dorama ni. Tapi lepas tengok 1 episod, dorama ni suprisingly best dan mampu buatkan saya marathon.
Ia mengisahkan tentang 2 sahabat, Haru dan Gaku yang memulakan syarikat 'start-up' yang bernama 'Trillion Game', dengan matlamat mereka untuk mencapai nilai trillion USD. Haru seorang yang pandai 'bercakap' dan penuh dengan strategi, manakala Gaku pula seorang 'genius' IT.
Episod demi episod menceritakan cabaran-cabaran yang mereka hadapi dalam mengembangkan syarikat mereka yang mana sentiasa bersaing dengan syarikat gergasi Dragon Bank. Dari online shop yang menawarkan khidmat 'AI' kepada pelanggan yang ingin membeli bunga, berkembang kepada pembikinan mobile game, dan kemudiannya industri hiburan dan sebagainya.
Memang tak bosan dan sangat menarik. Oh ya, ianya merupakan sebuah lagi adaptasi dari manga. Patutlah best.
Saya bagi 5/5*
*artikel asal dari FB Areev Izat, 4 November 2023
Friday, 8 September 2023
Enrique de Malacca - Lelaki Melayu yang terawal mengelilingi dunia?
Umum mengetahui Ferdinand Magellan mengetuai ekspedisi mengelilingi dunia sekitar abad ke-15. Tapi antara sejarah yang ramai orang tak tahu adalah, nama Enrique de Malacca ni ada disebut dalam wasiat Magellan, iaitu supaya Enrique ini dibebaskan dari perhambaan selepas kematian Magellan.
Menurut sejarah, Enrique ini 'diambil' oleh Magellan ketika ekpedisinya mendarat di Kota Melaka. Enrique dijadikan hambanya selain menjadi kru ekspedisi dan tukang alih bahasa (translator) kepada Magellan.
Magellan mati dibunuh ketika suatu kejadian perang di Filipina, dan ekspedisi mengelilingi dunianya diteruskan oleh Enrique dan kru yang lain. Dicatatkan bahawa Enrique akhirnya 'bebas' dan kembali ke Melaka. Jadi boleh dikatakan Enrique adalah manusia pertama yang mengelilingi dunia, iaitu dari Melaka kembali ke Melaka, melalui jalan laut.
Nak tahu lebih lanjut? Pergilah ke Balai Seni Negara. Masuk percuma je.
Monday, 4 September 2023
[Review] Burn the House Down (Netflix)
Dorama Burn the House Down ni baru je dikeluarkan bulan Julai yang lalu di Netflix. Diadaptasi dari manga. Saya berjaya habiskan marathon dalam 2 hari je, yang mana kesemuanya ada 8 episod.
Sinopsis :
Anzu dan adiknya Yuzu dilahirkan dalam keluarga yang berada, yang mana ayah mereka merupakan pewaris hospital swasta milik keluarga. Mereka tinggal di sebuah rumah agam yang cukup besar berhampiran dengan hospital milik keluarga ayah mereka. Pada suatu hari, rumah agam mereka terbakar hangus kesemuanya, dan ibu mereka, telah menyalahkan diri sendiri kerana telah mengakibatkan kebakaran tersebut.
Pada masa itu juga, Anzu ternampak kelibat Makiko di celah orang ramai yang mengerumuni lokasi kebakaran tersebut. Makiko kelihatan tersenyum gembira dan 'lega' melihat rumah agam keluarga Anzu yang terbakar. Makiko merupakan 'sahabat' baik ibu Anzu dan Yuzu, yang mana anak Makiko iaitu Shinji, merupakan rakan sekelas Anzu.
Sejak dari saat itu, Anzu mengesyaki Makiko adalah orang yang telah membakar rumah agam keluarga mereka. Ibu bapa Anzu dan Yuzu berpisah selepas kejadian kebakaran tersebut, dan yang lebih mengejutkan, ayah mereka telah berkahwin dengan Makiko tidak lama kemudian.
13 tahun kemudian, Anzu muncul sebagai Yamauchi Shizuka di rumah agam Makiko sebagai pekerja yang membersihkan rumah. Anzu berazam untuk menuntut bela dan mencari bukti bagi mendedahkan kebenaran yang Makiko telah membakar rumah agam mereka 13 tahun yang lalu.
Komen :
Best. Kalau tak, takkan lah saya boleh marathon habiskan dalam 2 hari je. 😌
Okaylah, taknak tulis panjang lagi, saya bagi 9/10⭐️
Sunday, 3 September 2023
[Review] Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia
Beberapa minggu yang lalu kami telah berkesempatan pergi ke Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ni. Tak sangka, ramai juga pengunjung yang datang.
Seperti di Balai Seni Negara yang turut kami pergi sebelum ini, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara ini pun tidak mempunyai bayaran untuk masuk, iaitu masuk percuma je. Tapi, pengunjung tak dibenarkan membawa beg (termasuk handbag), selfie stick, dan makanan kalau tak silap. Pastinya untuk tujuan keselamatan.
Saturday, 2 September 2023
[Review] Pusat Sains Negara - Cawangan Wilayah Utara (Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah)
Tahukah anda, terdapat Pusat Sains Negara di Alor Setar, Kedah? Kalau anda pergi bercuti ke Alor Setar, dan tak tahu nak bawa anak ke mana, maka sinilah tempat yang wajib anda bawa! Bukan anak je yang seronok dan dapat belajar, ibu bapa pun sama!
Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara ni terletak berdekatan dengan Gunung Keriang, dalam 20-30 minit perjalanan dari pusat bandar Alor Setar. Harga tiket pun murah, cuma RM2 untuk yang berusia 13 tahun ke atas, kanak-kanak 7-12 tahun cuma RM1, dan kanak-kanak 6 tahun dan ke bawah, OKU, dan Warga Emas pula masuk percuma!
[Review] Mr Churros, Kamunting
Siyes sedap weh. Saya bagi 10/10⭐️ sebab cukup rasa dan berpatutan.
Harga RM7, ada 8 batang churros setiap set. Ada set Milk Chocolate, Dark Chocolate, dan Caramel. Chocolate pula dia claim guna chocolate jenama Berryl's.
Lokasi di hadapan kedai Mr Musashi, menghadap jalan besar (lokasi sebelah Petron Kamunting).
P/s : Makanan kalau sedap dan benda kalau best, secara sukarela saya nak tolong promote. Jom support!
Sunday, 6 August 2023
[Review J-Dorama] Mr. Hiiragi's Homeroom (Netflix)
Minggu lepas saya baru habis menonton sebuah lagi J-Dorama yang terdapat di Netflix. Dorama yang berlatarkan watak guru dan pelajar sekolah memang ada banyak, antara yang popular dan epik adalah My Boss My Hero, Great Teacher Onizuka (GTO), Hanakimi no Kimitachi e, dan banyak lagi, tapi dorama yang ini agak lain dari lain, kerana membawakan tema buli siber.
Sinopsis :
Hari persekolahan yang biasa untuk pelajar kelas 3A di Sekolah Tinggi Kaio pada suatu petang tiba-tiba berubah menjadi sesuatu yang tidak terfikir dek akal, apabila guru kelas mereka, Ibuki Hiiragi tiba-tiba membuat pengumuman yang mengejutkan, iaitu semua pelajar kelas 3A kini telah dijadikan tebusan! Bom telah diletupkan di dalam bangunan sekolah bagi mengugut dan menakutkan pelajar kelas 3A, selain menutup laluan untuk mereka melarikan diri. Semua telefon bimbit mereka juga telah dirampas oleh Hiiragi.
Hiiragi mula memberikan 'tugasan' kepada pelajar-pelajar kelas 3A, untuk menyiasat dan mendapatkan kebenaran akan apa yang sebenarnya telah terjadi kepada Reina Kageyama, iaitu salah seorang pelajar kelas 3A yang telah ditemui mati membunuh diri sebelum ini. Reina merupakan seorang atlit renang yang mempunyai masa depan yang cerah, namun pada satu hari, tiba-tiba satu video yang menunjukkan Reina mengambil bahan terlarang telah tersebar melalui laman media sosial 'Mind Voice' (lebih kurang Twitter/X). Sejak dari itu, Reina mula dipulaukan rakan sekelas, termasuk oleh rakan baiknya sendiri. Netizen-netizen di dalam Mind Voice terutamanya, meninggalkan komen-komen 'kejam' yang membuatkan Reina semakin tertekan. Akhirnya pada suatu hari, Reina Kageyama telah ditemui mati, dipercayai telah membunuh diri.
Benarkah Reina Kageyama sebenarnya telah membunuh diri? Atau sebenarnya dia telah dibunuh? Di dalam 'kelas' Hiiragi sepanjang 10 hari pelajar-pelajar kelas 3A dijadikan tebusan, satu demi satu kebenaran dibongkar melalui 'pengakuan' oleh beberapa orang pelajar kelas 3A, di samping mereka semua memperoleh pengajaran dari apa yang telah berlaku.
Siapa sebenarnya yang membunuh Reina Kageyama? Adakah rakan sekelas Reina dari kelas 3A yang bertanggungjawab atas kematiannya? Apakah matlamat sebenar Ibuki Hiiragi yang sanggup menjadikan pelajarnya sebagai tebusan?
Komen :
Dorama ini memang memberi kesan, terutamanya dalam mengajar erti persahabatan dan mengajak agar penonton berfikir secara mendalam berserta rasa simpati dan empati sebelum membuat sesuatu hantaran di media sosial. Ya, tema berat yang dibawa dalam dorama ini adalah BULI SIBER.
Oh ya, ramai pelakon popular dalam dorama ini, antaranya Kawaei Rena, Imada Mio, dan Nagano Mei yang tengah popular sebagai watak Yamauchi Shizuka dalam dorama Burn The House Down yang baru juga keluar di Netflix.
Okaylah, panjang pula tulis kali ini. Kesimpulannya saya bagi 9/10⭐️ untuk dorama ini.
Saturday, 27 May 2023
[SmartTag - Peranti wajib ada zaman sekarang?]
Beberapa hari yang lalu telah viral cerita tentang seorang pempengaruh terkenal yang telah kehilangan beg di sebuah lapangan terbang. Beliau telah memohon pertolongan warganet sebagai salah satu ikhtiar mendapatkan semula begnya dengan mengongsikan lokasi beg yang dikesan menggunakan aplikasi di telefon pintar. Beliau mengesan lokasi beg menggunakan peranti Apple AirTag yang mungkin diletakkan di dalam beg beliau. Alhamdulillah dengan bantuan orang ramai, beliau berjaya mendapatkan semula begnya.
Mungkin ramai yang dah tahu tentang Apple AirTag, tapi tahukah anda, Samsung juga mempunyai peranti yang memiliki fungsi yang sama, iaitu Samsung SmartTag.
Samsung SmartTag ini bukanlah produk baharu, kerana ia telah dilancarkan 2 tahun lepas pada tahun 2021, bersama-sama dengan siri model Samsung Galaxy S21. Kalau dilihat pada kotak SmartTag itu sendiri, ia mencadangkan penggunaannya pada haiwan peliharaan, beg bagasi, dan juga kunci. Tapi tahukah anda, nak kesan lokasi kereta anda pun boleh? Ya, letakkan sahaja SmartTag anda di dalam kereta. Saya sendiri dah cuba dan menjadi.
Bagaimana SmartTag ini berfungsi? SmartTag mengesan lokasi berdasarkan telefon pintar Samsung lain yang berada berdekatan dengannya, dan kemudian menghantarkan informasi berkenaan kepada telefon pintar kita, atau telefon pintar yang telah disambungkan atau disetkan. Ia berfungsi dan bergantung kepada gelombang Bluetooth Low Energy (BLE), yang mana ia hanya boleh berkomunikasi dengan telefon pintar pada jarak paling jauh 120 meter. Pendek kata atau kalau nak senang faham, selagi ada orang yang menggunakan telefon pintar Samsung berdekatan dengan SmartTag kita, selagi itu kita boleh dapat informasi tentang lokasi terkini SmartTag berkenaan.
Itu kalau kita 'terpisah' atau berada jauh dari lokasi SmartTag. Macam mana pula kalau kita pasang SmartTag pada kunci rumah, tapi kita lupa letak dekat mana di dalam rumah? Macam mana nak cari? Ha, kalau yang ini lebih mudah, boleh gunakan aplikasi Samsung SmartThings, pilih untuk bunyikan penggera yang ada pada SmartTag. Bunyinya agak kuat. Kalau tak nak gunakan penggera, boleh gunakan 'radar' signal SmartTag untuk mengesan lokasinya di dalam rumah. Macam mana pula kalau telefon pintar anda yang hilang dan tak tahu letak di mana dalam rumah? Anda boleh gunakan pula SmartTag tadi untuk membunyikan penggera pada telefon pintar. Mudah kan?
Kes yang berlaku pada pempengaruh terkenal tersebut sebenarnya telah membuka mata betapa pentingnya penggunaan peranti seperti AirTag dan SmartTag ni dalam kehidupan seharian kita. Tak salah 'melabur' sedikit demi keselamatan harta benda mahu pun haiwan peliharaan kesayangan kita kan? Nak letak dalam beg sekolah anak untuk mengetahui lokasi mereka pun, boleh juga. Banyak aplikasinya, bergantung kepada kreativiti kita. Asalkan jangan salah guna untuk tujuan yang tidak baik atau tanpa kebenaran.
Info lain Samsung SmartTag ;
1. Menggunakan 1 biji bateri jenis CR2032.
2. Hanya boleh digunakan pada telefon pintar siri Samsung Galaxy, dengan minimum perisian Android OS 8.0.
3. Semasa baru dikeluarkan dahulu, harga RRP kalau tak silap adalah RM109. Sekarang macam dah susah nak jumpa, di Shopee pun harga bermula sekitar RM160-RM200.
Kalau tak salah saya, di pasaran terdapat juga beberapa peranti seperti Apple AirTag dan Samsung SmartTag ini, yang mungkin harganya lebih murah tapi membawa fungsi yang serupa. Mungkin boleh cuba juga yang itu?
Penafian : Ini adalah artikel dan review peribadi penulis serta tidak dibayar.
Sunday, 12 March 2023
Laptop HP Compaq Presario V3000, AMD Turion64 X2
Dibeli pada hujung tahun 2006, ketika aku di Semester 2, di UM. Banyak jasanya, buat Final Year Project, buat assignments, tulis blog, tengok J-Dorama dan movies, dan termasuklah main game FIFA Manager dan Pro Evolution Soccer 2008-2010 🤭.
Dah lebih 16 tahun umurnya, masih berfungsi, tapi dah jadi terhad dan jarang digunakan, sebab Windows Vista Basic yang asal dah lama tak ada update. Kalau nak update Windows pun cuma mampu support sampai Windows 8 je. Google Chrome pun dah lama tak update.
Sepanjang 16 tahun ni, cuma awal-awal dulu je pernah sekali dihantar ke Service Centre HP untuk repair ganti battery rosak. Battery yang ganti tu pun dah lama tak boleh digunakan. Cubaan membeli battery OEM nampaknya menghampakan. Battery OEM tu ada lah tahan dalam 30 minit je kot, Lol. 😌
Selagi mampu berkhidmat, kita pakai je la ye? 😌👍
Saturday, 11 March 2023
[Review] The Toys that made us (Netflix)
Kat Netflix ni selain filem, drama bersiri, dan animasi, terdapat juga dokumentari yang menarik. Salah satu dokumentari yang bagi saya wajib ditonton adalah siri dokumentari The Toys that made us ni. Setakat ini dah ada 3 musim. Tapi 1 musim ada 4 episod je, dan setiap episod berdurasi lebih kurang 45 minit.
Setiap episod akan membawakan cerita tentang satu permainan popular yang pernah mewarnai dunia kanak-kanak mereka yang lahir sekitar 1970an-1990an. Antara episod menarik yang saya dah tonton adalah episod permainan Power Rangers, LEGO, Transformers, My Little Pony, dan Star Wars.
Setiap episod memuatkan sesi temubual dengan orang-orang penting yang terlibat dalam penghasilan permainan lejendari tersebut dan juga sesi temubual bersama mereka yang 'pakar' tentangnya, contohnya pengumpul tegar yang memiliki catatan rekod Guiness. Setiap episod menceritakan sejarah bagaimana permainan popular dan lejendari ni mula dihasilkan, dari mana idea penghasilannya bermula, peringkat rekaan, penghasilan, bila permainan tersebut mula dijual, saat kejatuhan, dan juga semua yang berkaitan.
Tahukah anda permainan Transformers sebenarnya berasal dari Jepun? Asalnya adalah dari permainan jenama Takara yang dikenali sebagai Diaclone dan juga Microman. Tahukah anda Mighty Morphin Power Rangers sebenarnya diadaptasi bulat-bulat dari siri Super Sentai Zyuranger yang ditayangkan di Jepun? Tahukah anda permainan Star Wars yang dihasilkan oleh jenama Kenner hanya mula dijual dan berada di pasaran selepas hampir setahun filem pertamanya ditayangkan pada tahun 1977?
Banyak lagi fakta-fakta dan sejarah menarik mengenai permainan lejendari yang pernah menghiasi zaman kanak-kanak generasi 70an hingga 90an dapat diperoleh dari siri ini. Memang terkenang jugalah zaman dulu-dulu.
Dulu masa kecil kebanyakannya mampu tengok je lah. Jadi jangan pelik bila tengok ramai orang dewasa yang beli mainan pada hari ini. Kami sebenarnya membeli kenangan masa silam.
Kesimpulannya, saya bagi 5/5⭐️ untuk siri ini. Wajib tonton!