*Untuk entry Travelogue yang terdahulu, sila klik pada link di bawah ;
*Entry dalam siri Travelogue ini akan disertakan banyak gambar mengikut garis masa pada hari yang dinyatakan. Kadang-kadang, gambar lebih mudah menceritakan sesuatu berbanding kata-kata.
------------------------------------------------
Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.
Selepas hampir 8 bulan, baru akhirnya saya mempunyai masa dan mood untuk menulis dan menerbitkan travelogue perjalanan saya, isteri, dan anak perempuan kami ke Singapura pada 20-22 Disember 2019 yang lalu. Ianya sebelum heboh dan tercetus fenomena atau wabak COVID-19 di China, Singapura, dan seluruh dunia seperti yang sedang berlaku pada hari ini.
Kalau tahun sebelumnya, kami telah pergi bercuti ke Hong Kong dengan membawa anak kami, Mika Aafiyah yang ketika itu baru berusia 8 bulan, kali ini anak kami sudah pun berusia 2 tahun 4 bulan ketika kami membawanya ke Singapura.
Dalam travelogue saya sebelum ini, saya kerap menggunakan perkhidmatan awam tren/subway sebagai medium pengangkutan utama. Tapi lain pula untuk perjalanan kami kali ini ke Singapura, yang mana kami menggunakan khidmat aplikasi Grab sepenuhnya untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain di Kota Singa ini.
Sebabnya? Selepas membuat sedikit kajian ringkas mengenai pengangkutan awam di Singapura, saya mendapati yang perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain memerlukan kita menukar beberapa kali pengangkutan awam, yang mana ia akan mengambil masa lama untuk sampai ke satu-satu tempat.
Walaupun harganya jauh lebih murah daripada menggunakan perkhidmatan Grab, namun bagi saya masa dan tenaga yang ada adalah lebih berharga. Oleh kerana kami cuma akan bercuti di Singapura selama 3 hari 2 malam sahaja, jadi amat penting untuk kami gunakan masa yang ada sebaiknya.