Saya terpengaruh nak tengok filem ni lepas nampak sahabat UM dan FB, Cikgu Lim Zihan yang kata cerita ni best. Dan ternyata, cerita ni memang best! Terutamanya bagi anda yang meminati filem bertemakan fiksyen sains.
Sinopsis :
Pada bulan Disember, tahun 2022, seluruh dunia dikejutkan apabila sepasukan tentera khas secara tiba-tiba muncul di atas padang bola ketika perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 sedang berlangsung. Wakil tentera khas tersebut memberitahu secara live di siaran televisyen yang mereka datang dari tahun 2051 dan sedang berperang dengan alien. Katanya mereka sudah hampir 'tewas' dan memerlukan bantuan daripada masyarakat dunia pada hari ini untuk sama-sama membantu mereka berperang.
Pada mulanya masyarakat seluruh dunia secara sukarelawan menyertai perang tersebut dan dihantar ke masa hadapan menggunakan binaan yang dipanggil 'Jumplink'. Mereka akan 'bertugas' dan perlu bertahan selama 7 hari sebelum dihantar pulang ke tahun 2022 secara automatik. Tapi disebabkan 'kebarangkalian selamat' yang rendah, sekitar 30% sahaja, kerajaan mula membuat ambilan tentera dari kalangan orang awam menerusi program yang dinamakan 'draft'.
Dan Forester, seorang guru biologi di sebuah sekolah terpilih menyertai program 'draft' tersebut. Dia 'terpilih' dan disahkan dapat menyertai program berkenaan kerana berdasarkan rekod, Dan Forester akan meninggal dunia pada tahun 2030, iaitu sebelum perang mula tercetus pada tahun 2048. Ini untuk mengelak 'paradoks' yang mungkin terjadi sekiranya dia masih hidup pada tahun 2051. (Anda boleh buat carian pasal 'time travel paradox' untuk lebih memahami). Walaupun pada mulanya berat hati untuk meninggalkan isteri dan anak perempuan kesayangannya, Muri, akhirnya Dan membuat keputusan untuk menyertai perang tersebut. Dan Forester sebenarnya seorang bekas tentera, jadi dia tak gentar untuk berperang.
Tahun 2051, kesemua peserta 'draft' dari kumpulan yang disertai Dan Forester dihantar ke kawasan Pantai Miami, di mana mereka perlu menyelamatkan sepasukan saintis dan bahan kajian yang penting dari sebuah makmal. Dalam operasi menyelamat yang penuh kesukaran dan genting akibat diserang segerombolan alien yang digelar 'Whitespikes', akhirnya Dan bersama 2 lagi orang berjaya terselamat dalam misi menyelamatkan bahan kajian yang penting. Dan Forester bangun dari pengsan dan kini berada di sebuah kem tentera, di mana dia akhirnya bertemu dengan 'komander operasi' yang memberi arahan kepada pasukan 'draft' Dan ketika di Pantai Miami sebelum itu. Hendak dijadikan cerita, 'komander' atau Kolonel Forester tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah anak perempuan kesayangan Dan itu sendiri, iaitu Muri dari tahun 2051. Kini, mereka perlu bekerjasama untuk memastikan mereka memenangi peperangan menentang alien ini. Dapatkah gandingan 2 beranak ini berjaya menamatkan ancaman alien pada masa hadapan?
Komen :
Filem ini menyelitkan unsur-unsur kekeluargaan (kasih sayang anak perempuan-bapa, anak lelaki-bapa) yang mungkin akan menyentuh hati mereka yang berkenaan. Perang menentang alien? Mungkin tema ni agak 'cliche', tapi pada saya plot filem ini tidak membosankan, dan durasi filem ini yang selama 2 jam 15 minit hampir tak terasa walaupun saya tonton filem ini pada jam 3am-5am.
Macam mana nak tengok filem ni? Anda boleh langgan perkhidmatan Amazon Prime, memandangkan ianya filem ekslusif untuk Amazon Prime. Kalau tak ada akses, anda boleh pandai-pandai cari sendiri di internet ya. (Hint : Torrent, streaming)
Rating : 4.5⭐