Hari keempat di bumi Hong Kong. Hari ini kami akan pulang ke tanah air yang tercinta selepas 4 hari 3 malam di sini. Tapi sebelum pulang, sempat lagi kami ke Mong Kok lagi sekali!
10.55am - "Mika dah siap nak balik ni Papa!"
"Yeayyyyy!!!"
Cinta-cinta hati saya bergambar sebelum check out bilik hotel penginapan kami sepanjang 3 malam di sini.
11.45am - Kami selesaikan urusan check out bilik hotel di lobi.
11.51am - Seperti biasa, kami turun ke platform MTR Stesen Sai Ying Pun menerusi pintu A2 yang terletak bersebelahan dengan pintu hotel penginapan kami.
Tinggi kan escalator ni?
11.58am - Selepas kira-kira 7 minit berjalan kaki, akhirnya kami tiba di platform. Jadi kena lah bergambar dulu sebelum tren sampai.
1 bagasi besar, satu beg jinjing, satu beg galas, dan satu stroller boleh lipat (saiz kabin).
Dari platform 1 di Stesen Sai Ying Pun, kami menaiki tren Island Line menuju ke arah Chai Wan untuk ke Stesen Central.
12.03pm - Kami tiba di Stesen Central selepas kira-kira 5 minit perjalanan dari Stesen Sai Ying Pun.
Dari sini, kami perlu berjalan ke Stesen Hong Kong, di mana terdapatnya perkhidmatan Airport Express.
Kami menuju ke arah 'In-town Check-in' kerana di sana terdapatnya perkhidmatan menyimpan bagasi, kerana kami berhasrat nak berjalan-jalan buat kali terakhir di kawasan Mong Kok sebelum pulang ke tanah air.
Menuju ke arah pintu keluar B.
Tips : Inilah dia rupa kaunter di mana kami menyimpan bagasi kami selama beberapa jam semasa kami ke Mong Kok. Ianya terletak tidak jauh dari pintu keluar B, di Tingkat G. Ia dibuka dari jam 6.00am hingga 1.00am setiap hari. Kalau flight anda lambat lagi, dan anda sudah kena check out hotel (biasanya jam 11.00am - 12.00pm), maka sempat lagi kan kalau nak jalan-jalan atau nak shopping kat sekitar Hong Kong? Daripada kena mengusung bagasi, lebih baik anda tinggalkan di Stesen Hong Kong ini.
12.20pm - Kami tiba di tempat menyimpan bagasi tadi. Tapi ianya bukan percuma ya! Selain anda perlu menunjukkan passport, anda juga perlu membayar kadar sewaan sebanyak HKD 53 (+/- RM 26.50) untuk setiap bagasi untuk tempoh 3 jam, atau HKD 69 (RM 34.50) untuk setiap bagasi untuk tempoh 24 jam. Bayaran hanya dalam bentuk tunai. Anda perlu bayar ketika mengambil bagasi nanti.
12.29pm - Selesai urusan meninggalkan bagasi di kaunter, kami pun bergerak menuju ke platform untuk ke Mong Kok sekali lagi. Untuk ke Mong Kok, kami perlu patah balik ke Stesen Central. Kami perlu menaiki Tsuen Wan Line menuju ke arah Tsuen Wan dan turun di Stesen Mong Kok.
12.36pm - Kami menaiki tren menuju ke arah Mong Kok.
12.48pm - Kami tiba di Stesen Mong Kok selepas kira-kira 12 minit perjalanan dari Stesen Central.
Seperti semalam, kami akan menuju ke pintu keluar D, untuk ke arah Tung Choi Street di mana terletaknya Ladies' Market.
12.52pm - Kami tiba di pintu keluar D.
Sekitar kawasan tidak jauh dari pintu keluar D.
1.18pm - Kami sempat singgah ke salah satu kompleks membeli-belah moden yang terletak di Mong Kok ini, iaitu Langham Place. Kenapa kami ke sini? Kerana di sini terdapatnya LEGO Certified Store! Hehe.
LEGO Store terdapat di Tingkat 12 kompleks membeli-belah Langham Place ini. Lift yang terdapat di kompleks ini nya agak aneh sedikit kerana ada sesetengah lift yang tidak cover beberapa tingkat, contohnya dari tingkat 5 hingga ke 11 seperti pada lift yang kami naik ini. Mungkin kerana reka bentuk dalaman bangunannya yang agak unik.
1.35pm - Yeay, dah sampai akhirnya LEGO Certified Store! Tapi akhirnya tak beli apa-apa pun. Sebab niat di hati nak beli LEGO Hulkbuster, tapi tak ada stok pula.
Kami menuruni salah satu escalator yang terdapat di Langham Place ini. Escalator ini bukan hanya turun satu tingkat, tapi bertingkat-tingkat tingginya, mungkin sebab itu tak perlu guna lift? Kami tak sempat nak explore lebih lama di Langham Place ini memandangkan kesuntukan masa. Tapi rasanya kompleks membeli-belah ini lebih menarik dan lebih wallet-friendly berbanding yang terdapat di kawasan Tsim Sha Tsui semalam!
2.05pm - Cukup di Langham Place, kami keluar menuju ke kawasan Ladies' Market untuk mencari restoran yang menyediakan makanan halal.
2.14pm - Restoran yang kami singgah pada hari ini adalah Restoran Miss India, terletak di tepi deretan kedai-kedai di Ladies' Market.
Mika dah lapar, jadi bagi Mika makan biskut dulu.
Menu kami pada hari ini adalah Nasi Briyani Ayam dan Cheese Naan. Tapi rasanya kedai yang kami singgah semalam lebih sedap.
2.57pm - Selesai makan tengahari, kami bergegas menuju ke pintu masuk ke Stesen Mong Kok yang terletak tidak jauh dari restoran tadi.
Menuju ke platform.
3.02pm - Kami tiba di platform 2, Stesen Mong Kok untuk menuju ke Stesen Central. Kami menaiki tren tidak lama kemudian.
3.15pm - Kami tiba di Stesen Central.
Dari Stesen Central, sekali lagi kami perlu ke Stesen Hong Kong untuk mengambil bagasi kami yang ditinggalkan tadi sebelum pergi ke platform Airport Express yang terdapat di sana. Kami cuma terlewat lebih kurang 3 minit dari waktu yang ditetapkan iaitu 3 jam, jadi akhirnya kami kena bayar mengikut kadar sewaan 24 jam, iaitu daripada HKD 53 (+/- RM 26.50) kepada HKD 69 (+/- RM 34.50) untuk setiap bagasi. Isk isk isk.
3.35pm - Alhamdulillah, kami dah selamat menaiki tren Airport Express untuk menuju ke Hong Kong International Airport.
"Yeay! Kita nak balik dah!"
Menikmati pemandangan sebelum sampai ke lapangan terbang.
4.05pm - Kami selamat tiba di Hong Kong International Airport.
Menuju ke balai pelepasan.
Menaiki lift menuju ke Tingkat L5, di mana terdapat kaunter check in T2.
Sebelum sempat ke kaunter check in, terkena pulak dengan jebak terakhir yang Hong Kong Disneyland letak kat sini. Lol. Saya sempat membeli hoodie versi Iron Man dengan harga diskaun 50%, iaitu saya beli 2 pasang dengan harga satu pasang. Kalau beli 3 pasang, diskaun 70% kalau tak silap. Jadi kalau nak lebih murah, beli lagi banyak! Memang betul nak habiskan stok ni!
Selesai di kedai Hong Kong Disneyland, kami terus menuju ke kaunter check in T2 sebelum turun ke platform untuk menaiki tren menuju ke kawasan boarding gates.
5.34pm - Kami tiba di platform untuk menuju ke kawasan boarding gates.
5.36pm - Tren tiba kira-kira 2 minit kemudian.
5.38pm - Kami turun di platform di mana terletaknya Gate 1 hingga 36.
Di kawasan Gate 1 hingga 36 ini, terdapat banyak kedai-kedai untuk anda pergi, selain restoran.
Sempat mencuba teh susu botol 'HK Style' ini. Rasanya sedikit pelik. Apa-apa pun saya tetap rindukan teh susu botol di Jepun.
7.16pm - Cari punya cari Restoran Popeyes tapi tak jumpa, akhirnya alhamdulillah, kami jumpa Restoran Oldtown White Coffee yang halal ini.
Restoran Oldtown ini mempunyai menu yang lebih kurang sama seperti di Malaysia. Anda boleh jumpa di Terminal 1, Tingkat 6, West Hall Airside.
Kami tak adalah lapar sangat sebenarnya, tapi saja nak habiskan duit HKD yang masih ada di tangan. Kalau tinggal sedikit sahaja nak tukar balik ke ringgit pun tak berbaloi kan?
Untuk rujukan anda, set yang kami order seperti dalam gambar di atas berharga HKD 85 (+/- RM 42.50). Ya, harga makanan di Hong Kong ini agak mahal.
Di kawasan Gate 1 hingga 36 ini juga terdapat surau yang disediakan untuk pengguna. Jadi bolehlah anda menunaikan solat atau solat Jamak sebelum menaiki flight. Jangan pula anda tidur di surau yang disediakan ini sementara tunggu flight ya?
Tempat mengambil wuduk yang terdapat di dalam surau
Pintu masuk ke surau atau dilabelkan sebagai 'Prayer Room'. Surau ini walaubagaimanapun tidak mengasingkan tempat antara lelaki dengan wanita. Tak apa lah, orang dah sediakan tempat solat pun dah cukup bagus kan?
7.56pm - Lama kami menunggu di kawasan Gate 1 hingga 36 ini dan maklumat mengenai flight kami tak muncul-muncul pun di paparan skrin yang terdapat di sekitar sini. Rasa risau dah mula datang ni. Sebab waktu boarding dah semakin hampir, tapi masih belum tahu gate mana yang perlu kami pergi.
Tetiba saya terdetik untuk check semula kertas yang diberikan dan ditandakan oleh pegawai bertugas semasa check in tadi. Ya Allah, rupa-rupanya kami tersilap kawasan boarding gates! Untuk pengetahuan anda, di kawasan boarding gates 1 hingga 36 ini, maklumat penerbangan yang dipaparkan di skrin hanyalah melibatkan flight yang terdapat di boarding gates 1 hingga 36 sahaja!
Pegawai tadi sudah pun bagitahu sebenarnya, apabila dia bulat besar-besar pada kawasan boarding gates 201 hingga 230. Sebabnya pada boarding pass kami, tak dinyatakan pun gate mana yang perlu kami pergi. Semasa check in tadi saya pun tak tengok sangat, main angguk je dan tak fokus dengan apa yang diberitahu pegawai bertugas. Dapat pengajaran yang agak berharga di situ. Kalau tak dah terlepas flight kami pada malam tersebut akibat kecuaian sendiri.
8.12pm - Kami turun semula ke platform tren dan menaiki tren menuju ke kawasan boarding gates 201 hingga 230. Kami tiba beberapa minit kemudian di kawasan boarding gates 201 hingga 230 dan terus ke gate yang sepatutnya kami tunggu, iaitu Gate 214.
Sempat menghabiskan duit syiling dengan membeli air minuman oren dari vending machine yang terdapat tidak jauh dari Gate 214.
Terdapat power source untuk anda gunakan semasa menunggu di kawasan gate di sini. Mungkin anda boleh gunakan laptop atau charge telefon pintar.
9.02pm - Kami beratur untuk menaiki kapal terbang. Sekiranya anda membawa anak kecil, anda boleh minta kepada pegawai bertugas untuk diberikan keutamaan untuk masuk lebih awal.
Waktu boarding kami adalah jam 9.05pm, menaiki penerbangan Air Asia, nombor penerbangan AK 131 dari Hong Kong International Airport menuju ke klia2.
9.10pm - Kami sudah menaiki kapal terbang, jenis Airbus A320-200neo.
Penerbangan seterusnya pula pada jam 5.40am, menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
4.54am - Papa dan Mika masing-masing pun dah penat dan mengantuk, tapi tetap berjaga sebab tak boleh tidur dan tak ada tempat nak tidur. Kami menghabiskan masa beberapa jam sebelum kaunter imigresen dibuka pada jam 4.30am.
5.08am - Kami dah selamat menaiki kapal terbang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Terdapat perkhidmatan Wi-Fi percuma di dalam flight balik kami ini.
Anda cuma perlu connect Wi-Fi bernama ROKKI yang terdapat di dalam flight, dan pergi ke laman web rokki.com sebelum boleh melayari internet.
Kami menaiki kapal terbang jenis Airbus A320-200.
Matahari terbit yang sempat saya rakam ketika di dalam flight.
6.43am - Alhamdulillah kami dah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan keluar dari kapal terbang.
7.47am - Selesai urusan di lapangan terbang, masa untuk kembali ke realiti. Tapi sebelum boleh berehat, saya perlu pandu kereta untuk pulang ke Taiping.
Tips : Kadar bayaran parking kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang adalah RM 24 sehari / 24 jam.
Pada hari keempat dan kelima trip ke Hong Kong dan pulang semula ke Malaysia ini, saya telah berjalan sebanyak (anggaran) 7,105 langkah, bersamaan dengan 4.5km. Paparan data ini adalah dari aplikasi Android Mi Fit dan data diperoleh melalui penggunaan Mi Band 2.
Demikianlah catatan perjalanan saya dan isteri tercinta bercuti ke Hong Kong bersama anak kecil kami selama 6 hari 5 malam dari 24 April 2018 hinggalah 29 April 2018. Saya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kelancaran dan keselamatan kami sekeluarga sepanjang perjalanan pergi dan balik kami ke bumi Hong Kong, dan juga kepada anda pembaca yang sudi membaca catatan perjalanan saya ini.
Kepada anda yang berminat untuk mendapatkan itinerary yang saya gunakan dalam trip Hong Kong ini, saya telah sediakan 2 links untuk anda download di bawah, satu itinerary yang dibuat sebelum saya menjejakkan kaki ke Hong Kong, dan satu lagi itinerary sebenar sepanjang perjalanan saya sekeluarga di sana seperti yang anda baca di dalam catatan perjalanan di blog ini.
Download
Semoga catatan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada anda.
Jumpa lagi di catatan perjalanan yang akan datang, insyaAllah.
6 comments :
Antara blog terbaik sy pernah saya jumpa selama ni. Well done !
Hi Jack. Terima kasih. Semoga bermanfaat kepada anda.
Assalam, nak tanya utk baby ade buat passport ke, if ade berapa harganya ya?
Wassalam. Yea, baby pun kena ada passport sendiri sekarang, tak macam dulu boleh tumpang ibu. Harga tak ingat, kalau tak silap RM 200 untuk 3 tahun. Encik boleh rujuk website rasmi Jabatan Imigresen.
As Salam,
Nak tanya, rate hotel agak mahal. Macam mana tuan boleh dapat murah? Saya akan ke sana bulan 11 ni bersama isteri dan 2 anak(4 dan 6 tahun). Saya memang akan follow bulat2 iti tuan ni. Anyway, very detail. Terima kasih?
Wassalam. Untuk hotel, saya booked menggunakan app Expedia. Harga mungkin berbeza-beza ikut app yang digunakan, musim, dan bilangan penghuni. Contohnya masa saya pergi, cuma kira 2 dewasa sebab bayi berumur 2 tahun ke bawah tak dikira. Macam tuan, akan pergi 2 dewasa dan 2 kanak-kanak, jadi biasanya memang harga akan dikira lebih, sebab 4 orang penghuni. Mungkin tuan boleh cuba lagi guna app Trivago atau app booking hotel yang lain. Kalau tak dapat hotel yang sama, mungkin ada hotel berdekatan. Cuba cari hotel yang dekat dengan stesen MTR untuk memudahkan perjalanan. Semoga dapat membantu. :)
Post a Comment