Friday 4 May 2018

HONG KONG 2018 Travelogue (Day 1) : Hong Kong International Airport - Sai Ying Pun - The Peak

Hari Pertama (25 April 2018) : Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong - Sai Ying Pun - The Peak

Hari pertama di bumi Hong Kong. Alhamdulillah, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada kira-kira jam 11.05am.


11.11am - Baru keluar dari kapal terbang. Mika nampak semangat =D

Maklumat penerbangan dan tempat mengambil bagasi kami.

Dari gate ketibaan, kami perlu menaiki tren lapangan terbang menuju ke imigresen.


11.48am - Selesai urusan di imigresen, kami pun pergi ke tempat mengambil bagasi kami.


Perkara pertama yang saya perlu dilakukan sebaik keluar dari tempat mengambil bagasi adalah untuk pergi mengambil Octopus Card yang telah saya tempah terlebih awal menggunakan aplikasi KLOOK (sila rujuk entry terdahulu).

Saya perlu ke kaunter A13 di kawasan Arrivals Hall A.

Directory ini terletak berdekatan dengan pintu keluar selepas mengambil bagasi tadi.

Alhamdulillah, kami dah selamat sampai ke Hong Kong.

12.05pm - Saya tiba di kaunter A13 untuk mengambil Octopus Card. Anda perlu tunjukkan bukti pembelian melalui KLOOK (jika beli melalui KLOOK seperti saya) untuk mengambilnya. 

Inilah dia Octopus Card! Fungsinya lebih kurang sahaja dengan Touch 'n Go yang terdapat di Malaysia. Octopus Card yang dibeli melalui KLOOK ini hanya mempunyai kredit asas sebanyak HKD 50, iaitu kira-kira RM 25. Jadi ianya tidak akan cukup kalau hendak digunakan sepanjang kami 4 hari di Hong Kong ini.

Oleh itu, saya telah pergi topup Octopus Card tersebut di kedai 7-Eleven yang terdapat di tingkat yang sama dengan kaunter A13 tadi, di Arrival Hall.

Topup sebanyak HKD 300 bagi setiap kad.

12.29pm - Disebabkan masih awal (waktu check in hotel adalah jam 2.00pm), dan perut pun mula rasa lapar, maka kami pun pergi menuju ke tingkat 7 untuk mencari restoran Popeyes Chicken & Biscuits, kerana ia merupakan satu-satunya restoran halal di lapangan terbang ini (semasa hari akhir, kami menjumpai sebuah lagi restoran halal selain Popeyes). 

Setelah mencari tapi tak jumpa, akhirnya saya bertanya pada Information Counter, rupanya restoran tersebut terletak di dalam kawasan Departures, yang mana orang yang nak berlepas sahaja boleh masuk dan makan di sana. Jadi kami pun membuat keputusan untuk terus ke hotel penginapan kami.

12.43pm - Kami tiba di Stesen Airport Express yang terletak tidak jauh dari Arrival Hall. Terdapat mesin menjual tiket di sini. Sekiranya anda sudah mempunyai Octopus Card, maka tak perlu lah beli lagi tiket.

Anda boleh terus menaiki tren Airport Express ini dan hanya perlu gunakan Octopus Card ketika tiba di lokasi nanti.

Kami akan menaiki tren dari stesen di lapangan terbang ini, menuju ke Stesen Hong Kong.

12.47pm - Kami sudah pun menaiki tren Airport Express ini. 


Terdapat ruang meletakkan bagasi anda bersebelahan dengan pintu masuk/keluar setiap koc.


Papan tanda yang menunjukkan secara langsung anggaran kedudukan tren ketika itu. 

Terdapat shuttle bus percuma dari Stesen Hong Kong ke beberapa tempat tertentu.

Mika dan Mama <3 p="">
12.54pm - Jauh dan lama juga sebenarnya perjalanan dari lapangan terbang ke Stesen Hong Kong ini. Boleh lah ambil masa untuk berehat atau lelapkan mata kalau mahu. Tapi pada pendapat saya lebih baik tengok ke luar tingkap dan tengok suasana sekeliling, bukan selalu kan?

1.14pm - Lebih kurang 27 minit perjalanan, akhirnya kami tiba di Stesen Hong Kong.

Dari Stesen Hong Kong ini, kami perlu berjalan ke Stesen Central untuk menaiki tren Island Line bagi menuju ke tempat penginapan kami. Kedua-dua stesen ini bersambung di bawah tanah, cuma jarak berjalan kaki antara dua stesen ini adalah lebih kurang 5 hingga 10 minit.

1.16pm - Menaiki lift untuk menuju ke Island Line. 

Tips : Perkhidmatan lift memang terdapat di stesen-stesen MTR, tapi apabila tiba di gate keluar (perlu scan Octopus Card/masukkan tiket tren), mungkin anda perlu lipat stroller berkenaan kerana tak semua gate keluar mempunyai kelebaran yang bersesuaian dengan stroller, atau mungkin juga kerana kami yang tak jumpa sepanjang di Hong Kong selama 4 hari? Satu lagi perkara yang wajib anda ketahui adalah, lift yang disediakan di stesen MTR tak akan cover semua pintu keluar, jadi ianya sedikit sebanyak agak menyusahkan kerana bila anda keluar dari pintu keluar yang dibawa oleh lift, tiada petunjuk arah diberikan untuk ke pintu keluar yang kita tujui. (Sila baca perenggan ketika kami menuju ke hotel penginapan untuk check in).

1.23pm - Berhenti sekejap untuk membuat susu Mika.

Poster besar Avengers : Infinity War yang terdapat di sini.

1.29pm - Meneruskan perjalanan menuju ke Stesen Central. Terdapat travelator di kedua-dua arah bagi mencepatkan perjalanan. Stesen Central dan Stesen Hong Kong ini agak sibuk dan ramai dengan orang kerana kedua-duanya merupakan stesen tumpuan di mana terdapat banyak lines MTR yang berpusat atau bertembung di sini, jadi ramai yang akan bertukar platform atau line, termasuklah yang ingin menuju atau datang dari lapangan terbang dengan menaiki Airport Express.

1.29pm - Akhirnya kami tiba di Stesen Central.

Masih mengikuti petunjuk arah ke Island Line.

Untuk menuju ke hotel penginapan kami di Sai Ying Pun, kami perlu menaiki Island Line menuju ke arah Kennedy Town.

1.33pm - Kami tiba di platform.

Dari Stesen Central, kami perlu menuju ke Stesen Sai Ying Pun yang cuma terletak 2 stesen jaraknya.

1.37pm - Kami menaiki tren menuju ke Stesen Sai Ying Pun.

Keadaan di dalam tren. Lebih kurang sahaja dengan mana-mana subway atau tren di lain-lain negara.

Kena photobomb pula dengan orang di belakang. Isk isk isk

1.39pm - Hanya lebih kurang 3 minit perjalanan, kami akhirnya tiba di Stesen Sai Ying Pun.

Yeay, dah sampai!

Mengikut itinerary yang disediakan, kami perlu menuju ke pintu keluar A2 yang terletak betul-betul bersebelahan dengan hotel penginapan kami.

Menuju ke pintu keluar A.

Papan tanda yang memberi informasi lokasi-lokasi berdekatan dengan pintu keluar.

Oleh kerana kami menggunakan stroller, jadi kami memilih untuk menaiki satu-satunya lift yang terdapat di pintu keluar A di Stesen Sai Ying Pun ini. Tapi lift ini cuma membawa kami ke pintu keluar A1, dan bukannya A2 yang kami tujui. 

Pintu keluar/masuk A1. 

Sebaik keluar dari lift, tiada penunjuk arah ke manakah harus kami tujui jika ingin ke arah pintu A2 yang berdekatan dengan hotel penginapan kami. Hanya dengan menggunakan aplikasi Google Maps di telefon, baru lah diketahui yang rupanya pintu A2 terletak di sebelah belakang bangunan yang menjadi tempat atau pintu keluar A1. Jadi terpaksalah kami tawaf bangunan tersebut untuk menuju ke hotel penginapan kami. Jarak jalan kaki lebih kurang 150 meter juga.

Kami tiba dan check in di hotel penginapan, iaitu Eco Tree Hotel lebih kurang jam 2.15pm

Masa untuk berehat!

Semasa dalam perjalan ke hotel tadi, kami sempat singgah beli air minuman di 7-Eleven. Sedap sungguh air banana milk ni.

Tak perlu risau, kerana ianya halal, disahkan oleh Korean Muslim Federation Halal Committee.

4.46pm - Selepas berehat selama 2 jam, kami memulakan perjalanan kami ke tempat tarikan yang telah saya plan di dalam itinerary. Tempat yang akan kami tujui petang tersebut adalah The Peak atau juga dikenali sebagai Victoria Peak.

Pintu keluar hotel dan pintu keluar/masuk A2 Stesen Sai Ying Pun betul-betul bersebelahan sahaja sebenarnya, tapi kerana kami keluar ikut pintu A1 menggunakan lift tadi, maka kami terpaksa jalan jauh.

Pintu masuk/keluar A2 Stesen Sai Ying Pun.

Jauh juga sebenarnya perjalanan jalan kaki dari pintu masuk/keluar A2 tadi menuju ke platform. Travelator cuma disediakan bagi pejalan kaki yang menuju ke pintu keluar, tapi tidak untuk yang menuju ke platform.

Kami perlu menaiki Island Line, menuju ke arah Chai Wan.

4.53pm - Selepas lebih kurang 7 minit perjalanan jalan kaki dari hotel, kami tiba di platform.

Kami perlu menuju kembali ke Stesen Central, kerana di sana nanti kami perlu berkumpul dan bertemu dengan wakil dari KLOOK yang akan membawa kami ke stesen Peak Tram

Tips : Saya telah membeli tiket kombo Peak Tram + Sky Terrace 428 + Madame Tussauds Hong Kong menggunakan aplikasi KLOOK sebelum datang ke Hong Kong ini. Terdapat beberapa kelebihan membeli tiket kombo ini dari KLOOK, iaitu selain harga kombo yang lebih murah jika dibandingkan dengan membeli tiket secara berasingan, ia juga menjamin anda tak perlu beratur panjang untuk membeli tiket Peak Tram, kerana anda akan dibawa secara berkumpulan oleh wakil dari KLOOK dan menggunakan laluan khas untuk menaiki Peak Tram tersebut. Mengikut 'kajian' saya di internet, biasanya ia akan mengambil masa lebih kurang 2 jam untuk beratur membeli tiket, terutamanya ketika waktu puncak atau pada hari minggu.

4.54pm - Kami menaiki tren menuju ke Stesen Central.

4.57pm - Hanya lebih kurang 3 minit perjalanan, kami tiba di Stesen Central.

Berjalan menuju ke pintu keluar yang telah ditetapkan oleh pihak KLOOK.

Kami menuju ke pintu keluar K, iaitu tempat berkumpul sebelum bertemu dengan wakil dari KLOOK.


5.03pm - Kami keluar dari pintu keluar K, iaitu di Statue SquareWaktu pertemuan dengan wakil dari KLOOK yang saya pilih adalah pada jam 5.30pm, dan kami perlu datang sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal. 

Oleh kerana masih ada masa dan wakil dari KLOOK masih belum kelihatan, maka kami berwefie dahulu!


Patung Sir Thomas Jackson yang terdapat di Statue Square, salah seorang 'orang kuat' yang pernah memimpin HSBC pada suatu ketika dahulu.

5.15pm - Tepat 5.15pm seperti yang diberitahu, wakil dari KLOOK pun muncul dengan membawa bendera KLOOK yang berwarna jingga.

Bila dah berbaris, baru sedar ramai yang berada di sekitar kawasan Statue Square tadi pun macam kami, menunggu wakil dari KLOOK tiba.

Bangunan utama HSBC yang terletak berhadapan dengan Statue Square.

Setiap peserta KLOOK diberikan sticker berlainan warna mengikut pakej yang dibeli masing-masing.

Kami menerima tiket The Peak yang meliputi tiket Peak Tram, dan juga tiket ke Sky Terrace 428. Tiket masuk ke Madame Tussauds pula katanya akan diberikan ketika tiba di atas nanti.

5.32pm - Wakil KLOOK sedang memberi penerangan mengenai aturcara perjalanan.

Beliau menerangkan mengenai jenis tiket yang diberikan kepada peserta, iaitu ada yang jenis round trip (pergi dan balik menaiki Peak Tram), dan ada yang jenis single trip (tiket pergi menaiki Peak Tram sahaja).

5.37pm - Selesai memberi penerangan, semua peserta perlu mengikuti wakil dari KLOOK tadi untuk menuju ke stesen Peak Tram yang terletak lebih kurang 300 meter dari Statue Square.

Terdapat banyak bangunan pencakar langit di bumi Hong Kong ini.


Berjalan beramai-ramai. Nampak tak bendera KLOOK yang berwarna jingga dalam gambar di atas? Agak sukar atau memenatkan sebenarnya jika anda menggunakan stroller dan mengikuti rombongan ini, kerana agak sesak dan permukaan jalan yang condong (menaiki bukit). Nasib baik saya dan isteri membuat keputusan untuk hanya menggunakan baby carrier dan tidak membawa stroller untuk aktiviti petang itu.

5.45pm - Selepas kira-kira 8 minit berjalan kaki dalam kumpulan, akhirnya kami sampai di stesen Peak Tram, tapi perlu menyeberang jalan untuk menuju ke stesen Peak Tram tersebut.

Kami tiba dalam kumpulan, dan terus bergerak menuju ke tempat menaiki Peak Tram.

Di sepanjang barisan ini, terdapat galeri atau pameran sejarah Peak Tram di bahagian kiri dan kanan, jadi sementara menunggu giliran menaiki Peak Tram, dapatlah kita membaca atau melihat bahan-bahan bersejarah.


Menunggu giliran untuk menaiki Peak Tram.


Suasana sekitar barisan untuk menaiki Peak Tram.



Agak sesak, tak tahulah bagaimana agaknya keadaan ketika waktu puncak atau hari minggu.

5.53pm - Peak Tram yang ditunggu akhirnya tiba.

5.56pm - Kami menaiki Peak Tram. Pengunjung sebenarnya digalakkan untuk duduk di sebelah kanan untuk menikmati pemandangan bandar Hong Kong ketika Peak Tram membawa pengunjung ke terminal. Wakil dari KLOOK ada memberitahu ketika memberi penerangan tadi.


Peak Tram ini condong lebih kurang 30 darjah, boleh terasa graviti menarik badan kita rapat ke tempat duduk.

6.04pm - Selepas kira-kira 8 minit perjalanan, kami tiba di terminal, iaitu di The Peak Tower.



6.07pm - Seperti dijanjikan, kami diberikan tiket masuk ke Madame Tussauds oleh wakil dari KLOOK tadi. Kami sempat wefie selepas ambil tiket, dan sekali lagi kena photobomb dengan makcik kat belakang tu. Isk.

Inilah rupanya tiket masuk ke Madame Tussauds.

Pintu masuk ke Madame Tussauds Hong Kong. Ianya terletak tidak jauh dari pintu masuk sebaik anda tiba dari menaiki Peak Tram tadi.

Terdapat patung lilin Bruce Lee yang diletakkan di luar pintu masuk ke Madame Tussauds Hong Kong ini, jadi kalau anda tak nak masuk ke dalam, masih boleh bergambar dengan Bruce Lee di sini.

6.14pm - Untuk tidak membuang masa, kami terus masuk ke dalam Madame Tussauds Hong Kong ini.

Haa, Doctor Strange pun ada.

Andy Lau! Dah nama pun Madame Tussauds Hong Kong, mestilah ada patung lilin bintang filem dari sana ye tak?

Amitabh Bachan pun ada.

Kelly Chen. Sesiapa yang layan filem-filem atau drama-drama Cina mesti kenal banyak patung-patung lilin yang terdapat di sini.

Isteri dan Mika bergambar dengan patung lilin Angelina Jolie.

Terdapat banyak patung-patung lilin di sini yang dibahagikan mengikut kategori. Ada kategori bintang filem, atlet sukan, pemimpin negara, dan lain-lain.

Johnny Depp. Mika pun pelik siapa la mamat ni.

Peminat tegar Twilight katanya. Sekali lagi Mika jeling ke tepi. Hahaha.

Ada 'tourist trap' di sini, tapi boleh saya katakan ianya berbaloi. Mahu gambar anda diukir dalam bentuk imej 3D di dalam kiub kaca?

Personalised Laser Engraving. Di mana staf akan ambil gambar kita, dan kemudian ukir gambar kita ke dalam kiub kaca. Agak unik dan rasanya berbaloi untuk berbelanja di 'tourist trap' ini. Harganya bermula dari HKD 190 (RM 95) kalau tak silap.

Kalau nak gambar anda dilukis pun boleh, harga bermula dari HKD 110 (RM 55).


Epik betul riak wajah Donald Trump ni walaupun cuma patung lilin.

Patung lilin orang Malaysia pun ada di sini! Tan Sri Dato' Sri Michelle Yeoh. (done claim)

Jackie Chan kalau tak ada tak sah la kan?


Shah Rukh Khan zaman muda.

Artis Korea pun ada, Bae Yong-joon.

Agak mengecewakan CR7 tak berapa nak realistik.

Abam Beckham!



Selain manusia, watak-watak superhero pun ada di sini.


Wefie dengan Iron Man.

7.22pm - Selesai di Madame Tussauds, kami pun bergerak menuju ke tingkat atas di The Peak Tower ini.

Terdapat kedai cenderahati Hard Rock Cafe Hong Kong di tingkat G. Menjadi kewajiban bagi sesetengah orang untuk membeli baju Hard Rock Cafe yang terdapat di tempat yang mereka pergi, lagi pun sesetengah design adalah unik mengikut tempat. Jadi kalau dah sampai Hong Kong, beli lah baju Hard Rock Cafe edisi Hong Kong ye tak?

7.45pm - Seterusnya kami menaiki lagi escalator menuju ke tingkat atas di mana terletaknya Sky Terrace 428, iaitu sebuah anjung tinjau.

7.53pm - Harga tiket masuk ke Sky Terrace 428 ini adalah HKD 52 (RM 26) bagi dewasa. Tapi oleh kerana kami sudah membeli tiket kombo bersama dengan Peak Tram, jadi kami cuma perlu gunakan tiket kombo tadi.

7.58pm - Isteri tercinta dan Mika yang kami terus pakaikan baju sejuk kerana suhu di Sky Terrace pada malam itu agak sejuk, rasanya dalam berbelas-belas Celsius.

Sempat menggunakan fungsi night mode di telefon Huawei P20 Pro. Memang cantik gambar waktu malam yang telefon ini mampu hasilkan! Gambar ini tidak diedit selepas diambil.

Suasana di Sky Terrace ini sebenarnya agak sesak, jadi susah nak ambil gambar dengan lebih baik atau nak menggunakan tripod.

Satu lagi gambar yang diambil menggunakan night mode tapi dari sudut lain.

"Say I love you at The Peak"

Ambil gambar spontan kat iklan ini sebab kami datang dari Taiping, Perak. Lol

Kami tak berada lama di Sky Terrace 428 kerana kesiankan Mika yang nampak semakin penat dan suhu pula agak sejuk. Sebenarnya bukan Mika sahaja yang penat, saya dan isteri pun sebenarnya agak kepenatan kerana sejak malam tadi tak sempat berehat.

8.14pm - Sekali lagi kami masuk ke dalam tourist trap' dengan rela. Memandangkan susah nak ambil gambar bertiga secara sendiri tadi akibat ramai sangat orang, maka kami pun beli gambar yang diambil oleh jurugambar sebaik kami tiba di Sky Terrace 428 tadi.

Kaunter membuat pembayaran dan mengambil gambar tadi.

Terdapat juga Madness 3D Adventure di The Peak Tower ini, yang mana anda boleh bergambar dan beraksi. Masuk adalah percuma. Tapi kami tak pergi sebab kesuntukan masa dan agak kepenatan. Mungkin kalau nak betul-betul explore semua yang ada di The Peak Tower ini, anda perlu datang sekurang-kurangnya dari waktu tengahari.

8.25pm - Kami mencari pintu keluar untuk balik ke hotel penginapan. Tempat naik Peak Tram untuk turun ke terminal di bawah terletak di luar bangunan The Peak Tower ini.

Papan tanda arah yang terletak tidak jauh dari tempat menaiki Peak Tram untuk turun ke terminal di bawah.

Oleh kerana melihatkan barisan panjang orang beratur untuk menaiki Peak Tram, maka kami pun membuat keputusan untuk bertanya kepada seorang petugas berhampiran jika ada pengangkutan lain yang boleh kami naiki untuk turun semula ke bawah. Beliau memberi tahu kami boleh menaiki teksi atau bas, dan terdapat kawasan menunggu bas dan teksi di bangunan bersebelahan dengan tempat berbaris untuk menaiki Peak Tram.

8.27pm - Kami memasuki ke kompleks The Peak Galleria yang terletak betul-betul bersebelahan atau berhadapan dengan tempat berbaris untuk menaiki Peak Tram.

Mencari tanda arah ke pengangkutan awam.

Terminal bas dan tempat menunggu teksi terletak di tingkat bawah.

8.34pm - Tidak lama selepas tiba di terminal bas dan tempat menunggu teksi, kami pun menaiki teksi untuk balik ke hotel penginapan kami. Rasa penat satu badan, jadi naik teksi je lah, boleh terus sampai ke hotel.

Teksi di Hong Kong ini menggunakan meter, dan bermula dengan HKD 24 (RM 12) untuk 2 kilometer yang pertama. Nilai akan bertambah setiap 200 ratus meter. Boleh rujuk SINI untuk tambang teksi di Hong Kong.

Pemanduan teksi di sini agak cekap, dah macam main game pun ada. Dah la turun bukit, serupa main game Initial D pula.

Teksi kami melintasi bangunan HSBC yang meriah dengan lampu.

8.51pm - Teksi menurunkan kami di hadapan hotel. Sempat saya ambil gambar tram klasik ini yang kebetulan sedang melalui kawasan di hadapan hotel penginapan kami.

8.57pm - Akhirnya kami sampai ke hotel penginapan kami. Masa untuk berehat!

Bahagian hadapan tiket Madame Tussauds tadi.


Pada hari pertama kami di bumi Hong Kong ini, saya telah berjalan sebanyak (anggaran) 10,853 langkah, bersamaan dengan 7.1km. Paparan data ini adalah dari aplikasi Android Mi Fit dan data diperoleh melalui penggunaan Mi Band 2.


Bersambung ke entry berikutnya...Hari Kedua (26 April 2018) : Disneyland Hong Kong


3 comments :

pensel said...

bestnya...sangat details... thanksssssssssssss

mfakhruddin said...

hi, boleh tahu berapa harga tiket untuk tiket kombo Peak Tram + Sky Terrace 428 + Madame Tussauds Hong Kong?

areev19 said...

Hi, semasa saya beli dulu lebih kurang RM157 seorang utk combo 3 in 1. Beli dengan aplikasi Klook. Tapi rasanya sekarang dah tak ada combo 3 in 1 jual kat Klook. Mungkin tuan boleh cuba cari di website rasmi Madame Tussauds HK, rasanya ada jual juga tiket combo di sana.

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile