Wednesday 5 October 2016

OSAKA & KYOTO 2016 Travelogue (Day 2) : Shinsekai District - Umeda - Chibune

Hari Kedua : Ahad (28 Ogos 2016) : Shinsekai District - Umeda - Chibune


Hari ini merupakan hari kedua kami di bumi Jepun, iaitu di Osaka.

9.48am - Selepas bersarapan, saya bersama ibu dan isteri tercinta memulakan perjalanan hari kedua kami menuju ke tempat tarikan pertama, iaitu ke Shinsekai District.


Tips : Walaupun stesen atau perkhidmatan train/subway dibuka awal pagi dan digunakan sebagai pengangkutan utama rakyat Jepun di bandar, namun kedai-kedai atau kompleks membeli-belah di Jepun biasanya buka pada jam 10.00am atau 11.00am. Jadi kalau nak mulakan perjalanan, saya cadangkan keluar dari hotel penginapan paling awal pada jam 9.00am.


Shinsekai merupakan kawasan kejiranan yang sudah agak lama wujud dan sangat terkenal di Osaka. Antara tumpuan utama di kawasan Shinsekai ini adalah Tsutenkaku Tower yang asalnya dibina pada tahun 1912.

Jarak Shinsekai District dengan hotel penginapan kami, Hotel Raizan South dan Stesen Dobutsuen-mae adalah lebih kurang 300 meter sahaja. Jadi kalau anda ingin datang ke sini dari tempat lain di Osaka, anda boleh turun di Stesen Dobutsuen-mae menggunakan train/subway Midosuji Line atau Sakaisuji Line.

Kami berjalan kaki dari hotel penginapan ke Shinsekai District.

Dalam gambar di atas inilah Tsutenkaku Tower! Kami berjalan kaki menuju ke sana.


9.55am - Selepas 7 minit berjalan kaki dari hotel, kami tiba di Shinsekai District.


Antara kedai yang terdapat di kawasan Shinsekai ini.

9.57am - Jalan masih lengang kerana hampir semua kedai masih belum buka.

Saya tertarik dengan kedai atau restoran bertemakan ahli Sumo ini. Ianya menawarkan makanan mengikut saiz 'Sumo'.

Antara menu saiz 'Sumo' yang terdapat di restoran ini. Besar amat!

Arca bayi gangsa yang terdapat di hadapan kedai dalam gambar adalah Billiken, yang menjadi ikon bagi kawasan Shinsekai. Billiken walau bagaimanapun bukanlah berasal dari Jepun. Anda boleh baca sejarah Billiken di Wikipedia atau boleh tanya Pakcik Google.

9.59am - Semakin menghampiri Tsutenkaku Tower yang terletak di tengah-tengah Shinsekai District.

Antara kedai lain yang berjaya menarik perhatian saya.

Saya dan isteri sempat bergambar di hadapan Tsutenkaku Tower.

Giliran ibu saya pula bergambar.

10.05am - Akhirnya kami tiba di kawasan bawah Tsutenkaku Tower.

Kedai cenderahati yang terdapat berdekatan dengan Tsutenkaku Tower.


Untuk menaiki Tsutenkaku Tower, anda perlu menaiki lift di sini.

10.10am - Lift berkenaan akan membawa pengunjung turun ke tingkat bawah tanah (basement) di mana terdapat kedai-kedai dan kawasan untuk beratur dan membeli tiket.


Tips : Harga tiket masuk dewasa ke bahagian Observatory adalah 700 yen (+/- RM28.10). Namun sekiranya anda menggunakan Osaka Amazing Pass, anda boleh memasukinya secara percuma dengan menunjukkan pas anda.


10.13am - Informasi dalam bahasa Inggeris yang terdapat di sini.

10.20am - Dari tingkat bawah tanah (basement), lift akan membawa anda ke Tingkat 2.

Antara permainan lama yang dipamerkan di sepanjang waiting line di Tingkat 2.

Dari Tingkat 2, pengunjung perlu beratur di waiting line untuk menaiki lift terus ke Tingkat 5, di mana terdapatnya Observatory.

Terdapat pamplet dalam pelbagai bahasa yang boleh anda ambil sebagai rujukan.


Tips : Jika anda ingin tahu lebih lanjut dan ingin membaca pamplet rasmi yang boleh didapati di Tsutenkaku Tower ini, anda boleh klik SINI.


10.33am - Lift menuju ke Tingkat 5 Tsutenkaku Tower.

10.38am - Akhirnya kami sampai di Tingkat 5 Tsutenkaku Tower ini. Di sini anda boleh melihat kawasan sekitar Shinsekai District dan Osaka dari atas. Memang best!

Terdapat dalam gambar ini adalah satu lagi tempat tarikan yang terkenal di Osaka, iaitu Spa World. Terdapat pelbagai jenis 'onsen' dari seluruh dunia di Spa World ini.

Dalam gambar ini kelihatan Tennoji Zoo yang juga terletak tidak jauh dari hotel penginapan kami dan Shinsekai District.


Bergambar bersama ibu di Observatory, Tsutenkaku Tower.

Osaka dari atas Tsutenkaku Tower.

Billiken.

Panduan untuk melihat tempat tarikan menarik di kawasan sekitar Tsutenkaku Tower.


Spa World.


10.58am - Selepas puas melihat kawasan sekitar di Observatory, kami pun turun menaiki lift untuk ke kembali ke Tingkat 2. 


Paparan projektor Billiken pada bahagian atas lift yang membawa kami turun ke Tingkat 2.

Terdapat beberapa pameran yang terdapat di Tingkat 2 Tsutenkaku Tower ini, antaranya adalah pameran berkenaan jenama makanan Pocky.


Model diorama yang terdapat di sini.


Tak lengkap kalau datang ke Osaka tapi tak bergambar macam Glico Man. Hehe.

Model diorama Tsutenkaku Tower di zaman awal pembinaannya.



Signboard Glico Man ini sebenarnya diperbuat daripada nanoblock.

Bergambar lagi ala Glico Man.

Salah satu pameran lain yang terdapat di sini adalah Kinnikuman Museum.

Siapa lagi kuat?

Dua orang cinta hati saya. 

11.23am - Menuju keluar dari Tingkat 2 untuk menaiki lift kembali ke basement.

11.47am - Kami keluar dari Tsutenkaku Tower dan melalui Shinsekai District untuk menuju ke lokasi lawatan seterusnya. Pada waktu ini, pengunjung sudah mulai ramai kerana kedai-kedai pun sudah dibuka.

Pintu gerbang Shinsekai.

11.52am - Kami sempat singgah membeli barang di kedai Daiso yang berada berdekatan sebelum meneruskan perjalanan berjalan kaki menuju ke Stesen Dobutsuen-mae.

12.09pm - Pasaraya MEGA Don Quijote yang terdapat berdekatan dengan salah satu pintu masuk ke Stesen Dobutsuen-mae.


Tips : Saya telah menggunakan khidmat Pakcik Google untuk mendapatkan maklumat perkhidmatan train/subway untuk ke lokasi seterusnya, iaitu Umeda. Antara maklumat penting yang boleh anda perolehi adalah 'Line' train/subway yang perlu anda pilih, berapa banyak perhentian sebelum sampai ke destinasi, dan juga kos perjalanan. 

Anda boleh cuba search 'nama stesen/destinasi' to 'nama stesen/destinasi' dan pilih ikon kereta api. Contoh : Dobutsuen mae station to Umeda

Contoh paparan yang keluar di telefon. Mudah bukan?


12.10pm - Kami tiba di Exit 5 Stesen Dobutsuen-mae.

Menuju ke platform Midosuji Line.


Menuju ke platform Midosuji Line ke arah Namba - Umeda - Senri-chuo.

12.14pm - Stesen Umeda terletak 6 stesen dari Stesen Dobutsuen-mae.

12.16pm - Kami menaiki train Midosuji Line menuju ke Stesen Umeda. Perjalanan kami menaiki train pada hari ini adalah menggunakan Osaka Amazing Pass, jadi tak perlu membeli tiket jika ingin menaiki train/subway dalam bandar di Osaka.

12.32pm - Tiba di Stesen Umeda.

12.32pm - Suasana di platform Stesen Umeda.

Menuju ke pintu keluar nombor 4, iaitu ke arah pasaraya Yodobashi-Umeda.

12.35pm - Tiba di pintu keluar nombor 4.

Pintu keluar nombor 4 ini terus bersambung dengan pasaraya Yodobashi-Umeda. Pasaraya ini mempunyai beberapa tingkat khusus, antaranya tingkat fesyen wanita, fesyen lelaki, barangan elektrik, hobi, dan lain-lain lagi.


Tips : Anda boleh dapatkan permainan seperti model kit Gundam, model kit Tamiya, Ultraman, Super Sentai, dan macam-macam lagi dengan harga yang berpatutan di mana-mana cawangan pasaraya Yodobashi Camera dan Bic Camera di seluruh Jepun.


Kedai menjual pakaian haiwan peliharaan. Comel!

Jump Shop Yodobashi-Umeda.

2.29pm - Puas berjalan-jalan di dalam pasaraya Yodobashi-Umeda, kami pun bergerak keluar untuk menuju ke lokasi utama kami di Umeda, iaitu Umeda Sky Building.

Kawasan di sekitar Umeda.


Duduk rehat sebentar bersama ibu.

Bergambar berlatarkan jalanraya Umeda yang sibuk.

Penat berjalan, saya pun cuba mencari restoran berdekatan yang menyediakan makanan halal untuk makan tengahari menggunakan app Halal Gourmet. Tapi akhirnya kami terpaksa membatalkan hasrat tersebut kerana waktu operasi restoran tersebut bagi makan tengahari telah pun habis.


Tips : Kebanyakan restoran di Jepun dibuka mengikut waktu tertentu dan ada selang waktu rehat atau tidak beroperasi. Waktu restoran dibuka untuk makan tengahari biasanya dari jam 11.00am hingga 3.00pm. Manakala waktu makan malam pula dari jam 5.00pm hingga 10.30pm. Maksudnya kalau anda datang ke restoran pada jam 3.15pm, restoran tersebut tidak beroperasi atau sedang waktu rehat.


Kawasan parkir motosikal dan basikal yang terdapat di Umeda.

2.33pm - Berjalan menuju ke Umeda Sky Building.

Oleh sebab lapar, kami singgah di kedai serbaguna atau dipanggil konbini (convenience store) untuk membeli makanan dan air untuk mengisi perut. Terdapat banyak jenama atau jenis konbini di Jepun, antaranya FamilyMart dan 7-Eleven.

Semasa dalam perjalanan berjalan kaki menuju ke Umeda Sky Building, kami sempat bertemu dengan seorang warga Indonesia yang turut sama dalam perjalanan ke sana. Beliau yang memang bekerja di Osaka sedang membawa rakan-rakannya menuju ke Umeda Sky Building kerana terdapat festival melawat Indonesia yang sedang berlangsung di sana. Dan menurut beliau lagi hari tersebut adalah hari terakhir program.

2.51pm - Mungkin kerana ada kerja-kerja pembangunan, pengunjung perlu melalui laluan pejalan kaki bawah tanah ini yang menghubungkan terus ke hadapan Umeda Sky Building.

2.55pm - Akhirnya kami tiba di hadapan Umeda Sky Building.

Sebelum masuk Umeda Sky Building, kami berehat dulu untuk makan apa yang dibeli di konbini tadi. 

Air minuman Caffe Latte keluaran FamilyMart ini memang sedap!

Refleksi pada cermin kaca Umeda Sky Building.

3.20pm - Selesai berehat dan isi perut, kami bergerak masuk ke dalam kawasan Umeda Sky Building.

Ruangan Willer Express yang terdapat di bahagian bawah Umeda Sky Building. Willer Express merupakan salah satu syarikat bas ekspres yang beroperasi di Jepun.

Untuk ke bahagian tarikan utama di Umeda Sky Building ini, iaitu Floating Garden Observatory, pengunjung perlu ke bangunan Fun-Fun Plaza yang merupakan salah satu bahagian dari Umeda Sky Building.

Festival mempromosikan wonderful Indonesia yang sedang berlangsung di perkarangan Umeda Sky Building.


Floating Garden Observatory dari bawah.

Antara gerai menjual cenderahati dari Indonesia yang terdapat di sekitar kawasan festival.

3.25pm - Inilah dia pintu masuk ke Fun Fun Plaza.

Escalator menuju ke tingkat 3F.

Floating Garden Observatory ini terletak di Tingkat 39.

Suasana di sekitar kawasan festival wonderful Indonesia dari atas.

Replika model Umeda Sky Building.



Sila berjalan di sebelah kanan.

Terdapat kawasan yang cantik dan bersih di bahagian sekitar Umeda Sky Building ini.


Tips : Harga tiket masuk dewasa ke Floating Garden Observatory ini adalah 1000 yen (+/- RM 40.10). Namun sekiranya anda menggunakan Osaka Amazing Pass, anda boleh memasukinya secara percuma dengan menunjukkan pas anda.




3.32pm - Kami menaiki see-through elevator menuju ke Tingkat 39 dari Tingkat 3 Umeda Sky Building. Boleh tahan tinggi escalator ni.

Kalau takut tinggi atau gayat sila jangan naik escalator ini atau pandang tepi. Terdapat juga lift yang boleh dinaiki oleh golongan OKU dan mereka yang menggunakan stroller.

3.35pm - Akhirnya kami tiba di Tingkat 39.

Antara pemandangan di Tingkat 39.

Pemandangan cantik yang boleh dilihat dari Observatory di Tingkat 39 ini.



Saya dan ibu berehat sebentar di sambil menikmati pemandangan di sekitar Umeda dan Osaka yang cantik.

Kawasan melepak yang terdapat di Observatory. Terdapat juga kafe sekiranya pengunjung ingin makan dan santai di sini.


4.04pm - Tak lengkap kalau ke Umeda Sky Building ini kalau tak pergi ke bahagian Roof Top / Observation Deck.

Terdapat pilihan tangga dan juga lift untuk ke Roof Top/Observation Deck.

4.05pm - Pakcik pengawal yang memberikan peringatan sebelum pengunjung masuk ke kawasan SKY WALK.



Ibu bergambar berlatar belakangkan bandar Osaka. 

Saya dan isteri pun nak mengabadikan kenangan di sini.


See-through elevator yang boleh dilihat dari atas Roof Top/Observation Deck.

Lagi pemandangan menarik dari atas Roof Top/Observation Deck.



4.12pm - Puas bergambar dan menikmati pemandangan, tiba masa kami bergerak keluar dari Umeda Sky Building.
Terdapat kaunter Heart Lock, saya tak pasti untuk apa. Rasanya untuk beli mangga dan kemudian kuncikan atau abadikan kenangan bersama yang tersayang di kawasan Floating Garden Observatory ini kot?

4.13pm - Sayounara (selamat tinggal) Floating Garden Observatory.

4.15pm - Menaiki see-through elevator untuk turun kembali ke Tingkat 3 dari Tingkat 39.

Wefie!

Lokasi lawatan kami yang seterusnya adalah ke Masjid Osaka yang mana Stesen Chibune merupakan stesen train/subway yang paling dekat. Sekali lagi, saya menggunakan khidmat Pakcik Google.

4.25pm - Sekali lagi berjalan kaki melalui laluan pejalan kaki ini untuk ke stesen train/subway yang seterusnya.

Paparan pada app Google Maps.

App Google Maps juga merupakan aplikasi GPS yang sangat berguna ketika kami berada di Jepun. Tapi ianya juga boleh jadi mengelirukan kerana signal GPS yang mungkin kadang-kala tidak stabil dan menunjukkan lokasi yang tidak tepat. Akibatnya pada petang tersebut kami tersesat dan tak jumpa tempat yang dicari.

Akhirnya saya membuat keputusan untuk bertanya kepada pakcik pekerja pembinaan yang berada berhampiran dengan kami pada waktu itu, dan beliau menunjukkan kami ke arah yang betul untuk menuju ke Stesen Hanshin Umeda,

Osaka Station, stesen kereta api yang sangat besar dan sibuk.

Inilah dia Stesen Hanshin Umeda.

Sudah mula keletihan tapi perjalanan mesti diteruskan.

Osaka Station, atau pun dikenali sebagai Osaka Station City.


Menuju ke pintu masuk Hanshin Railway.

Osaka Amazing Pass walaubagaimanapun tidak boleh digunakan untuk perkhidmatan train/subway Hanshin Railway, jadi kami perlu membeli tiket seperti biasa.

Tiket sehala dari Stesen Hanshin Umeda ke Stesen Chibune adalah berharga 190 yen (+/- RM7.60) seorang.

Stesen Chibune terletak 5 stesen dari Stesen Hanshin Umeda.

5.00pm - Kami menaiki train menuju ke Stesen Chibune.

Suasana di dalam koc Hanshin Railway.

Cinta-cinta hati.

5.14pm - Selepas kira-kira 14 minit perjalanan, kami tiba di Stesen Chibune.


5.17pm - Di bahagian luar Stesen Chibune. Dari stesen ini, kami perlu berjalan kaki sejauh kira-kira 400 meter untuk ke Masjid Osaka.

Berjalan kaki menyeberang jambatan untuk ke Masjid Osaka.

Wefie bersama isteri.

Ada seorang pegawai polis trafik berbasikal di atas jambatan ini. Entah apa yang beliau buat.


5.24pm - Menggunakan bantuan app Google Maps, kami semakin menghampiri Masjid Osaka.

5.27pm - Selepas kira-kira 10 minit perjalanan berjalan kaki termasuk berhenti ambil gambar, akhirnya kami tiba di hadapan Masjid Osaka.

Kami mengambil peluang untuk menunaikan solat Jamak dan juga berehat sebentar di dalam kawasan masjid kerana sudah kepenatan seharian berjalan.

Kedai menjual barang mentah makanan dan pelbagai makanan halal lain yang terdapat di bahagian bawah Masjid Osaka.

Pintu masuk lelaki ke Masjid Osaka. Pintu masuk bagi wanita terletak di sebelah kedai menjual makanan halal tadi.

7.02pm - Terletak betul-betul di hadapan Masjid Osaka ini adalah sebuah restoran makanan halal yang dikendalikan oleh warga Pakistan.

7.28pm - Kami sempat singgah dan makan malam di restoran halal berkenaan. Alhamdulillah, sempat kami merasa roti naan dan kari ayam yang sedap.

Antara menu istimewa restoran berkenaan.

8.05pm - Selesai makan malam, kami pun bergerak pulang menuju kembali ke Stesen Chibune.


Hasil carian menggunakan Google.

 8.15pm - Kami tiba di Stesen Chibune.

Sekali lagi, tiket sehala berharga 190 yen seorang.

8.18pm - Menuju ke Stesen Hanshin Umeda.

8.20pm - Kami menaiki train dari Stesen Chibune ke Stesen Hanshin Umeda.

8.30pm - Kami tiba di Stesen Hanshin Umeda.

Koc Hanshin Railway yang kami naiki tadi.

Ibu dan isteri tercinta sempat bergambar di hadapan koc Hanshin Railway.

8.31pm - Bergerak menuju ke platform subway Midosuji Line untuk kami balik ke hotel penginapan.

Platform 1 Midosuji Line ke arah Namba - Tennoji - Nakamozu.



8.35pm - Kami menaiki train Midosuji Line dari Stesen Umeda ke Stesen Dobutsuen-mae.

8.48pm - Kami tiba di Stesen Dobutsuen-mae selepas kira-kira 13 minit perjalanan.


Menuju ke arah Exit 4, iaitu pintu keluar terdekat dengan hotel penginapan kami.


8.55pm - Akhirnya kami sampai ke hotel penginapan kami setelah seharian berjalan. Masa untuk berehat!

Pada hari kedua ini, saya telah berjalan sebanyak 13,774 langkah (anggaran), bersamaan dengan 8.7km. Paparan data ini adalah dari app Android Mi Fit, dan data diperoleh melalui penggunaan Mi Band.


Bersambung ke catatan perjalanan seterusnya... Hari Ketiga : Isnin (29 Ogos 2016) : Osaka Bay Area - Kyoto



No comments :

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile