Saturday 16 November 2019

Antara toleransi, bertimbang rasa, dan menyampaikan


Kuliah subuh yang disampaikan menggunakan loudspeaker ni bagi aku tak sesuai dan tak wajar. Apatah lagi kekadang di tempat yang didiami masyarakat pelbagai kaum.

Tak salah nak menyampaikan ajaran atau ceramah agama, tapi yang salah adalah apabila secara tak langsung ‘memaksa’ orang untuk dengar.

Pagi hujung minggu ni la orang yang bekerja makan gaji nak berehat lebih sikit, dan juga anak kecil nak tidur.

Kekadang ceramah yang disampaikan menyentuh isu-isu sensitif dan kekadang juga penceramah terlalu bersungguh dan emosi sampai macam nak marah, sampai bingit orang yang dengar kat loudspeaker.

Bukanlah nak kata tak boleh langsung atau tak sesuai langsung buat loudpeaker kat masjid. Tapi biarlah kena pada tempat dan waktunya, contohnya loudspeaker semasa khutbah Jumaat dan khutbah raya.

Aku rasa ramai je yang sedar perkara ni, tapi tak berani nak tegur pengurusan masjid atau golongan agamawan ni, sebab takut nanti kena pulau dan kena label liberal pula.

Janganlah kita berlaku zalim atas nama agama.

p/s : Zalim - Meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya.


Thursday 31 October 2019

Kerja Kilang


Tahukah anda, bukan hanya Operator sahaja yang bekerja di kilang? Terdapat juga Pengurus, Penyelia, Jurutera, Ahli Kimia, Juruaudit, Akauntan, Juruteknik, Eksekutif dari pelbagai bahagian/seksyen, dan lain-lain lagi jawatan.
Anda mungkin tahu, tapi hakikat yang sebenarnya masih ramai yang tak tahu di kalangan masyarakat kita.
Semasa saya buat Program Khidmat Sosial (CSR) di sebuah sekolah menengah beberapa tahun yang lalu, apabila saya dan rakan-rakan menerangkan yang di kilang juga terdapat pelbagai jawatan ‘jurutera’ atau lebih popular orang sebut ‘engineer’, boleh kata hampir kesemua atau majoriti pelajar tak tahu, dan lebih mengejutkan ada juga dari kalangan guru yang memberikan respon sama.
Mungkin sebab masyarakat atau golongan awam sudah terbiasa dengan stereotaip yang kerja sebagai engineer = civil engineer atau jurutera adalah kerja yang melibatkan bidang pembinaan sahaja. Manakala kerja kilang pula = operator.





Monday 28 October 2019

Musim Graduasi



Dah lebih 9 tahun aku lulus undergrad, iaitu pada 4 Ogos 2010.
Dah masuk alam pekerjaan ni, ketahuilah adik-adik bahawa memiliki Hard Skills tu bagus, tapi memiliki Soft Skills lebih penting untuk dapatkan kerja dan untuk bekerja dengan orang.
Oleh itu, semasa di universiti, cubalah bergaul dan join aktiviti kokurikulum atau projek-projek yang dianjurkan kolej kediaman, fakulti, universiti. Asah soft skills, yang paling penting kemahiran berkomunikasi dengan orang dan dalam kumpulan.

Ramai fresh grad hari ini tak pandai berkomunikasi dengan baik, masa interview pun tak dapat cukup meyakinkan interviewer walaupun mempunyai kelulusan tinggi di atas kertas.
Sebagai bos atau majikan, mereka nak orang yang boleh berkerja dan berkomunikasi dengan baik. Kalau tak pandai sesuatu proses, boleh belajar, tapi kalau tak reti atau susah nak berkomunikasi dengan baik dan efektif, maka memang susah nak pergi jauh.



Monday 7 October 2019

Halal & Haram dalam Seharian


Netizen kalau sembang, mengecam, dan menghukum orang pasal halal haram memang champion, umpama semua mengamalkan Islam dengan sempurna dalam kehidupan seharian.

Tapi di alam nyata, banyak yang dipandang ringan. Contohnya ;

Merokok? Dah lama difatwa haram, tapi masih ramai yang buat tak tahu, siap merokok kat kawasan yang ramai bukan perokok tanpa ada kesedaran sivik.

IPTV haram? Ramai bayar mahal kat Astro untuk tengok channel Astro, tapi kau guna IPTV haram yang kau bayar dengan harga murah untuk tengok channel Astro, contohnya lah.

Claim? Kau pergi outstation atau dapat petrol card untuk guna atas urusan kerja, tapi kau sengaja over claim atau guna untuk urusan peribadi.

Dan lain-lain lagi. Kalau nak disenaraikan boleh buat buku.

Jadi mari kita muhasabah diri, apa halal haram dalam kehidupan seharian kita yang selama ini mungkin tak sedar.


Sunday 29 September 2019

Kerja


Bila ada apa-apa isu yang melibatkan perkauman, pasti hal syarikat yang mengenakan syarat fasih bahasa Mandarin dijadikan modal atau hujah perkauman.

Bagi saya orang yang asyik recycle isu ini sebenarnya jenis orang yang sentiasa mencari alasan dalam hidup.

Kat Malaysia ni ada beribu syarikat dan tawaran pekerjaan. Kalau ada syarikat yang letakkan syarat wajib bahasa Mandarin (contohnya), dan anda pula tak fasih, jadi tak perlu lah nak mohon. Mungkin syarikat berkenaan memang perlukan seorang yang fasih bahasa berkenaan untuk senang berurusan dengan client, terutamanya kuasa besar dan ekonomi dunia memang negara China. Kalau syarikat itu 'memang' taknak kaum lain kerja kat syarikat itu, jadi tak perlu la pohon, buat apa anda nak kerja dengan syarikat yang tak mengalu-alukan anda. Mintak la kerja dengan syarikat yang sesuai dengan anda dan syarat-syarat atau kelayakan yang dikenakan. Jangan jadikan itu alasan susah nak dapatkan pekerjaan.

Masalah orang kita ni yang saya nampak adalah soft skills mereka, cara mereka berkomunikasi, selain daripada kelulusan atau kelayakan. Jadi kalau nak senang dapat interview atau minta kerja, lengkapkanlah dan sediakanlah diri dengan ilmu dan kelulusan yang sepatutnya. Ini tidak, nak minta kerja pun cincai, bagi resume separuh siap dengan gambar muka penyet kena compressed, hantar email kosong letak attachment je, minta orang yang ‘PM’ padahal kita yang nak minta kerja, pakaian datang interview tak kemas, apatah lagi tergagap-gagap pandang ceiling semasa interview.

Lengkapkan dan majukan diri dan kaji di mana kekurangan diri. Bukannya sentiasa mencari alasan kerana rasa diri sentiasa betul dan rasa teraniaya.


Tuesday 17 September 2019

[Tutorial] Cara menghantar gambar melalui aplikasi Whatsapp tanpa menjejaskan kualiti gambar


Aplikasi Whatsapp digunakan sebahagian besar netizen dalam kehidupan seharian untuk bersembang, berkongsi maklumat semasa, menghantar fail atau gambar, dan sebagainya.

Biasanya apabila kita bergambar di sesuatu majlis contohnya kenduri kahwin atau majlis reunion, cukuplah satu telefon sahaja yang digunakan untuk mengambil gambar secara beramai-ramai. Orang lain yang inginkan gambar tersebut biasanya pasti akan minta tuan punya telefon untuk berkongsi gambar tadi, secara mudahnya adalah menggunakan aplikasi Whatsapp.

Selalunya, gambar yang diterima melalui aplikasi Whatsapp adalah bersaiz kecil, dan kelihatan kurang tajam atau jelas jika dizoom. Kualiti gambar sebenarnya telah dikurangkan. Hal ini kerana gambar yang dihantar melalui Whatsapp akan dipadatkan atau dikecilkan secara automatik bagi mempercepatkan penghantaran. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka tak kisah dengan kualiti gambar, tapi bagi sesetengah orang lagi, mereka inginkin kualiti gambar yang asal dan tidak dikurangkan.

Sebenarnya, ada dua cara untuk kita menghantar gambar melalui aplikasi Whatsapp, satu yang akan mengecilkan saiz dan kualiti gambar secara automatik, dan satu lagi yang akan mengekalkan saiz dan kualiti asal gambar.

Sila ikuti tutorial dalam artikel ini untuk mengetahui perbezaannya. Klik pada Read more >> untuk teruskan bacaan.

Friday 13 September 2019

[Quick Review] Redmi AirDots (Bluetooth Earphone)



Redmi AirDots (Bluetooth Earphone)

Jenama : Xiaomi / Redmi

Kualiti Binaan : 4/5
Komen : Plastik, permukaan matte, ringan, dan kecil.



Kualiti Audio : 4/5
Komen : Baik, berbaloi dengan harga yang dibayar.

Lain-lain :
Kabel untuk cas tidak disediakan. Manual penggunaan dalam Bahasa Cina sahaja (set import). Buat masa ini rasanya masih tak dijual secara rasmi di Flagship Store Mi di seluruh negara.



Kesimpulan : 4/5
Komen : Nak guna buat lasak dan kegunaan harian, agak berbaloi. Dengan harga yang agak murah berbanding dengan bluetooth earphone yang lebih high-end, kalau hilang (sebab saiz kecil) pun tak terasa sangat.




p/s : set ini dibeli melalui aplikasi Shopee, dari trusted seller, Dasher.

Tuesday 3 September 2019

[Review] Tony Stark’s Arc Reactor Mark 1 (DIY) - MANDO STUDIOS



“Proof that Tony Stark has a heart”


Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera kepada anda pembaca blog ini.

Untuk artikel kali ini, saya akan membuat review mengenai kit DIY (Do It Yourself), Tony Stark's Arc Reactor Mark 1, keluaran Mando Studios yang berasal dari Hong Kong.



Sekiranya anda salah seorang peminat filem Marvel atau Marvel Cinematic Universe (MCU), terutamanya filem atau watak Iron Man, pasti anda pernah lihat atau tahu mengenai Arc Reactor Mark 1 ini.

Filem 'Iron Man' yang dikeluarkan pada tahun 2008.


Arc Reactor adalah sejenis teras kuasa yang terletak pada dada watak Tony Stark. Ia memberikan kekuatan kepada watak Iron Man dalam siri filem MCU. Namun pada awalnya, tujuan Arc Reactor dicipta adalah untuk menyelamatkan Tony Stark daripada serpihan besi supaya tidak masuk ke dalam jantungnya. Daya elektromagnetik yang dihasilkan Arc Reactor menghalang serpihan tersebut dari bergerak memasuki jantung. Anda boleh lihat asal-usul Arc Reactor Mark 1 ini dalam filem Iron Man (2008).

Tony Stark sedang membina Arc Reactor di dalam filem Iron Man (2008).

Antara adegan daripada filem.

Tuesday 27 August 2019

[Review] 99 Wonderland Park


Pada bulan Julai 2019 yang lalu, saya dan keluarga kecil saya telah berkesempatan untuk pergi ke 99 Wonderland Park yang terletak di Tasik Sri Murni, Selayang, Selangor. 

Dah lama sebenarnya merancang nak ke sini sejak membaca berita di media sosial yang ia telah dibuka, kalau tak silap sekitar awal tahun lepas, tapi bila kami datang ke KL, asyik terlupa atau pergi ke tempat lain.

Okaylah, jadi apa yang menarik kat 99 Wonderland Park ini?

Harga tiket masuk bagi dewasa (13 tahun ke atas) adalah RM18, sekiranya anda adalah pemegang MyKad, atau pun warganegara Malaysia. Manakala bagi kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun, harganya RM12 (MyKid). Bagi bukan warganegara Malaysia pula, harga tiket masuk adalah RM23 (13 tahun ke atas) dan RM18 (kanak-kanak 4-12 tahun). 

Sebaik melepasi kaunter masuk, anda boleh melihat pada peta yang menunjukkan keseluruhan kawasan yang terdapat di dalam 99 Wonderland Park ini. Antara kawasan menarik yang terdapat di sini adalah Bird Island dan Farm by The Lake. Kesemua tempat tarikan ini terletak di sekeliling tasik, jadi anda perlu pusing mengelilingi tasik tersebut dan pergi ke tempat menarik yang terdapat di sini satu-persatu.

Thursday 1 August 2019

[Review] BRADER's CAFE, Parit Buntar, Perak


Semalam kami sempat singgah di sebuah kafe hipstur yang terletak di Parit Buntar. Yang membuatkan rasa tertarik nak singgah adalah sebab billboard kafe tersebut yang dengan yakin meletakkan ayat "Chicken Chop TerbesaQ" di Parit Buntar.

Jadi disebabkan terpengaruh, kami pun singgahlah untuk makan di sana.

'Giant Chicken Chop'

'Mini Meat Ball'

Di bawah adalah komen ringkas dan rating yang saya berikan untuk restoran atau kafe BRADER's CAFE, Parit Buntar, Perak ini :

Rating Makanan : 4/5
Komen : Met expectation. 'Giant Chicken Chop' yang dipesan memang besar sedikit dari saiz normal. Rasa pun boleh tahan. Cuma fries tak sedap. 'Mini Meat Ball' pula sedap, lagi berbaloi dari meat ball Ikea. 'Mini Spaghetti Carbonara' pula boleh tahan.

Rating Masa Menunggu : 4.5/5
Komen : Untuk kedai yang agak besar dan ramai pelanggan, masa menunggu boleh kata agak cepat juga. Rasanya dalam 10 minit dah dapat makanan.

Rating Customer Service : 4/5
Komen : Pelayan bertugas seperti yang diharapkan. Staff ada ramai. Takde nak komen sangat.

Rating Harga : 4.5/5
Komen : 'Giant Chicken Chop' : RM 10.90, 'Mini Meat Ball' : RM 4.90, 'Mini Spaghetti Carbonara' : RM 6.90, Cappucino Cold (Big Cup) : RM 5.50, Fruity Watermelon (Big Cup) : RM 5.50. Bagi saya harganya agak berpatutan dan rendah dari kebiasaan.

Rating Keseluruhan : 4.5/5
Boleh pergi lagi!


Tuesday 30 July 2019

[Review] Marvel Studios : Ten Years Of Heroes Exhibition (Pavilion Elite, Kuala Lumpur)


Pada 21 Julai 2019 yang lalu, saya dan keluarga kecil saya telah pergi ke pameran Marvel Studios : Ten Years Of Heroes Exhibition yang bertempat di Pavilion Elite, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pameran ini adalah bersempena dengan ulang tahun ke 10 pihak Marvel Studios, yang mana filem Marvel pertama dalam siri Marvel Cinematic Universe (MCU) telah dilancarkan pada tahun 2008, iaitu filem Iron Man.

Kalau anda merupakan seorang peminat siri filem MCU, maka jangan lepaskan peluang untuk datang ke sini kerana pameran ini hanya akan berlangsung bermula dari 28 Jun sehingga 27 Oktober 2019 sahaja.

[Tiket]
Saya telah membeli tiket masuk ke pameran ini secara online dengan menggunakan aplikasi Klook. Anda juga boleh beli tiket secara walk-in di kaunter tiket yang terdapat di tingkat yang sama dengan pameran ini, iaitu di Tingkat 10, pasaraya Pavilion Elite, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Harga tiket masuk adalah seperti berikut ;
(Dengan MyKad)
Dewasa : RM 48
*Kanak-Kanak : RM 28

(Tanpa MyKad)
Dewasa : RM 58
*Kanak-Kanak : RM 38

Tiada bayaran tiket masuk untuk bayi atau kanak-kanak berumur 0-2 tahun.

*Umur kanak-kanak adalah dari 3-12 tahun.

Anda juga berpeluang mendapatkan diskaun sekiranya menggunakan kad Debit/Credit/Charge dari bank Maybank.



[FAQ]
Jadi, apa yang ada di pameran Marvel Studios : Ten Years Of Heroes Exhibition ini?

Pameran ini menampilkan pelbagai props yang digunakan di dalam siri filem MCU, dan juga beberapa mainan interaktif. Katanya props yang dipamerkan dalam pameran ini adalah yang asli dan dibawa khas dari Amerika Syarikat. Tapi pada pendapat saya, saya rasa tak semua props yang dipamerkan adalah yang digunakan dalam set penggambaran, sebab nampak macam lebih kepada replika sahaja.

Okaylah, tanpa membuang masa, mari tengok apa yang menarik dalam pameran ini! Sila klik pada Read more >>

Saturday 13 July 2019

[Tutorial] Berkomunikasi dalam bahasa asing menggunakan Google Translate di telefon pintar


Tahukah anda, Google mempunyai aplikasi telefon pintar yang boleh membantu anda bercakap atau berkomunikasi dalam bahasa asing, atau bahasa yang anda tidak fasih? Aplikasi tersebut adalah Google Translate yang mampu menterjemah perbualan atau percakapan orang dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Melayu. 

Anda hanya perlu bercakap dalam bahasa yang anda pilih sebagai input, dan kemudian pilih terjemahan bahasa yang anda inginkan sebagai output. Aplikasi tersebut kemudian akan 'bercakap' dalam bahasa asing yang anda pilih sebagai output. 

Aplikasi ini sebenarnya sangat berguna terutamanya jika kita pergi atau melancong ke tempat yang masyarakatnya tidak bertutur dalam bahasa Inggeris atau bahasa yang kita fasih. 

Sila teruskan membaca artikel ini untuk mengikuti tutorial bagaimana caranya untuk menggunakan aplikasi Google Translate ini.

Monday 8 July 2019

Masyarakat Berintegriti


Integrity = the quality of being honest and having strong moral principles

Integriti = kualiti menjadi seorang yang jujur dan mempunyai prinsip moral yang kuat

Saban hari semakin banyak kita dengar tentang jenayah-jenayah melibatkan integriti di media. Yang rasuah, makan rasuah, manipulasi duit, pecah amanah, dan lain-lain. Dan bukan main ramai yang bersorak gembira mengecam si pesalah pada artikel-artikel berita tersebut di media.

Tapi adakah anda yang seronok mengecam tu seorang yang penuh integriti? Mari cuba cermin diri sendiri dan muhasabah diri juga. Adakah anda seorang yang berintegriti dalam menjalani kehidupan seharian?

Adakah anda tak langgar lampu merah ketika di lampu isyarat?

Adakah anda tak buat u-turn di kawasan yang tak dibenarkan sebab nak jalan pintas?

Adakah anda tak parking di parking OKU/Wanita/Keluarga kalau anda tak berhak?

Adakah anda tak potong queue ketika beratur, tak kira ketika bayar bil, di mesin ATM, atau pun di pasar malam?

Adakah anda tak claim lebih dari yang sepatutnya jika pergi outstation?

Adakah anda tak langgan IPTV haram yang menyiarkan siaran syarikat berbayar tapi dengan harga lebih murah?

Adakah anda tak membeli/menjual produk cetak rompak yang tak bayar royalti kepada pengeluar/pemilik produk?

Adakah anda tak bagi 'duit kopi' untuk elak dari disaman?

Adakah anda dapat kerja melalui saluran yang adil?

Adakah anda tak mengular semasa waktu kerja?

Adakah anda tak menyalahguna aset company (contohnya laptop/PC) untuk kegunaan peribadi?

Adakah anda ambil MC kat klinik kerana betul-betul sakit dan perlukan rehat?

Dan macam-macam lagi yang boleh disebut, yang mana melibatkan integriti.

Hanya sebab ia cuma 'isu kecil' mengikut tafsiran anda sendiri, tak bermakna ianya 'tak apa', anda tak bersalah dan anda seorang yang berintegriti.

Di negara-negara maju, perkara melibatkan integriti amat diambil berat dan dipandang serius.

Tak guna kalau negara kita maju tapi mentaliti, sikap, dan disiplin masih mundur dan tak bertamadun.

Renung-renungkan dan mari menjadi masyarakat yang berintegriti.




Thursday 4 July 2019

[Tutorial] Memeriksa rekod catatan perjalanan dan lokasi anda menggunakan aplikasi Google Maps


Pernahkah anda terfikir atau tertanya-tanya, di manakah anda berada pada sesuatu atau sekian-sekian tarikh? Contohnya, bila ada orang tanya, di manakah anda berada atau pergi pada tarikh 1 Jun 2019? Kebarangkalian besar yang anda tak ingat, sebab ianya terlalu rawak.

Agak mustahil untuk anda nak ingat ke mana anda pergi setiap hari sepanjang tahun melainkan anda menulis diari catatan perjalanan harian, atau 'check in' menggunakan aplikasi seperti Swarm, Facebook atau sebagainya.

Tahukah anda, yang aplikasi Maps pada telefon pintar anda secara 'rahsia' atau secara automatik akan merekodkan lokasi dan perjalanan harian anda? Bermakna anda boleh periksa, di manakah lokasi anda hari ini, semalam, minggu lepas, dan lain-lain, beserta dengan maklumat seperti jarak dan waktu perjalanan anda dari satu tempat ke tempat yang lain, nama tempat yang ditujui, dan berapakah tempoh masa anda berada di tempat tersebut.

Walau bagaimana pun, terlebih dahulu, harus diketahui yang rekod atau catatan perjalanan ‘rahsia’ Maps ini hanya akan berfungsi sekiranya anda menghidupkan fungsi ‘Location’ atau GPS pada telefon pintar anda.

Masih kurang faham apa yang cuba saya sampaikan? Teruskan membaca artikel ini.

Monday 1 July 2019

Melancong bajet, atau melencong bajet?


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai yang berkongsi pengalaman dengan tulis artikel 'percutian bajet' sampai memberikan gambaran yang kalau tak ada duit 'banyak' pun tak apa, masih boleh melancong. Tak salah nak berkongsi pengalaman, cuma kadangkala tajuk artikel sengaja diolah untuk tarik trafik semata-mata, sedangkan yang sebenarnya taklah 'bajet' sangat pun. Sekadar cerita belanja 'ground' tak termasuk tiket penerbangan, belanja makan dan minum, beli cenderahati, dan lain-lain.

Pada pendapat saya, jika nak melancong ke tempat asing atau negara orang, biarlah puas hati dapat rasa atau buat atau pergi macam-macam tempat, dan tak perlu nak ‘ikat perut’. Penting untuk ada duit simpanan untuk kegunaan ketika kecemasan, contohnya tertinggal flight atau tempat penginapan menghadapi masalah, sakit dan sebagainya. Paling tidak pun sediakan kad kredit sebagai backup. Kalau nak melancong dengan kewangan ‘cukup-cukup’ je, sangatlah berbahaya dan kelak akan 'melencong bajet' yang akhirnya akan menyusahkan diri sendiri.

Apa-apa pun yang paling penting adalah merancang dan membuat kajian sendiri tentang destinasi yang kita nak tujui. Tahu apa yang kita mahu dan perlu. Sebab minat dan keperluan setiap orang tak sama. Ada yang suka melancong sebab nak membeli belah, ada pula yang suka melancong sebab nak mengambil gambar, dan sebagainya.

Kalau mempunyai kekangan masa untuk merancang percutian sendiri, boleh dapatkan perkhidmatan pakej pelancongan dan pergi secara berkumpulan melalui agensi pelancongan yang mempunyai reputasi baik dan terkenal.

Akhir kata, bagi saya bercuti secara ‘bajet’ ini agak kurang sesuai dan boleh membuatkan kita rasa tak puas dan akhirnya ‘merugikan’ diri sendiri. Memetik kata-kata salah seorang kenalan saya ketika sama-sama melancong suatu ketika dahulu, “Biar menyesal beli, jangan menyesal tak beli.”.

p/s : Untuk tips melancong ke Jepun, Hong Kong, dan sebagainya, anda boleh rujuk entry Travelogue saya di menu bar pada bahagian kanan blog ini. Semoga bermanfaat, insyaAllah.


Monday 15 April 2019

Benarkah air mineral jenama Spritzer tercemar dengan air dari kawasan perkuburan Cina?


[Benarkah air mineral jenama Spritzer tercemar dengan air dari kawasan perkuburan Cina?]


Hari ini adalah hari terakhir aku sebagai pekerja di sebuah kilang air mineral yang terbesar di Malaysia, yang mana lebih dikenali sebagai jenama Spritzer. Kilang ini terletak di kawasan Air Kuning, Taiping. Ia juga sebenarnya terletak di bahagian kaki Bukit Larut yang menjadi salah satu simbol bagi Bandar Taiping, Perak.

Sebagai seorang yang pernah melihat dan terlibat secara dekat dalam proses penghasilan produk air mineral jenama Spritzer ini, aku rasa dah menjadi tanggungjawab aku untuk membuat pencerahan terhadap khabar angin yang telah sekian lama disebarkan orang awam khususnya warga tempatan tanpa mengetahui kebenarannya.

Aku akui, salah satu sebab aku memohon untuk bekerja di Spritzer dulu adalah untuk melihat sendiri dari dalam, apakah benar atau tidak khabar angin tersebut. Alhamdulillah, ditakdirkan aku akhirnya diterima masuk sebagai eksekutif yang dipertanggungjawabkan terhadap seksyen pemprosesan air.

Tahukah anda, air mineral jenama Spritzer ini telah diekstrak keluar dari bawah tanah melalui telaga-telaga atau punca air yang telah digali sedalam lebih daripada 420 kaki (128 meter)? Kawasan telaga atau punca air mineral jenama Spritzer ini pula terletak di dalam kawasan hutan hujan tropika yang berada di dalam kawasan persendirian yang mempunyai keluasan seluas 330 ekar, bersamaan dengan keluasan 266 buah padang bola! Kawasan hutan hujan tropika yang luas dan dikawal ini memastikan telaga atau punca air terlindung dari segala unsur pencemaran dan unsur sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Jirat atau perkuburan Cina yang dikaitkan dengan khabar angin pula terletak di luar kawasan persendirian ini.

Tahukah anda, setiap telaga atau punca air yang digunakan ini perlu mendapatkan kelulusan atau lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? Anda boleh semak label di setiap botol air mineral yang anda beli, pasti terdapat label lesen punca air ini. Proses untuk mendapatkan lesen punca air ini pula bukan mudah, kerana pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri perlu melakukan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kawasan punca air tersebut mematuhi syarat-syarat tertentu, contohnya terletak jauh dari kawasan yang berpotensi mencemari punca air. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan melakukan pemeriksaan sebelum meluluskan dan mengeluarkan lesen punca air kepada pihak yang memohon.

Tahukah anda, air mineral yang diekstrak keluar ini sebenarnya telah pun ‘ditapis’ secara semula jadi oleh lapisan-lapisan bawah tanah yang terdiri dari pelbagai jenis batuan. Tapi untuk menghasilkan produk air mineral yang akan dipasarkan atau dijual kepada pengguna, proses rawatan tambahan perlu dilakukan bagi memastikan kualiti dan air yang dipasarkan selamat untuk diminum. 
Oleh itu, air mineral yang diekstrak keluar dari bawah tanah tadi seterusnya akan dibawa ke bahagian pemprosesan atau rawatan air mineral. Di sana, pelbagai jenis proses penapisan dan rawatan air mineral dilakukan bagi menyingkirkan mikroorganisma berbahaya, bendasing, dan lain-lain lagi yang tidak diingini. Selepas air mineral tadi dirawat, barulah ia dihantar ke bahagian pembotolan dan seterusnya dipek sebelum dipasarkan kepada pelanggan di seluruh Malaysia dan juga di luar negara.

Tahukah anda, produk air mineral jenama Spritzer ini mempunyai lesen atau sijil Halal dan telah disahkan Halal oleh pihak JAKIM? Bukan mudah bagi sesuatu produk makanan/minuman untuk memiliki sijil Halal ini kerana terdapat prosedur-prosedur ketat yang perlu dipatuhi dan audit secara berterusan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan semua kriteria dipenuhi. Selain Halal, pemantauan secara berterusan turut dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kualiti air mineral yang dihasilkan di kilang Spritzer ini.

Jadi, benarkah air mineral jenama Spritzer tercemar dengan air dari jirat (kawasan perkuburan) Cina?

Jawapannya adalah TIDAK BENAR, atau lebih tepat lagi adalah khabar angin semata-mata.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan melihat dari dekat proses penghasilan produk air mineral jenama Spritzer ini, anda boleh datang terus ke Spritzer Eco Park yang terletak berhadapan dengan kilang Spritzer yang terletak di Air Kuning, Taiping, Perak. Di sana anda boleh mendaftar untuk plant tour yang diadakan hampir setiap hari. Sila hubungi 05-8072663 atau email kepada info_ecopark@spritzer.com untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Sekian, semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua yang membaca. Sebagai peringatan dan nasihat, janganlah kita menyebarkan sesuatu informasi yang kita sendiri tak pasti akan kebenarannya. Kalau nak sebarkan juga, pastikan anda sendiri dah semak fakta dan kebenarannya.

Penafian : Artikel ini ditulis mewakili pendapat penulis sendiri sebagai bekas pekerja dan tidak mewakili syarikat.


*Dikemaskini pada tahun 2024 : Blog post berkaitan :

Tuesday 8 January 2019

[Tutorial] Berkongsi lokasi semasa kepada teman menggunakan aplikasi Google Maps


Pernah tak suatu ketika dahulu anda menggunakan perkhidmatan seperti Hotlink Friend Finder untuk mengetahui kedudukan semasa pasangan, ahli keluarga, atau rakan anda? Dengan menghantarkan SMS kepada pihak Telco, anda kemudiannya akan menerima SMS yang menyatakan di manakah rakan anda berada ketika itu.

Fungsi mencari rakan atau mendapatkan lokasi semasa rakan anda pada zaman ini semakin mudah dengan adanya telefon pintar yang mempunyai fungsi GPS terbina. Pada hari ini boleh dikatakan hampir kesemua telefon pintar yang dijual mempunyai fungsi GPS, walaupun pada telefon kelas bawahan atau pertengahan.

Hari ini, saya nak ajar anda cara mencari atau mendapatkan lokasi semasa pasangan, ahli keluarga, atau rakan anda menggunakan aplikasi Google Maps yang terdapat di telefon pintar. Fungsi ini mungkin boleh digunakan anda untuk 'stalk' pasangan anda, tapi bagi saya ianya berfungsi lebih kepada faktor keselamatan. Sebagai contoh, sekiranya telefon yang anda ikuti telah dicuri, maka anda akan dapat mengetahui kedudukan semasa telefon tersebut menggunakan aplikasi Google Maps.

Masih kurang jelas dengan apa yang saya cuba sampaikan? Tak apa. Sila ikuti penerangan bergambar dalam tutorial di bawah.

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile