Friday, 11 November 2022

[Siri Tips] Kali Pertama Menunaikan Umrah : Episod 6 - Menziarahi Makam Rasulullah S.A.W. dan Sahabat Dan Cara Mendapatkan Permit Masuk ke Rawdah

Siri tips ini tidak akan menyentuh berkaitan cara-cara menunaikan ibadah umrah, kerana ianya boleh dibaca sendiri oleh para bakal jemaah melalui buku-buku panduan yang biasanya diberikan oleh agensi umrah atau dibeli sendiri. Malah, yang lebih baik, elok para bakal jemaah menyertai kursus umrah atau merujuk kepada ustaz-ustaz yang lebih arif tentangnya. 

Siri tips ini diharap akan memberi panduan kepada para bakal jemaah tentang perkara-perkara yang mungkin jarang dikongsikan, tapi insyaAllah ianya akan sedikit sebanyak bermanfaat ketika berada di Tanah Haram nanti. 

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Episod 6 - Menziarahi Makam Rasulullah S.A.W. dan Sahabat Dan Cara Mendapatkan Permit Masuk ke Rawdah

Pintu Nombor 1, Al-Salam yang merupakan pintu masuk ke kawasan Rawdah.

Papan tanda di luar Pintu Nombor 1.

Sekiranya jemaah ingin menziarahi Makam Rasulullah S.A.W., Saidina Abu Bakar R.A., dan Saidina Umar R.A., ianya boleh dilakukan selepas selesai solat fardhu berjemaah. Pagar besi portable ini akan dibuka, dan jemaah boleh masuk untuk beratur memasuki kawasan Rawdah melalui Pintu Nombor 1, iaitu Pintu Al-Salam.

Lokasi kawasan pagar besi portable ini adalah di sebelah luar kawasan Rawdah (kubah berwarna hijau).

Jemaah berjalan melalui pagar besi portable tadi untuk memasuki Pintu Nombor 1 untuk menziarah Makam Rasulullah S.A.W. dan sahabat.

Menghampiri Pintu Nombor 1.

Bergantung pada waktu, biasanya selepas waktu solat fardhu berjemaah, memang agak sesak. Terdapat 2 kawasan laluan di dalam ini, satu di sebelah luar pagar (lihat dalam gambar), iaitu laluan jemaah yang masuk melalui Pintu Nombor 1, dan laluan di sebelah dalam yang lebih hampir dengan Makam Rasulullah S.A.W. dan sahabat adalah laluan bagi jemaah selepas menunaikan ibadah di ruang solat Rawdah (perlu mendapatkan permit).

Untuk jemaah yang ingin masuk ke Rawdah (ruang solat) setelah mendapatkan permit menggunakan aplikasi Nusuk, jemaah perlu pergi ke kawasan yang terdapat pagar hijau yang panjang ini. Ia terletak di hadapan Pintu Nombor 37 Masjid Nabawi.

Pandangan dari arah depan Pintu Nombor 37. Di hadapannya terdapat pagar hijau, tempat jemaah beratur untuk masuk ke Rawdah (ruang solat) yang menggunakan permit.

Pintu Nombor 37 Masjid Nabawi.

Barisan jemaah yang beratur untuk menunjukkan permit kepada pegawai masjid.

Arahan / Kaedah untuk memasuki kawasan Rawdah. Eatmarna adalah nama lama bagi aplikasi Nusuk.

Bergantung kepada slot waktu memasuki Rawdah yang jemaah pilih, ada masa yang barisan ini tak terlalu ramai.

Selepas menunjukkan permit (dalam aplikasi Nusuk di telefon) kepada pegawai masjid yang bertugas, jemaah akan dibenarkan masuk ke ruang menunggu yang terletak di luar Pintu Nombor 39 dan Nombor 38, berhampiran dengan tempat masuk Rawdah (ruang solat). Apabila tiba masa, jemaah akan dibenarkan masuk ke Rawdah melalui Pintu Nombor 39.

Selesai di Rawdah, jemaah akan keluar semula melalui Pintu Nombor 40.

Antara pagar masuk Masjid Nabawi yang paling dekat dengan Rawdah adalah Pagar Nombor 360, 361, dan 362 ini. 

Gambar panorama, di sebelah kanan tu adalah Pagar Nombor 360, 361, dan 362. Di tengah gambar yang berkubah hijau adalah di dalamnya kawasan Rawdah. 


Cara Mendapatkan Permit Masuk ke Rawdah (klik pada gambar untuk besarkan)

Untuk mendapatkan permit masuk ke Rawdah, jemaah perlu terlebih dahulu install aplikasi 'Nusuk' ini yang boleh didapati di Play Store (Android) atau App Store (Apple). 

Selepas membuka aplikasi Nusuk, skrin ini akan keluar, jemaah perlu daftar pada 'New User'. 

Pergi pada bahagian 'Visitor', dan daftar akaun Nusuk jemaah. Paling penting jemaah perlu tahu nombor visa umrah atau visa pelancong yang jemaah miliki, selain perlu mengisi nombor passport

Selesai urusan pendaftaran aplikasi dan pengesahan (jika ada), selepas login aplikasi Nusuk, jemaah akan melihat paparan ini.

Pergi pada bahagian 'Prophet's Mosque Services', dan pergi pada 'Praying in the Noble Rawdah-Men' bagi jemaah lelaki, dan yang sebelahnya bagi jemaah perempuan. 

Nama jemaah yang didaftarkan akan kelihatan di atas. 

Jemaah perlu tick pada nama sebelum tekan 'Continue'. 

Paparan seterusnya adalah kalendar. Yang berwarna merah menunjukkan tarikh tersebut adalah 'Heavily Crowded' atau sangat sesak. Manakala tarikh berwarna kuning adalah sederhana sesak, dan tarikh berwarna hijau pula kurang sesak.

Jemaah perlu pilih tarikh mengikut kesesuaian masing-masing. 

Selepas memilih tarikh, jemaah perlu pula memilih slot waktu untuk masuk ke Rawdah. Sama juga, slot waktu yang berwarna merah adalah sangat sesak, manakala hijau adalah kurang sesak.

Harus diketahui yang ada had bagi setiap slot waktu, iaitu andai jemaah lambat mendapatkan permit, slot waktu berkenaan akan penuh dan tidak boleh dipilih lagi. 

Selepas memilih slot waktu yang diingini, jemaah diwajibkan membaca 'Instructions in Entering Prophet's Mosque', sebelum boleh menekan butang 'Issuing Permit' untuk mendapatkan permit. 

Jemaah perlu membaca peraturan bagi memasuki Rawdah. 

Selesai membaca peraturan, barulah jemaah boleh tekan butang 'Issuing Permit' untuk mendapatkan permit masuk ke Rawdah mengikut slot waktu dan tarikh yang dipilih. 

Selesai, sekarang jemaah akan mendapat pengesahan nombor permit dan nombor reserve, serta kod QR. 

Jemaah boleh membatalkan permit tersebut untuk mendapatkan permit bagi slot waktu atau tarikh lain. Tapi jemaah tidak boleh mendapatkan 2 slot waktu sekali gus. 

Jemaah boleh semak permit yang telah diluluskan, yang masih aktif, atau yang telah dibatalkan dengan melihat pada butang 'Permits' di paparan utama aplikasi Nusuk. 

Jemaah boleh semak permit yang telah diluluskan, yang masih aktif, atau yang telah dibatalkan dengan melihat pada butang 'Permits' di paparan utama aplikasi Nusuk. 


Bersambung di Episod 7 untuk tips seterusnya.


---------------------------------------------------------------------------

Senarai Episod Dalam Siri Tips - Kali Pertama Menunaikan Umrah :

Episod 1 - Persediaan Ketika Di Tanah Air (sebelum bertolak)

Episod 2 - Menuju Ke KLIA Dan Sebelum Berlepas

Episod 3 - Laluan Masuk Wheelchair Terus ke Tempat Tawaf (Mataaf) & Sa'ee (Al-Masa'a) di Tingkat 1

Episod 4 - Tawaf & Sa'ee Menggunakan Skuter Elektrik

Episode 5 - Pergi ke Tempat Sa'ee (Al-Masa'a) di Tingkat 1

Episod 6 - Menziarahi Makam Rasulullah S.A.W. dan Sahabat Dan Cara Mendapatkan Permit Masuk ke Rawdah

Episod 7 - Bersedekah di Mekah & Madinah

Episod 8 - Berbelanja di Mekah & Madinah

No comments:

Post a Comment