Hari kedua di bumi Hong Kong. Hari ini kami cuma akan pergi ke satu tempat, iaitu Disneyland Hong Kong!
10.44am - Kami bergerak meninggalkan hotel penginapan kami untuk menuju ke Disneyland!
Mama dan Mika dah bersemangat nak pergi Disneyland.
10.45am - Kami memasuki pintu A2 yang terletak bersebelahan hotel penginapan kami untuk menuju ke platform di Stesen Sai Ying Pun. Untuk ini, saya perlu menjinjing stroller bayi yang dibawa. Tiada lift di pintu A2 ini (sila rujuk entry hari pertama).
Seperti semalam, perlu berjalan jauh untuk menuju ke platform.
10.51am - Akhirnya kami tiba di platform selepas kira-kira 6 minit berjalan kaki dari pintu A2 bersebelahan hotel penginapan kami. Di sini, kami perlu naiki tren di platform 1, iaitu tren menuju ke arah Chai Wan.
Dari Stesen Sai Ying Pun ini, kami perlu menuju ke Stesen Central untuk tukar tren bagi menuju ke Disneyland.
10.57am - Kami tiba di Stesen Central selepas kira-kira 4 minit perjalanan.
Seterusnya, dari sini kami perlu menaiki Tung Chung Line di Stesen Hong Kong. Signboard ini turut menunjukkan Disneyland Resort Line, kerana pengunjung perlu menaiki Tung Chung Line terlebih dahulu dan turun di Stesen Sunny Bay, di sana baru anda boleh menaiki tren Disneyland Resort Line yang akan membawa anda terus ke Disneyland Hong Kong.
Berjalan menuju ke Stesen Hong Kong.
11.04am - Kami tiba di platform 3, untuk menaiki tren Tung Chung Line menuju ke arah Tung Chung dan Disneyland Resort Line. Dari Stesen Hong Kong ini, kami perlu menaiki tren menuju ke Stesen Sunny Bay yang terletak 6 stesen dari sini.
11.05am - Tak perlu tunggu lama, dalam seminit sahaja dan tren dah sampai.
Yang bawa basikal masuk dalam tren pun ada.
11.28am - Selepas kira-kira 23 minit perjalanan, akhirnya kami tiba di Stesen Sunny Bay.
Platform tren Disneyland Resort Line yang perlu kami naiki seterusnya terletak betul-betul berhadapan dengan tren Tung Chung Line yang kami naiki tadi, jadi bila keluar tren, terus jalan ke depan untuk menaiki tren Disneyland Resort Line.
11.29am - Dah naiki tren menuju ke Disneyland! Mama dengan Mika dah excited kan?
Tingkap tren Disneyland Resort Line ini berbentuk kepala Mickey Mouse, sama sahaja dengan tren Disney Resort Line di Jepun. Mungkin seluruh dunia pun sama kot?
Dari Stesen Sunny Bay, tren ini akan membawa kami terus ke Stesen Disneyland Resort.
Saya dan beg berisi barangan keperluan Mika.
11.33am - Akhirnya kami tiba di Stesen Disneyland Resort selepas kira-kira 4 minit perjalanan. Stesen ini terletak betul-betul berhadapan dengan pintu masuk atau pintu gerbang ke Disneyland Resort Hong Kong. Kalau anda datang menaiki kereta, kawasan parking terletak tidak jauh dari sini.
Sempat mengabadikan kenangan keluarga kecil kami di hadapan pintu gerbang Disneyland Hong Kong.
Ambil gambar kat depan ini sahaja pun dah beberapa minit, Lol.
Direktori.
Melepasi pintu gerbang, kami perlu berjalan kira-kira 200 meter untuk ke pintu masuk Disneyland Hong Kong.
Berehat sebentar dan bergambar di hadapan air terjun.
Perkara pertama yang perlu saya lakukan sebaik tiba di kaunter masuk Disneyland Hong Kong ini adalah menebus tiket masuk dan voucher makanan yang telah saya beli melalui aplikasi KLOOK (sila rujuk entry pertama). Saya cuma perlu tunjukkan salinan voucher tiket dan makanan yang telah saya print terlebih awal kepada staf bertugas di kaunter masuk, dan staf terbabit akan periksa dan seterusnya berikan tiket masuk dan voucher makanan yang rasmi.
Atas : Tiket masuk ke Disneyland.
Bawah : Voucher makanan yang boleh digunakan di restoran di dalam Disneyland.
Bagi pembelian tiket masuk Disneyland ini, kami juga memperoleh pilihan percuma antara popcorn atau pun ais krim yang boleh ditebus di mana-mana gerai jualan di dalam Disneyland.
Pamplet dalam pelbagai bahasa yang disediakan.
Untuk memastikan keselamatan dan keselesaan semua pengunjung, penggunaan selfie stick di dalam kawasan Disneyland Hong Kong adalah tidak dibenarkan!
"Here you leave today and enter the world of yesterday, tomorrow, and fantasy".
Baymax habis bateri pula, jadi ambil gambar depan bangunannya sahaja lah.
Buat pengunjung yang tidak membawa stroller atau kerusi roda, anda boleh menyewa kemudahan tersebut di sini, Disneyland Fire Dept. yang terletak tidak jauh dari pintu masuk tadi.
Terdapat juga Taxicab di dalam ini.
Suasana di laluan utama Disneyland Hong Kong. Terdapat kedai jualan cenderahati di kiri dan kanan jalan.
Amat sayang sekali kerana Disney Castle ketika itu ditutup dan sedang dinaiktaraf. Tak ada rezeki nak bergambar berlatarbelakangkan istana.
"Pardon Our Dust, Magic is happening"
Anda nak bantu siapkan Disney Castle?
Kawasan tema pertama yang pengunjung akan temui sekiranya menuju ke sebelah kiri Disney Castle adalah kawasan Adventureland. Memang kami ingin pergi ke Adventureland terlebih dahulu, kerana ingin makan tengahari di sana.
Tips : Tahukah anda, Disneyland Hong Kong merupakan satu-satunya Disneyland di dalam dunia yang mempunyai 2 restoran tema yang disahkan halal? Ianya adalah restoran Tahitian Terrace yang terletak di kawasan Adventureland, dan juga The Explorer's Club Restaurant yang terletak di kawasan Mystic Point.
Nampaknya restoran Tahitian Terrace ditutup sementara pada hari itu. Jadi kami tiada pilihan selain pergi ke sebuah lagi restoran halal di kawasan Mystic Point, harap-harap tak tutup la.
Terdapat banyak gerai-gerai yang menjual ais krim, popcorn, dan air minuman di dalam kawasan Disneyland ini. Memandangkan kami boleh menebus secara percuma antara popcorn dan ais krim, maka saya dan isteri telah menebus satu popcorn, dan satu ais krim, dapatlah rasa dua-dua sekali. Kalau nak beli ais krim sahaja, harganya bermula dari HKD 32 (RM 16) hingga HKD 39 (RM 19.50).
Tak pasti pula harga popcorn yang dijual.
Tadaa..ais krim dan popcorn untuk kami.
Isteri tersayang memilih ais krim Mickey Mouse. Ais krim vanilla yang disaluti coklat. Sedap!
WANTED! Haha!
Mika dah tidur dalam stroller, tinggal Mama dengan Papa nak bergambar.
12.34pm - Kami tiba di pintu masuk ke kawasan Mystic Point.
Masih lagi excited.
12.35pm - Haaa...akhirnya kami sampai di The Explorer's Club Restaurant yang kami cari.
Antara menu makanan yang terdapat di sini.
Tak perlu risau kerana daging yang disediakan di restoran ini telah disahkan halal oleh The Incorporated Trustees of The Islamic Community Fund of Hong Kong.
Restoran ini berkonsep seperti food court yang biasa kita temui di shopping mall di Malaysia. Anda perlu order di kaunter, ambil makanan, dan kemudian bayar di kaunter bayaran.
Set yang saya pilih, nasi putih, ayam tandoori, roti nan, ayam masak kari, dan air lemon tea. Set ini berharga HKD 149. Memang agak mahal, tapi sebab dah melancong, dan bukan selalu, jadi pejam mata sahaja lah. Lagi pun susah nak cari makanan halal, apatah lagi di dalam Disneyland ni.
Tips : Voucher makanan yang saya beli melalui KLOOK adalah untuk makanan yang bernilai HKD 149 (RM 74.50) bagi setiap set. Terdapat pelbagai makanan di restoran ini, ada yang bernilai kurang dari HKD 149, dan ada yang lebih. Kalau nak beli makanan yang harganya lebih dari HKD 149, anda kena tambah duit cash ye.
Tips : Dalam bangunan The Explorer's Club Restaurant ini juga terdapat ruang solat, atau pun dilabelkan sebagai 'Quiet Room' oleh pihak Disneyland Hong Kong. Ia terletak berdekatan dengan telefon awam dan tandas.
Telefon awam yang terletak bersebelahan dengan 'Quiet Room'.
Dalam 'Quiet Room' ini, terdapat 2 tempat mengambil wuduk yang boleh dipisahkan dengan tirai untuk keselesaan pengguna khususnya kaum wanita.
Kemudahan untuk mengambil wuduk dengan selesa.
Arah kiblat turut disediakan. Walaubagaimanapun, ruang solat 'Quiet Room' ini tidak diasingkan antara kawasan lelaki dan wanita.
Bersama Mika sementara menunggu Mama selesai solat.
2.24pm - Kawasan tema seterusnya adalah Toy Story Land!
Papa dengan Mama wefie, Mika pula sedang kaji peta Disneyland Hong Kong ye?
Meriah betul kawasan Toy Story ni.
Mama dan Mika di hadapan pintu masuk Toy Story Land.
Salah satu ride yang terdapat di sini, iaitu menaiki Slinky Dog.
Kedai menjual cenderahati Disneyland Hong Kong, terutamanya yang bertemakan Toy Story.
Mari belajar ABC bersama Andy.
Berehat sebentar sambil ambil gambar.
Macam-macam mimik muka Mika.
Susah betul nak acah supaya Mika tengok kamera. Hehe.
2.43pm - Kawasan tema seterusnya adalah Fantasyland!
Fairy Tale Forest. Tak ada masa menunggu sebab pengunjung boleh terus masuk tanpa beratur. Mungkin pada hari minggu perlu beratur sebab terlalu ramai?
Dalam kawasan Fairy Tale Forest ni, terdapat pelbagai replika interaktif dari kisah-kisah dongeng Disney.
Apa yang interaktif? Pengunjung perlu memutarkan tombol atau menekan sesuatu untuk melihat watak-watak Disney muncul atau bergerak bersama-sama dengan muzik.
Cinta-cinta Hati saya.
3.17pm - Kami tiba dan beratur di stesen keretapi yang terdapat di Fantasyland.
Dah penat berjalan, jadi kita naik keretapi pula.
3.37pm - Setelah kira-kira 20 minit beratur, akhirnya tren yang kami tunggu tiba.
3.42pm - Elok je naik keretapi, terus Mika tertidur dalam carrier.
Kerusi-kerusi keretapi ini cuma menghadap satu arah, iaitu ke sebelah dalam atau kanan kerana ia akan berpusing mengelilingi kawasan Disneyland Hong Kong ini.
Hah! Tak sabar nak pergi Stark Expo!
Ramai yang turun di hentian berdekatan pintu hadapan Disneyland Hong Kong, jadi keretapi dah kurang orang.
Tips : Keretapi ini akan berhenti dua kali, iaitu kali pertama di kawasan berdekatan pintu hadapan Disneyland Hong Kong yang berdekatan dengan kaunter tiket masuk, dan kali kedua di tempat asal keretapi ini bergerak tadi, iaitu di Fantasyland. Jadi kalau anda dah tak larat nak pusing kawasan Disneyland Hong Kong ini untuk ke pintu keluar, boleh lah naiki keretapi ini.
3.56pm - Selepas kira-kira 14 minit, akhirnya kami kembali ke stesen di Fantasyland, tempat kami naiki keretapi ini tadi.
Sedang kami berjalan menuju ke kawasan tema yang lain, bertemu pula dengan persembahan ini.
Kami sempat menaiki slow boat ride ini di it's a Small World.
Wefie di hadapan bangunan it's a Small World.
Selepas Fantasyland, kami pun akhirnya tiba di kawasan tema yang terakhir, iaitu Tomorrowland. Di sini terdapatnya tarikan utama seperti Star Wars, Spider-Man, dan Iron Man.
Spider-Man sedang beraksi.
Expo Shop, di mana anda boleh mendapatkan cenderahati bertemakan Iron Man dan Avengers.
Di sebelah belakang Expo Shop pula terdapatnya ride Iron Man Experience.
Wajib pergi bagi peminat Iron Man.
Lumrah bawa anak kecil, mereka mudah penat dan lapar. Jadi kena susukan Mika dahulu sebelum dia meragam.
Stark Expo!
5.53pm - Saya memasuki dan pergi ke ride Iron Man Experience ini seorang diri kerana bayi tidak dibenarkan masuk, terdapat had tinggi 130 cm kalau tak silap. Isteri tersayang berkorban dan tak masuk kerana ingin menjaga Mika. Terima kasih sayangku.
Sebelum dapat menaiki ride Iron Man Experience ini, pengunjung perlu melalui kawasan Hall of Legacy yang mana terdapat pelbagai pameran teknologi-teknologi yang dihasilkan oleh Tony Stark dan ayahnya, Howard Stark.
Iron Man MARK 7.
Iron Man MARK 5.
Akhirnya sampai di kawasan untuk menaiki ride.
Diberikan cermin mata 4D.
Sampai sini sahaja gambar, kalau nak rasa best atau tak ride ini, kena lah cuba sendiri.
Ternampak Groot yang baru selesai beramah-mesra dengan pengunjung.
Antara ride lain yang terdapat di kawasan tema Tomorrowland ini.
Mama dan Mika bergambar di hadapan pintu masuk Tomorrowland.
Tak sah kalau pergi Disneyland tapi tak beli atau pakai telinga Mickey atau Minnie Mouse ini.
7.09pm - Terdapat persembahan menggunakan projektor pada jam 7.30pm di dataran atau laluan utama Disneyland Hong Kong ini.
Orang semakin ramai memenuhi kawasan ini.
7.12pm - Pengunjung dah duduk siap-siap di tepi jalan walaupun persembahan hanya akan bermula pada jam 7.30pm.
Isteri tersayang bergambar di hadapan salah satu kedai menjual cenderahati di laluan utama.
7.32pm - Persembahan projektor sudah bermula.
8.25pm - Seterusnya adalah parade yang merupakan penutup acara Disneyland Hong Kong pada setiap malam.
Akhir sekali mestilah Mickey Mouse!
Wefie lagi sebelum bertolak pulang.
Orang dah mulai beredar dari laluan utama, jadi inilah masanya untuk bergambar.
8.57pm - Mari kita balik!
Sehingga bertemu lagi di Disneyland tempat lain pula. InsyaAllah.
8.59pm - Bye! Bye!
9.04pm - Kami tiba di platform untuk menaiki Disneyland Resort Line menuju ke Stesen Sunny Bay.
9.05pm - Tren tiba.
9.07pm - Kami menaiki tren. Agak keletihan, tapi perjalanan pulang masih jauh!
9.11pm - Selepas kira-kira 5 minit perjalanan, kami tiba di Stesen Sunny Bay.
Berjalan menuju ke platform 2, untuk ke Stesen Hong Kong.
9.13pm - Kami tiba di platform 2 untuk menaiki tren menuju ke Stesen Hong Kong.
9.17pm - Kami menaiki tren menuju ke Stesen Hong Kong.
9.39pm - Kami tiba di Stesen Hong Kong selepas kira-kira 22 minit perjalanan dari Stesen Sunny Bay.
Kami perlu berjalan menuju ke Stesen Central untuk menaiki Island Line untuk pulang ke hotel.
9.42pm - Tiba di Stesen Central.
Berjalan menuju ke platform 4, Island Line menuju ke Kennedy Town.
9.45pm - Tiba di platform dan menaiki tren tak lama selepas itu.
9.50pm - Selepas kira-kira 4 minit perjalanan, kami tiba di Stesen Sai Ying Pun.
Sudah hampir!
Pintu keluar A2, yang terletak bersebelahan dengan hotel penginapan kami.
10.04pm - Alhamdulillah, akhirnya kami tiba di hotel penginapan kami. Masa untuk berehat!
Pada hari kedua kami di bumi Hong Kong ini, saya telah berjalan sebanyak (anggaran) 9,675 langkah, bersamaan dengan 6.2km. Paparan data ini adalah dari aplikasi Android Mi Fit dan data diperoleh melalui penggunaan Mi Band 2.
Bersambung ke entry berikutnya...Hari Ketiga (27 April 2018) : Mong Kok - Tsim Sha Tsui
No comments:
Post a Comment