Friday 17 December 2021

[Review] Makan Malam di Hotel Panorama, Taiping

Sekarang ni memang ramai orang yang datang ke Taiping sejak dibenarkan rentas negeri. Hampir semua tempat sesak dan ramai orang, termasuklah restoran dan cafe. Tahukah anda, di celah-celah kesesakan tersebut, ada satu 'hidden gem', restoran yang tak ramai orang dan tak sesak, iaitu restoran yang terletak di dalam Hotel Panorama, di tengah pekan Taiping ini. Untuk penduduk Taiping sendiri, pasti ramai yang dah pernah atau biasa makan di sini.

Harganya berpatutan untuk restoran di dalam hotel, dan jika dibanding dengan cafe-cafe hipstur di sekitar pekan Taiping, manakala rasanya pula sedap dan tak mengecewakan. Parkir pula senang nak dapat, di sekitar hotel memang banyak kawasan parkir sebab waktu malam kedai-kedai di sekitar dah tutup. Pelayannya pun tahu tentang hidangan yang ada dalam menu dan dapat menerangkan dengan tepat. Dan yang paling penting adalah SELESA untuk dine in kerana tak ramai orang (tak tahu lah kalau lepas review ni orang ramai berpusu-pusu ke sana 😗).

Pesanan terakhir boleh dibuat sebelum jam 9pm. Jadi jangan datang lewat sangat ya. Kalau taknak dine in, Foodpanda/GrabFood pun ada, sebab saya pernah beli untuk penghantaran makanan melalui aplikasi tersebut. 

Makanan yang kami makan :

1) Chicken Superstar

2) Panorama Fried Rice

3) Giant Fruit Juice - Orange

4) Giant Fruit Juice - Watermelon


Kesimpulan :

Makanan : 4.5*

Perkhidmatan/Layanan : 5*

Keselesaan : 5*

Boleh Datang Lagi : 4.5*








Wednesday 15 December 2021

[Review] Makan Malam di The Warehouse 1957

*Semalam (posting asal di Facebook pada 30/10/2021) kami mencuba restoran ini yang memang dah lama plan nak pergi tapi tak pergi pergi sampai semalam. Restoran The Warehouse 1957  ni merupakan restoran yang terletak dalam kawasan hotel The Cozytainer yang agak unik dan 'IG-worthy'.

Parkir (4/5)

Anda boleh parkir di dalam kawasan hotel (kalau masih ada ruang) atau parkir sahaja kereta di luar pagar. Ada guardhouse, dan staffnya agak ramah dan profesional. Saya masuk nak parkir di dalam, tapi sebab penuh saya keluar semula dan parkir kereta di luar pagar, tiba-tiba staff di guardhouse tu datang ke kereta tanya sama ada saya datang nak menginap di hotel atau nak ke restoran, sebab kalau nak menginap di hotel, dia boleh cuba dapatkan slot parkir di dalam kawasan hotel. 

Makanan & Minuman (5/5)

Kami telah makan Linguine Carbonara, Crissspy Chessy Chicken Burger, Waffle with Peanut Butter. Minuman pula Mango Passion dan Chocobanana. Rasa makanan memang terbaik, dan kuantiti juga agak berpatutan. Pasta cendawan yang sedap, ayam burger crispy agak besar dan sedap, manakala waffle pula 'just nice'. Minuman pula kedua-duanya tidak mengecewakan, terutamanya Chocobanana, yang bagi saya wajib order kalau kali pertama anda ke sini. 

Harga (4/5)

Kalau anda boleh makan di mana-mana restoran di dalam shopping mall misalnya, kenapa tak boleh cuba di sini pula? 

Servis & Layanan (5/5)

Kawasan dalam restoran ni agak luas, dan jarak antara meja ke meja pun agak baik. Bersih dan selesa, sesuai untuk santai atau nak buat majlis sambut birthday atau reunion misalnya. Dan yang saya nak highlight di sini adalah, rasanya semua staff di sini telah dilatih dengan baik oleh pengurusnya. Dari masuk pintu restoran, bawa kita ke meja, hantar makanan, bayar di cashier, sampailah nak balik, staffnya melayan kita dengan ramah dan tertib. Kita pun automatik rasa lebih selesa. Jadi untuk ini saya bagi 👍

Datang Semula (5/5)

Makanan sedap, layanan bagus, tempat selesa, apa lagi anda mahu? 

p/s : Kalau anda orang dari luar Taiping, mungkin boleh menginap sahaja di @thecozytainer dan seterusnya makan sahaja di sini @thewarehouse1957 , tak perlu pergi jauh.







Monday 13 December 2021

[Preview J-Dorama] Tokyo MER


Jepun memang banyak menghasilkan siri dorama yang bertemakan kerjaya dalam bidang perubatan dan kecemasan. Antara dorama yang pernah saya tonton dan paling diingati adalah siri Code Blue, yang dilakonkan oleh Yamapi (Yamashita Tomohisa), Toda Erika, dan Aragaki Yui.

Terbaharu, 'Tokyo MER' merupakan dorama bertemakan perubatan dan kecemasan yang berjaya menarik saya supaya tak tekan button 'back/return’ di Disney+ Hotstar selepas tonton selama 2 minit.

Kalau dalam dorama 'Code Blue', pasukan kecemasan menggunakan helikopter untuk pergi ke kawasan-kawasan kemalangan yang sukar dimasuki oleh kenderaan darat, dalam dorama ‘Tokyo MER’ ini pula, pasukan kecemasan menggunakan trak khas yang siap dilengkapi dengan bilik bedah, supaya pembedahan kecemasan dapat dilakukan di tempat kemalangan berlaku, sekali gus menjimatkan masa dan risiko dari menghantar mangsa ke hospital. Target atau sasaran pasukan ini? Sifar kematian di tempat rawatan kecemasan yang mereka berikan. 'MER' itu sendiri bermaksud 'Mobile Emergency Room'.

Siri dorama 'Tokyo MER' ini sedang ditayangkan di Disney+ Hotstar. Episod baharu setiap minggu pada hari Rabu. Jadi siapa yang belum tonton, saya cadangkan anda tonton siri ini. Jalan ceritanya pantas, jadi tak bosan.

Sunday 12 December 2021

Dapat 5 sen, tapi Halal ke?




Walaupun saya pengguna tegar dan sering membuat pembelian menggunakan aplikasi Shopee, tapi tak pernah pun saya ambil tahu sangat pasal T&C untuk dapatkan 'coins' melalui tulis review ketika memberi rating kepada produk yang saya beli. 

Sebelum membeli sesuatu produk, memang jadi kebiasaan saya untuk tengok dahulu review orang yang dah beli, dan selalu sangat jumpa review yang disertakan gambar atau video yang langsung tak ada kena mengena dengan barangan yang dibeli. Ada yang post video lawak (tak lawak pun), gambar kucing, dan lain-lain lagi. Pelik juga saya fikir, tapi tak pernah pula nak cari sebab kenapa.
 
Rupa-rupanya setiap gambar dan video yang dipost bersama review tadi akan memberikan 'reward' dalam bentuk 'coins'. Kalau post review beserta gambar atau video, dapat 3 coins. Kalau post review beserta kedua-dua gambar + video, dapat 5 coins. Untuk yang tak tahu, 1 coin bersamaan dengan nilai 1 sen yang boleh ditebus ketika membuat bayaran dalam pembelian akan datang di aplikasi Shopee. 

Nilai yang mungkin 'sedikit', tapi bagi saya tetap salah, sebab kita 'menipu' untuk mendapatkan coins tersebut. Apalah salahnya, ambil sahaja gambar atau video produk sebenar dan post, dan tulis review jujur mengenai produk yang dibeli. Tak ada masa menulis? Malas nak menulis? Nak 'sesuatu', berusahalah walaupun sedikit, bukannya semuanya nak kena ambil mudah dan 'menipu'. 

Memang dalam T&C ada dinyatakan yang pihak Shopee berhak menarik semula coins yang diberi sekiranya kandungan review tak ada kena mengena atau kurang sesuai, tapi rasanya tak terbuat pihak Shopee nak review semua post/review yang ada, kecuali kalau seller report kepada pihak Shopee. Kalau tak, tak lah banyak orang yang masih buat review dan post gambar/video yang tak ada kena mengena ye tak?

Kesimpulannya, Halal ke '5 sen' yang anda dapat tu?

Renung-renungkan dan selamat beramal.

p/s : Selain post gambar/video tak ada kena mengena, sebahagian besar review pula asyik komen pasal delivery, dan bagi rating berdasarkan delivery. Weh, review dan bagi rating pasal produk, bukan delivery. 




Thursday 15 July 2021

[Reviu Filem] The Tomorrow War


Saya terpengaruh nak tengok filem ni lepas nampak sahabat UM dan FB, Cikgu Lim Zihan yang kata cerita ni best. Dan ternyata, cerita ni memang best! Terutamanya bagi anda yang meminati filem bertemakan fiksyen sains.


Sinopsis :

Pada bulan Disember, tahun 2022, seluruh dunia dikejutkan apabila sepasukan tentera khas secara tiba-tiba muncul di atas padang bola ketika perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 sedang berlangsung. Wakil tentera khas tersebut memberitahu secara live di siaran televisyen yang mereka datang dari tahun 2051 dan sedang berperang dengan alien. Katanya mereka sudah hampir 'tewas' dan memerlukan bantuan daripada masyarakat dunia pada hari ini untuk sama-sama membantu mereka berperang. 


Pada mulanya masyarakat seluruh dunia secara sukarelawan menyertai perang tersebut dan dihantar ke masa hadapan menggunakan binaan yang dipanggil 'Jumplink'. Mereka akan 'bertugas' dan perlu bertahan selama 7 hari sebelum dihantar pulang ke tahun 2022 secara automatik. Tapi disebabkan 'kebarangkalian selamat' yang rendah, sekitar 30% sahaja, kerajaan mula membuat ambilan tentera dari kalangan orang awam menerusi program yang dinamakan 'draft'. 


Dan Forester, seorang guru biologi di sebuah sekolah terpilih menyertai program 'draft' tersebut. Dia 'terpilih' dan disahkan dapat menyertai program berkenaan kerana berdasarkan rekod, Dan Forester akan meninggal dunia pada tahun 2030, iaitu sebelum perang mula tercetus pada tahun 2048. Ini untuk mengelak 'paradoks' yang mungkin terjadi sekiranya dia masih hidup pada tahun 2051. (Anda boleh buat carian pasal 'time travel paradox' untuk lebih memahami). Walaupun pada mulanya berat hati untuk meninggalkan isteri dan anak perempuan kesayangannya, Muri, akhirnya Dan membuat keputusan untuk menyertai perang tersebut. Dan Forester sebenarnya seorang bekas tentera, jadi dia tak gentar untuk berperang.


Tahun 2051, kesemua peserta 'draft' dari kumpulan yang disertai Dan Forester dihantar ke kawasan Pantai Miami, di mana mereka perlu menyelamatkan sepasukan saintis dan bahan kajian yang penting dari sebuah makmal. Dalam operasi menyelamat yang penuh kesukaran dan genting akibat diserang segerombolan alien yang digelar 'Whitespikes', akhirnya Dan bersama 2 lagi orang berjaya terselamat dalam misi menyelamatkan bahan kajian yang penting. Dan Forester bangun dari pengsan dan kini berada di sebuah kem tentera, di mana dia akhirnya bertemu dengan 'komander operasi' yang memberi arahan kepada pasukan 'draft' Dan ketika di Pantai Miami sebelum itu. Hendak dijadikan cerita, 'komander' atau Kolonel Forester tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah anak perempuan kesayangan Dan itu sendiri, iaitu Muri dari tahun 2051. Kini, mereka perlu bekerjasama untuk memastikan mereka memenangi peperangan menentang alien ini. Dapatkah gandingan 2 beranak ini berjaya menamatkan ancaman alien pada masa hadapan?


Komen :

Filem ini menyelitkan unsur-unsur kekeluargaan (kasih sayang anak perempuan-bapa, anak lelaki-bapa) yang mungkin akan menyentuh hati mereka yang berkenaan. Perang menentang alien? Mungkin tema ni agak 'cliche', tapi pada saya plot filem ini tidak membosankan, dan durasi filem ini yang selama 2 jam 15 minit hampir tak terasa walaupun saya tonton filem ini pada jam 3am-5am.


Macam mana nak tengok filem ni?  Anda boleh langgan perkhidmatan Amazon Prime, memandangkan ianya filem ekslusif untuk Amazon Prime. Kalau tak ada akses, anda boleh pandai-pandai cari sendiri di internet ya. (Hint : Torrent, streaming)


Rating : 4.5⭐


Tuesday 22 June 2021

Words -part19-


Manusia tak akan sedar kesalahan sendiri apabila terlalu memikirkan kesalahan orang lain. - 20 Jun 2021

Tak salah kalau kita bodoh sebab tak diajar. Tetapi amatlah salah kalau kita bodoh sebab tak nak belajar. - 11 Mei 2021

Menyebar fitnah memang mudah dan sedap, tapi bila dah salah, nak mengaku memang susah dan gagap. - 11 Mei 2021

Zaman dulu orang segan atau malu nak tunjuk kebodohan, zaman sekarang orang beriya-iya nak tunjuk kebodohan kat media sosial. - 22 Mac 2021

Masalah kebanyakan 'agamawan' zaman ini adalah, dia rasa dia layak untuk beri nasihat dan pandangan kepada umum, walaupun yang diulas tu bukan bidang kepakaran dia. - 22 Januari 2021

Kebodohan tidak mencari manusia. Manusia yang selalu mencari kebodohan. - 18 Januari 2021

Duit tidak mampu membeli kebahagian. Ia cuma mampu membeli rasa teruja yang bersifat sementara. - 2 Oktober 2020

Zaman sekarang tak perlu tunggu April Fool, setiap hari pun ramai yang kena tipu dengan berita palsu. - 1 April 2020

Mengatakan kebenaran untuk mengubah persepsi seseorang adalah sukar, kerana manusia memilih untuk percaya apa yang mereka mahu percaya. Apa yang mereka terlebih dahulu percaya. - 27 Oktober 2019

Nak jadi seorang netizen, tak perlu jadi bijak, cuma kena berkeyakinan tinggi. Sebab kalau salah boleh delete sahaja dan buat macam tak ada apa-apa. Pernah nampak orang share artikel atau berita palsu/fitnah kemudian minta maaf bila sedar diri salah? Jarang. - 1 Oktober 2019

Pendidikan atau pengajaran yang paling meninggalkan kesan sebenarnya bermula dari rumah. - 29 September 2019

Salah satu cara untuk menjadi bijak tanpa membuat apa-apa adalah dengan tidak mengongsikan apa-apa artikel viral yang sumbernya tak diketahui dan tak disahkan. - 26 September 2019

Nak martabatkan Bahasa Melayu bukan setakat guna tulisan Jawi sahaja, tapi betulkan juga tatabahasa dan ejaan dalam kegunaan harian kita. Pisang goreng dengan goreng pisang pun masih ramai tak tahu beza. - 5 September 2019

Jadilah si gelojoh menyebar ilmu, bukan si gelojoh menyebar fitnah. - 11 Julai 2019

Sesuatu yang jijik dan hina adalah apabila kita gigih mengejek, mengecam, atau mengutuk seseorang tapi hakikat yang sebenarnya adalah kita yang tak betul. - 3 Julai 2019

Kalau nampak kesalahan orang, bukan main gelojoh dan ringan jari-jemari serta mulut nak mengkritik dan mengecam. Tapi kalau sendiri buat salah, berat betul jari-jemari dan mulut nak minta maaf. - 1 Julai 2019

Kita hidup di zaman sebahagian besar manusia cuma berfikir di hujung jari. - 13 Jun 2019

Dah zaman Malaysia Baharu, dah masuk tahun 2019, zaman kamera handphone pun dah boleh zoom Bulan, tapi sebahagian besar Netizen masih lagi dengan budaya share atau forward artikel atau berita secara membabi-buta tanpa membuat semakan fakta terlebih dahulu. Jangan gelojoh supaya tak terserlah bodoh. - 4 Jun 2019

Mengaku rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, tapi hanya bergaul dan hidup dalam kelompok kaum sendiri sahaja. Tak hairan kenapa majoritinya susah pergi jauh, dalam kehidupan dan bila di negara orang. - 1 Jun 2019

Kalaulah bersangka baik itu semudah bersangka buruk, pasti aman hidup bermasyarakat. Kalau. - 31 Mei 2019

Andai tak mampu menambah pahala, janganlah pula kita sengaja menambah dosa. - 27 Mei 2019

Dalam dunia ini, biar pun kita tak kaya harta, tapi biarlah kita kaya dengan adab dan akhlak yang baik. Ini dah la miskin harta, ditambah pula miskin adab dan akhlak, lebih baik jangan membiak. -14 Mac 2019

Kalau diperhatikan, golongan yang cenderung dengan antivaksin, yang percaya Bumi itu mendatar, yang percaya Illuminati, dan segala macam perkara lain yang luar dari kebiasaan, adalah golongan yang sama. Adakah golongan ini paranoid dengan perkara yang mereka sendiri tak paham? - 14 Februari 2019

Jika kita mempunyai ilmu yang baik walau secebis, eloklah dikongsi, bukan gunakannya untuk membangga diri. Kelak yang malu diri sendiri. - 31 Januari 2019

Cinta mampu membuatkan manusia menjadi bodoh. Tapi politik mampu membuatkan manusia menjadi terlalu bodoh. - 26 Januari 2019

Rasa sangat menjengkelkan bila tengok orang yang tak paham dan tak berilmu tapi komen acah-acah tahu dan pandai dalam apa yang dikomen. Rasa macam nak marah atau tegur, tapi lebih baik sambung scroll dan abaikan. Sebab kat dalam media sosial ni, semua adalah pemenang, tiada pengalah. - 24 Januari 2019

Mengecam kesalahan orang dengan mengeji dan memaki hamun. Adakah yang mengecam itu lebih baik atau sebenarnya lagi teruk dari yang dikecam? Lebih baik diam dari cakap tak serupa bikin, kerana sekeliling memerhati. - 16 Januari 2019

Orang yang kita kenal di dunia sebenar kebanyakannya adalah orang yang berbeza ketika di dalam media sosial. Di dunia sebenar kita kenal luarannya, di media sosial kita kenal dalamannya. - 16 Januari 2019

Sentiasa akan ada kecacatan pada sesuatu sistem. Tapi perlukah kita manipulasi dan ambil kesempatan akan kelemahan sistem itu dan ketepikan nilai moral, kejujuran, integriti, dan maruah diri? Apatah lagi kalau tindakan tersebut memberi kesan negatif kepada orang lain? Generasi dan masyarakat yang baik bermula dari diri sendiri. - 11 Januari 2019

Tak guna gelojoh untuk kelihatan bodoh. - 1 Januari 2019

Kalau bodoh, jangan memandai-mandai. Kalau pandai, jangan membodoh-bodoh. - 5 Disember 2018

Selalunya manusia mempunyai ego bukan kerana mereka yakin betul, tapi kerana mereka tak biasa kalah. - 18 Oktober 2018

Antara perkara sia-sia yang boleh kita lakukan di media sosial adalah cuba berdebat dengan netizen yang lain. Tak semua orang boleh terima pendapat kita, dan kita pun tak semestinya akan dapat terima pendapat orang lain. - 16 Oktober 2018

Manusia memang sentiasa cenderung untuk baca, dengar, dan paham perkara yang mereka suka. Yang sama wavelength dengan diri mereka. - 15 Oktober 2018

Mempunyai peluang bukan sentiasa bermaksud mesti ambil peluang. - 14 Oktober 2018

Bila hati dah hitam, semua perkara nak kecam. - 22 September 2018

‘Dajjal’ yang sebenarnya pada zaman ini adalah telefon pintar. Mudah je media mahu pun sesiapa nak ‘sesatkan’ atau trigger golongan netizen yang jahil dan naif. - 5 September 2018

Zaman ini adalah zaman dunia tanpa sempadan. Dan juga zaman di mana masyarakatnya (dibaca : netizen) menunjukkan kebodohan yang juga tanpa sempadan. - 2 September 2018

Kalau diikuti la pentaksub-pentaksub politik yang sibuk bertelagah kat media sosial ni tetiap hari, popcorn ?? pun boleh habis stok. #ifyouknowwhatimean - 11 Ogos 2018

Zaman sekarang adalah zaman telefon pintar, tapi ramai yang tak pintar menggunakannya. - 2 Ogos 2018

Tak susah nak uji betapa mudahnya netizen negara ini percaya dengan segala yang dilihat atau dibaca di internet. Hantar ‘Gohet Gostan’ pun dah cukup. - 29 Julai 2018

Bersangka buruk, busuk hati, tak boleh bertolak ansur, mudah gelabah, mudah kena pengaruh, kuat maki hamun. Kemudian berbicara tentang agama umpama sempurna. Demikianlah perangai sebahagian netizen dewasa ini. - 12 Julai 2018

Manusia sering fokus kepada perkara yang 'besar', sedangkan kadang kala perkara 'kecil' itulah yang mencerminkan siapa diri mereka yang sebenarnya. - 6 Mac 2018

Manusia yang sengaja melanggar lampu merah tatkala manusia lain sabar berhenti dan menunggu, adalah sejenis kategori manusia yang tak sepatutnya dibiarkan membiak. - 20 Oktober 2018

Kalau taknak susah, jangan susahkan orang lain. Kalau nak senang, senangkan dulu orang lain. - 22 September 2017

Umpama kereta-kereta yang berebut nak jalan dahulu sampai berlakunya kesesakan apabila traffic light di persimpangan rosak, begitulah lumrahnya manusia sekiranya tiada panduan dalam hidup. - 16 September 2017

Kalau taknak ditimpa kesusahan, mulakanlah diri dahulu supaya tidak menyusahkan orang lain. - 2 September 2017

Melakukan sesuatu perkara yang betul dan yang sepatutnya adalah sesuatu yang aneh di kalangan masyarakat kita sehingga pelaku seringkali dipandang pelik malah dianggap poyo. Nampaknya jauh lagi kita nak jadi negara maju dan mempunyai masyarakat mentaliti kelas pertama. Semoga kita masing-masing sentiasa muhasabah diri. - 8 Ogos 2017

Persoalan paling misteri dan paling sukar dijawab oleh ramai orang di dalam dunia ini adalah, "nak makan di mana?" #kisahbenar - 26 Julai 2017


 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile