Thursday 6 August 2020

SINGAPORE 2019 Travelogue (Day 1) : Penang International Airport - Changi Airport - Jewel Changi - Joo Chiat Road - Kampung Glam - Gardens by the Bay


*Untuk entry Travelogue yang terdahulu, sila klik pada link di bawah ;

*Entry dalam siri Travelogue ini akan disertakan banyak gambar mengikut garis masa pada hari yang dinyatakan. Kadang-kadang, gambar lebih mudah menceritakan sesuatu berbanding kata-kata.

------------------------------------------------

Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.

Selepas hampir 8 bulan, baru akhirnya saya mempunyai masa dan mood untuk menulis dan menerbitkan travelogue perjalanan saya, isteri, dan anak perempuan kami ke Singapura pada 20-22 Disember 2019 yang lalu. Ianya sebelum heboh dan tercetus fenomena atau wabak COVID-19 di China, Singapura, dan seluruh dunia seperti yang sedang berlaku pada hari ini.

Kalau tahun sebelumnya, kami telah pergi bercuti ke Hong Kong dengan membawa anak kami, Mika Aafiyah yang ketika itu baru berusia 8 bulan, kali ini anak kami sudah pun berusia 2 tahun 4 bulan ketika kami membawanya ke Singapura.


Dalam travelogue saya sebelum ini, saya kerap menggunakan perkhidmatan awam tren/subway sebagai medium pengangkutan utama. Tapi lain pula untuk perjalanan kami kali ini ke Singapura, yang mana kami menggunakan khidmat aplikasi Grab sepenuhnya untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain di Kota Singa ini. 

                            

Sebabnya? Selepas membuat sedikit kajian ringkas mengenai pengangkutan awam di Singapura, saya mendapati yang perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain memerlukan kita menukar beberapa kali pengangkutan awam, yang mana ia akan mengambil masa lama untuk sampai ke satu-satu tempat. 

Walaupun harganya jauh lebih murah daripada menggunakan perkhidmatan Grab, namun bagi saya masa dan tenaga yang ada adalah lebih berharga. Oleh kerana kami cuma akan bercuti di Singapura selama 3 hari 2 malam sahaja, jadi amat penting untuk kami gunakan masa yang ada sebaiknya.


Persiapan

Seperti percutian kami sebelum ini, kami telah membuat persiapan awal (tak awal sangat pun) dengan membeli tiket kapal terbang, menempah hotel, dan membeli tiket masuk ke lokasi-lokasi tarikan yang ingin dikunjungi kira-kira sebulan sebelum perjalanan kami. 

Kami terlebih dahulu memilih lokasi-lokasi tarikan yang ingin kami pergi sepanjang 3 hari 2 malam di Singapura, sebelum mula merancang kaedah pengangkutan dan tempat penginapan kami di sana.

Terdapat banyak lokasi-lokasi tarikan yang menarik di Singapura, tetapi disebabkan kami cuma ada masa yang singkat, maka kami telah memilih lokasi-lokasi yang dirasakan berbaloi dan sesuai untuk kami tiga beranak iaitu ;



1. Penerbangan & Keretapi


Syarikat penerbangan pilihan kami ke Singapura adalah seperti biasa, AirAsia. Saya telah membeli tiket menggunakan aplikasi AirAsia di telefon pintar. 

Untuk perjalanan pergi, kami menaiki penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, ke Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Manakala untuk perjalanan balik, kami menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Dari Singapura ke Lapangan Terbang Senai, kami akan menaiki perkhidmatan Grab dan Keretapi Tanah Melayu (KTMB).


Jangan lupa yang paling penting pastikan passport anda masih sah dan mempunyai sekurang-kurangnya baki 6 bulan dari tarikh anda berlepas!


2. Penginapan

Selepas membeli tiket penerbangan dan keretapi, kami telah menempah hotel penginapan kami selama 3 hari 2 malam di Singapura menggunakan aplikasi Agoda


Setelah membuat sedikit kajian dengan meneliti lokasi, membaca rating dan review, dan menggunakan bajet yang disediakan untuk penginapan, kami telah memilih untuk menempah hotel ibis budget Singapore yang terletak di Joo Chiat Road.


Hotel ini terletak tidak jauh daripada lapangan terbang, dan juga tidak jauh untuk ke lokasi-lokasi tarikan yang bakal kami pergi.


3. Aplikasi KLOOK

Aplikasi Klook sentiasa menjadi pilihan kami ketika merancang percutian. Dan dengan menggunakan aplikasi Klook, kami telah menempah SIM card untuk kegunaan internet kami di Singapura.


Menerusi pakej yang dibeli, kami perlu menebus SIM card internet itu ketika berada di Lapangan Terbang Changi di Singapura nanti. Semua informasi atau butiran yang anda perlukan mengenai lokasi dan waktu menebus akan diberikan kepada anda, jadi jangan risau, yang penting rancang perjalanan anda dengan teliti.

                        

Seterusnya, kami telah membeli tiket masuk ke Jewel Changi, Gardens by the Bay, Universal Studio Singapore (USS), dan pengangkutan dari Lapangan Terbang Changi ke hotel menggunakan aplikasi Klook ini.


Tips :
Salah satu kelebihan membeli tiket menggunakan aplikasi Klook ini adalah, harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding pembelian di laman web rasmi atau pun agen jualan yang lain. Tapi jangan risau, setakat ini, belum pernah lagi saya gagal atau tidak dibenarkan masuk ke lokasi yang tiketnya kami beli menggunakan aplikasi Klook. Saya telah menggunakan aplikasi Klook sejak dari percutian kami ke Hong Kong, pada tahun 2018 yang lalu.


Anda juga boleh mendapat lebih penjimatan, yang mana setiap pembelian anda menerusi aplikasi Klook, anda akan menerima Credits yang boleh ditukarkan kepada nilai wang. Setiap kali anda menulis review pada produk atau perkhidmatan yang telah anda gunakan, anda juga akan mendapat Credits. Tapi nilai wang yang ada pada Credits tu hanya boleh digunakan untuk membeli perkhidmatan lain pada aplikasi Klook, tak boleh nak pindah masuk bank ya?


4. Cetak dan muatnaik dokumen penting

Perkara yang wajib saya lakukan sebelum pergi bercuti ke luar negara adalah, mencetak dan memuatnaik semua dokumen penting. Print atau cetak semua maklumat penting yang diperlukan, antaranya tiket penerbangan, tempahan hotel, kupon atau voucher yang telah dibeli lebih awal, insurans penerbangan, dan itinerary itu sendiri. Manalah tahu, tiba-tiba internet tak dapat digunakan nanti, tak ada pula tempat untuk dirujuk jikalau tiada hard copy itinerary bersama anda.


Gunakan aplikasi Google Drive atau apa-apa perkhidmatan cloud, untuk upload dan simpan semua maklumat penting anda seperti file itinerary, tiket penerbangan, itinerary penerbangan, insurans penerbangan, tempahan hotel, kupon atau voucher, salinan passport dan kad pengenalan, sijil nikah, dan lain-lain yang dirasakan penting sekiranya berlaku apa-apa di luar negara nanti (mintak dijauhkan).

Selesai semua persiapan, sampai masa, kami pun memulakan perjalanan ke Kota Singa, pada 20 Disember 2019 yang lalu.

-----------------------------------------------------------------------

Hari Pertama (20 Disember 2019) : Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang - Lapangan Terbang Changi - Jewel Changi - Joo Chiat Road - Kampung Glam - Gardens by the Bay

Kami bertolak dari rumah selepas Subuh dan parking kereta kami di tempat letak kereta yang disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Penerbangan kami secara terus ke Singapura dijadualkan pada jam 9.55am.

7.51am - Mama dan Mika sedondon hari ni. 

Hai semua, Mika nak pergi jalan-jalan hari ni, tapi Mika masih mengantuk.

Mika dah mula belajar nak menulis *menconteng*, sebab tu Mama dah bawa siap-siap pensel untuk Mika.

9.27am - Kami dah naik kapal terbang dan bersedia untuk memulakan perjalanan kami. 

Mika dan Ah Bear memang tak boleh renggang.


Kapal terbang yang kami naiki adalah dari jenis Airbus A320.

9.59am - Ralit tengok 'sky'.

Kami dah tempah siap-siap sebab risau nanti lapar dan tak jumpa tempat makan sesuai sebelum sampai hotel nanti.

10.55am - Alhamdulillah, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura.

11.30am - Nampak struktur yang menarik ini ketika beratur untuk urusan imigresen.


12.03pm - Selesai urusan imigresen, kami terus mencari lokasi tempat untuk mengambil SIM card yang telah saya tempah dari awal menggunakan aplikasi KLOOK.

12.05pm - Jumpa pun, kedai ini terletak di balai ketibaan.

Sempat sambar air Pokka Coffee Less Sweet ni. Air perisa ni tak masuk pasaran Malaysia. Ish.

Untuk urusan mengambil SIM card, ianya terletak di bahagian luar kedai Cheers tadi. Ada satu kaunter tepi. Tak perlu beratur pada kaunter kedai tu.

Inilah dia SIM card yang saya telah tempah di KLOOK. Harganya RM35 untuk 100GB data. Berbaloi kan?


Dah ambil SIM card, agenda seterusnya adalah untuk terus ke Jewel Changi, iaitu sebuah kompleks membeli-belah yang bersambungan dengan Lapangan Terbang Changi ini melalui jambatan.

12.27pm - Dari Balai Ketibaan kami di Terminal 4, kami perlu menaiki shuttle bus untuk ke Terminal 2, di mana terletaknya Jewel Changi.


Ramai yang nak naik shuttle bus ni, tapi ada banyak bas, jadi tak perlu tunggu terlalu lama.

12.27pm - Tadaa...bas dah sampai.

12.39pm - Lebih kurang 8 minit perjalanan menaiki shuttle bus, kami tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi.

Mencari jalan menuju ke Jewel Changi.



12.43pm - Sampai dah pintu masuk ke jambatan yang menghubungkan Terminal 2 dengan Jewel Changi.



Agak panjang juga jambatan ini sebenarnya. Perjalanan kami alhamdulillah tak susah sangat sebab tak perlu menarik beg. Untuk trip kali ini, kami dah beli backpack yang boleh muat kabin kapal terbang. 


Stroller yang dibawa ni pun jenis yang boleh lipat kecil dan muat dalam kabin kapal terbang. Ambil pengajaran masa pergi Hong Kong tahun sebelumnya, agak susah sikit nak tarik beg bagasi yang besar bila menggunakan perkhidmatan awam sebagai medium pengangkutan utama.

12.50pm - Lebih kurang 7 minit berjalan sambil berhenti ambil gambar, kami pun tiba di Jewel Changi.


"Welcome to JEWEL"

12.57pm - Bergambar dengan latar belakang air terjun indoor yang cantik. Memang wajib ambil gambar kalau datang ke Jewel Changi ni.

1.03pm - Destinasi kami seterusnya adalah Canopy Park yang terletak di tingkat 5.

1.05pm - Kami tiba di Canopy Park.

Untuk masuk ke Canopy Park ini, anda perlu membeli tiket, kiranya macam masuk taman tema lah, kena berbayar. Kami dah beli tiket awal-awal menggunakan aplikasi KLOOK.

Memandangkan kami datang beberapa hari lagi nak sambut Krismas, jadi ada tarikan istimewa yang dibuat di Canopy Park ni. Ada tempat 'bersalji' yang boleh dimasuki.

Siap kena pakai sarung kasut khas, mungkin supaya 'salji' tiruan tu nanti tak kotor dan tak melekat pada kasut pengunjung.

Siap dapat tongkat salji setiap sorang. Acah-acah berjalan atas salji. Tak sejuk pun salji tiruannya tu.

Kita tolong orang ambil gambar, orang tolong kita balik.

'Snow Walk' lah namanya.

Ada banyak arca haiwan yang diperbuat daripada bunga di sini. Memang untuk bergambar.



Antara tarikan atau aktiviti yang terdapat di dalam kawasan Canopy Park ini. 



Antara tarikan atau kawasan yang termasuk dalam tiket Canopy Park kami adalah Discovery Slides ni.

Mama dengan Mika tunggu kat bawah, Papa main slides sorang-sorang.


Ada staf yang jaga dan bagi penerangan ringkas sebelum boleh main untuk pastikan keselamatan pengunjung.


Tempat tarikan seterusnya adalah Foggy Bowls ini.


Tempat riadah di mana asap kabus akan keluar dari rumput tiruan.

Ini pula Sky Nets. Untuk masuk kena beli tiket berasingan.


Tarikan lain yang ada adalah Petal Garden ni.

Banyak bungaaaa....

Jumpa Uncle Santa dan pengikut. Bergambar je lah.

Wefie!

Sky-Nets tadi. Ada beran?

Mama dan Mika di Petal Garden.

2.01pm - Dah puas berjalan di Canopy Park, kami pun bergerak menuju ke Ground Transport Concierge Counter yang terletak di tingkat 1.

Menuju ke arah tempat menunggu teksi.


2.08pm - Kami tiba di kaunter yang ditujui.

Kami datang ke sini untuk menaiki kenderaan menuju terus ke hotel tempat penginapan kami. Seperti tadi, perkhidmatan ni kami dah tempah awal menggunakan aplikasi KLOOK.

Semasa beli tiket di KLOOK, tak dinyatakan kanak-kanak sebaya umur Mika Aafiyah kena bayar, jadi kami tak beli pun tiket untuk Mika. Tapi semasa nak redeem tiket kat kaunter tadi, staf kat kaunter tu cakap kena bayar walau untuk kanak-kanak bawah 3 tahun sekali pun. Bila saya nak bayar 'aunty' tu cakap tak perlu lah. Baik betul. Murah rezeki Mika.

Dapat sticker.

Shuttle yang akan dinaiki bernombor dan ada pick up time, jadi boleh agak masa.

Kalau baru nak beli tiket pun boleh, gunakan mesin ini atau beli di kaunter.

2.26pm - Kami dah dapat naik shuttle


Tak ramai pun yang menggunakan perkhidmatan ni, mungkin sebab mahal? RM27 untuk seorang dewasa. 

Dalam shuttle ni ada USB port, jadi boleh lah charge telefon semasa dalam perjalanan.

2.55pm - Akhirnya kami tiba di hotel penginapan kami. Shuttle tadi akan berhenti di beberapa lokasi hotel yang berada di sekitar bandar Kota Singa ini. Anda boleh semak senarai hotel yang terlibat semasa membuat tempahan di KLOOK.


Penat dah Mika.

4.41pm - Kami cuma berehat sekejap sahaja di bilik hotel. Kami nak pergi cari makan pula.

4.48pm - Seperti yang dinyatakan di awal penulisan tadi, kami menggunakan perkhidmatan Grab ketika berada di Kota Singa ini. Perkhidmatan Grab di sini agak efisyen, agak ramai pemandu yang ada di sekitar bandar.

Info :
Perkhidmatan Grab memang mudah didapati di Singapura, tetapi anda perlu tahu yang ada sesetengah pemandu tidak akan mengambil penumpang sekiranya kita mempunyai anak kecil, kerana adalah wajib untuk menggunakan child car seat di Singapura, dan tak semua pemandu Grab menyediakannya. Pastinya mereka tak nak ambil risiko untuk kena saman. Kalau tak silap saya kita boleh cari pemandu Grab yang menyediakan perkhidmatan untuk keluarga dan menyediakan child car seat, tapi mungkin tak ramai yang ada. Walau bagaimanapun, sepanjang kami menggunakan perkhidmatan Grab di Singapura ini, kalau tak silap cuma dua atau tiga kali yang kami tak jadi naik sebab pemandu Grab tak menyediakan child car seat. Yang lain semua terima kami seadanya. Eceh.

5.12pm - Lebih kurang 15 minit perjalanan dari hotel, kami tiba di Restoran Zam Zam yang agak terkenal dengan murtabaknya.

Kami memilih murtabak dan nasi biryani pada petang tu.

Emmm...sedapnyaa...

6.02pm - Selesai makan, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan Kampong Glam ini. Masjid Sultan merupakan salah satu simbol bagi Kampong Glam.

Restoran Zam Zam tadi yang warna hijau tu, berhadapan dan di seberang jalan dengan Masjid Sultan.

6.05pm - Singgah kejap di Masjid Sultan.

Antara tempat tarikan lain yang terdapat di Kampong Glam ini adalah Malay Heritage Centre.

Masjid Sultan dari tepi.

Bukan calang-calang, masjid pun ada sijil ISO 9001:2015.

Terdapat Arab Street di kawasan Kampong Glam ni. Ada banyak restoran makanan Arab, dan juga kedai-kedai menjual cenderamata di sekitar kawasan berdekatan dengan Masjid Sultan ini. Kami pun sempat membeli cenderamata yang rasanya agak murah di sini.

Informasi mengenai Masjid Sultan.

6.52pm - Kami menaiki Grab menuju ke lokasi utama dan terakhir untuk kami pada hari pertama di Kota Singa ini.

7.08pm - Kami tiba di Gardens by the Bay.

Terdapat event istimewa iaitu 'Christmas Wonderland' di sini bersempena dengan sambutan Hari Krismas yang tidak lama lagi.

Papan tanda event. Untuk masuk ke kawasan event ini, anda perlu membeli tiket masuk. Dan kami dah pun beli tiket awal-awal menggunakan aplikasi KLOOK.

Sebelum masuk ke kawasan 'Christmas Wonderland', kami terlebih dahulu menuju ke tempat menarik lain yang terdapat di sini.

7.15pm - Kami menuju ke Flower Dome. Sekali lagi, tiket telah kami beli awal menggunakan aplikasi KLOOK.

Memang mengujakan Flower Dome ni, terutamanya pada peminat-peminat bunga. Sempena Krismas, ada dekorasi khas yang ditonjolkan di sini.

Wefie!

Cantik?

Ada pelbagai jenis bunga-bungaan di sini yang dibahagikan mengikut zon atau kawasan tertentu.


Tips :
Kalau anda nak bergambar atau ambil gambar bunga yang cantik, saya cadangkan anda masuk ke Flower Dome ini ketika hari siang supaya mendapat pencahayaan yang lebih baik. Kalau anda masuk ketika waktu malam seperti kami, mungkin tak semua gambar akan nampak cantik terutamanya kalau anda nak ambil gambar bunga dari jarak dekat.


Mika dah mula penat tu, duduk kat stroller je. Mama pula masih bersemangat.


Mika pakai topi Santa Clause yang kami dapat ketika di Canopy Park, Jewel Changi petang tadi.

Kedai menjual cenderamata yang terdapat di sini.

7.33pm - Seterusnya, kami menuju ke Cloud Forest pula.

Air terjun yang menjadi tarikan utama di Cloud Forest ini.

Sama seperti di Flower Dome, rasanya lebih cantik bergambar kalau masuk ke sini ketika hari siang.



Menikmati alam semula jadi di dalam bandar.

7.51pm - Selesai berjalan di Cloud Forest, kami menuju pula ke kawasan Supertree Grove, di mana event 'Christmas Wonderland' sedang berlangsung.


Menuju ke pintu masuk event.

Pintu gerbang LED.

Terdapat gerai-gerai makanan dan aktiviti di bawah Supertree Grove ini, termasuk pentas utama di mana ada persembahan koir menyanyikan lagu-lagu bertemakan Krismas. Pengunjung pula terlalu ramai dan sesak di tengah-tengah kawasan ini.

Cantik kan?

Struktur yang besar dan cantik ni rasanya dibuat sempena event ini je. Bukan tetap berada di kawasan Supertree Grove ini.


Kami ambil peluang duduk rehat di kawasan yang tak jauh dari pusat event tadi. 

Sini tak ramai sangat orang.


Masih bertenaga!

Di bawah ni adalah antara koleksi gambar Supertree Grove yang sempat saya ambil menggunakan telefon pintar.











8.40pm - Okay lah, masa untuk pulang ke hotel penginapan untuk rehat yang secukupnya.

8.55pm - Kami menaiki Grab untuk pulang ke hotel penginapan kami di Joo Chiat Road dan sampai kira-kira 10 minit kemudian. 

9.12pm - Kami di sini!




No comments :

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile