Friday 7 February 2014

Umrah 2014 Travelogue (DAY 7) : Mekah Al-Mukarramah

Hari Ketujuh : Selasa (14 Januari 2014) - Mekah Al-Mukarramah


Pagi kedua di Tanah Haram, Kota Mekah.

Pada hari ini, rombongan jemaah Zahafiz dibawa ziarah atau melawat ke Muzium Pameran 2 Masjid Suci dan Ladang Unta, sebelum dibawa menuju ke tempat untuk bermiqat, iaitu di Masjid Hudaibiyah. Kami diminta berkumpul di lobi hotel pada jam 7.30am.


Papan notis yang terdapat di hadapan pintu masuk ke dewan makan. Anda nampak apa yang pelik di situ? Oh My English !



Pemandangan sekitar di luar hotel penginapan kami, ketika menunggu kedatangan bas.



Ada peniaga yang sedang menjual jubah wanita kepada orang yang lalu lalang.

Kami tiba di Muzium Pameran 2 Masjid Suci ini pada kira-kira jam 8.50am. Namun oleh kerana kemasukan ke dalam kawasan muzium ini dikawal dan mempunyai kuota dan jadual lawatan tertentu, bas kami terpaksa menunggu di luar kawasan muzium ini selama hampir sejam, sebelum akhirnya dibenarkan masuk.

Di hadapan pintu masuk.

Suasana di dalam muzium.


Model miniatur menunjukkan keadaan Masjidil Haram selepas siap renovasi yang sedang dijalankan.

Ibu saya bergambar di hadapan gambar lama Masjidil Haram.

Bekas lama yang menutup makam Nabi Ibrahim sebelum ditukar oleh Raja Fahad Bin Abdul Aziz.


Bekas tapak kaki Nabi Ibrahim A.S.


Tangga ke pintu Kaabah.

Pancuran Emas yang terdapat di atas Kaabah.

Bingkai lama yang digunakan pada Hajarul Aswad.

Gegelung kuprum yang digunakan untuk menetapkan kedudukan Kiswah, iaitu kain yang digunakan untuk menutup Kaabah.

Mesin menjahit manual kain kiswah.


Bahagian kain kiswah yang menutup pintu Kaabah.

Rantai dan kunci pintu Kaabah.

Salah satu daripada tiang yang terdapat di dalam Kaabah.

Bahagian dalaman Kaabah.


Antara gambar lama yang turut dipamerkan.

Replika Mushaf Uthmani yang ditulis ketika era Saidina Uthman Bin Affan.

Model miniatur Masjid Nabawi.

Keratas rentas Telaga Zamzam.

Telaga Zamzam.


Kami selesai melihat pameran di dalam muzim ini selepas kira-kira 25 minit. Ruangan pameran hanya cuma satu tingkat. Rombongan jemaah kemudiannya diberikan sebotol kecil air zamzam setiap seorang selepas itu.

Satu pemandangan yang sempat saya perhatikan dan temui bersebelahan dengan muzium ini. Ianya adalah longgokan beratus, atau mungkin beribu kerusi roda yang telah rosak. Untuk dikitar semula?

Sekitar jam 10.30am, rombongan jemaah kami dibawa pula menuju ke Ladang Unta yang terdapat tidak jauh dari muzium pameran tadi. Kami tiba di Ladang Unta yang dimaksudkan kira-kira 10 minit kemudian.

Unta !

Salah seekor unta jinak yang tidak lari daripada pengunjung.

Di sini para pengunjung boleh membeli susu unta segar dan air kencing unta (untuk tujuan perubatan).

Harga bagi sebotol susu unta segar adalah 5 Riyal kalau tak silap saya. 

Selepas kira-kira 15 minit di Ladang Unta, rombongan jemaah kami dibawa ke Masjid Hudaibiyah untuk bermiqat. Di sana kami menyalin pakaian ihram dan bermiqat. Selepas itu kami dibawa pulang ke hotel sebelum masing-masing bergerak sendiri ke Masjidil Haram untuk menunaikan ibadah umrah.

Hari ini, kami sekeluarga dapat melaksanakan ibadah umrah ini bersama-sama buat kali pertama. Saya, dan 2 orang abang masing-masing bergilir menolak kerusi roda bapa kami ketika melaksanakan umrah. Selepas bersiap sedia di hotel dan menunaikan solat Zohor, kami sekeluarga menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan ibadah umrah.

Oleh kerana bapa kami berkerusi roda, kami sekeluarga dibenarkan untuk masuk ke tempat tawaf di tingkat 2, iaitu tempat tawaf bertingkat yang dapat anda lihat dalam entri sebelum ini. 

Laluan khas bagi mereka yang berkerusi roda untuk menuju ke tempat tawaf bertingkat.

Berdekatan dengan pintu masuk ke tempat tawaf bertingkat.

Di bawah adalah beberapa gambar yang sempat saya ambil di atas tempat tawaf bertingkat ini, selepas selesai menunaikan tawaf rukun bersama keluarga. Kami mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menyelesaikan 7 pusingan tawaf. Kalau anda tawaf di bawah, mungkin masanya akan lebih panjang kerana keadaan yang sangat sesak.

Keadaan tawaf di bawah memang agak sesak, dan agak sukar bagi mereka yang menolak kerusi roda.



Menara Jam Abraj Al Bait daripada tempat tawaf bertingkat.


Selepas selesai tawaf rukun, kami sekeluarga bergerak menuju ke Bukit Safa untuk menunaikan sa'ie dan tahalul. Kali ini saya berpeluang untuk bersa'ie di tingkat kedua, iaitu berbeza dari tempat sa'ie di tingkat satu, di mana kami melakukan sa'ie ketika umrah yang pertama kelmarin. 

Tempat sa'ie mempunyai tiga tingkat bagi menampung jumlah jemaah yang ramai. Apa yang berbeza antara tingkat satu dan dua ini adalah, di tingkat kedua, anda tidak akan melalui permukaan condong seperti menaiki bukit apabila menghampiri kawasan puncak Bukit Safa dan juga Bukit Marwah. Keadaan ini pasti memudahkan mereka yang tidak larat untuk menaiki permukaan condong atau mereka yang menolak kerusi roda. Di tingkat kedua ini, semua lantai adalah mendatar dan sekata.

Suasana pada jam 3.33pm di tempat sa'ie di tingkat kedua. Ianya juga kurang sesak berbanding di tingkat satu.

Anda boleh melihat ke tingkat 1 tempat sa'ie ini di kawasan Bukit Safa dan Bukit Marwah.

Suasana di kawasan Bukit Marwah.

Alhamdulillah, kami sekeluarga dapat menyempurnakan ibadah umrah buat kali kedua ini sebelum masuk waktu Asar. Kami seterusnya menunaikan solat Asar berjemaah di kawasan sa'ie ini, iaitu berhampiran kawasan Bukit Marwah, sebelum pulang ke hotel untuk berehat. 

Rombongan jemaah Zahafiz semuanya menginap di tingkat 12 hotel ini.

Shuttle Bus yang membawa penumpang ke Masjidil Haram yang saya temui ketika dalam perjalanan menuju ke Masjidil Haram menjelang waktu Maghrib. Shuttle Bus ini kerap kali saya jumpa, namun tak pasti pula kekerapannya dan di manakah hentian bas yang mengambil penumpang.

Tempat mengambil wuduk yang terdapat di luar masjid.

Ketika masuk waktu solat, iaitu ketika azan sedang berkumandang, puncak di atas menara jam ini akan menyala dengan lampu yang berwarna hijau.

Suasana ruang solat di atas bumbung Masjidil Haram selepas solat Isyak.

Selepas solat Isyak dan solat jenazah berjemaah, saya mengambil kesempatan untuk mencari makanan untuk makan malam. Teringin pula merasa 'makanan Arab', kerana di hotel penginapan kami, makanan yang disediakan adalah jenis makanan Indonesia kerana caterernya adalah dari Indonesia. Sedap atau tidak, itu terpulang kepada anda. Kita tak patut 'terlalu memilih' atau 'memberi komen' tentang makanan yang disediakan di hotel, apatah lagi di Tanah Haram ini. Kalau anda rasa atau kata 'tak sedap', mesti ia akan jadi tak sedap. Sebaiknya kita bersangka baik dalam segala hal di Tanah Haram ini, takut jadi pula perkara yang tidak diingini.

Anda ingin memiliki apartment yang betul-betul berhadapan dengan Masjidil Haram? Hubungilah nombor yang tertera. Anda boleh memiliki untuk tempoh 23 tahun. Mungkin kerana pihak Arab Saudi ada perancangan untuk pembangunan lain di masa depan di kawasan ini. Iklan ini saya temui ketika di dalam pusat membeli belah Abraj Al Bait.

Bagi anda yang rindukan makanan Malaysia, anda boleh mengunjungi Restoran Felda D'Saji di food court yang terdapat di tingkat 2, bangunan menara Al-Safwa yang terletak di sebelah kiri pusat membeli belah Abraj Al Bait.

Ketika berjalan di sekitar kawasan Masjidil Haram ini, saya sempat melihat pekerja-pekerja membersihkan kawasan luar Masjidil Haram ini. Mereka melakukan kerja pembersihan dengan pantas dan cekap. Di sini juga anda dapat melihat betapa banyaknya sampah dan kekotoran yang dihasilkan oleh pengunjung di sekitar kawasan Masjidil Haram ini. 

Ramai yang duduk berkelah serta makan makanan yang dibungkus di kawasan berhampiran masjid, dan ini yang sebenarnya menyebabkan kekotoran. Keadaan ini berbeza sekali dengan di Masjid Nabawi, mungkin kerana pengunjung di Masjidil Haram adalah lebih ramai.

Selepas puas mencari makanan, akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli makanan di restoran ini, yang terletak di food court, Al Safwa Tower.

Antara menu makanan yang dijual. 


Di hadapan pintu masuk/keluar pusat membeli belah di Al Safwa Tower.


Selain pusat membeli belah, Al Safwa ini memuatkan hotel untuk para jemaah.

Pintu masuk ke Al Safwa Tower yang terletak di sebelah kanan menara jam, atau dari hadapan Masjidil Haram, di sebelah kiri Pintu King Abdul Aziz.


Bersambung ke entry berikutnya... Hari Kelapan : Rabu (15 Januari 2014) - Mekah Al-Mukarramah

No comments :

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile