Wednesday, February 12, 2014

Umrah 2014 Travelogue (DAY 12 & 13) : Mekah Al-Mukarramah - Jeddah - KLIA

Hari Keduabelas : Ahad (19 Januari 2014) - Mekah Al-Mukarramah - Jeddah


Pagi ketujuh, dan terakhir di Tanah Haram, Kota Mekah.

Hari ini rombongan jemaah Zahafiz akan bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah untuk berangkat pulang ke Malaysia. Kami diminta menurunkan dan mengumpulkan beg bagasi di lobi hotel seawal jam 10.00am. Jemaah diminta menyempurnakan tawaf wida' selepas solat Zohor dan kembali ke hotel penginapan untuk berkumpul pada jam 2.30pm di lobi, sebelum bertolak menuju ke Jeddah.


Suasana berhampiran Masjidil Haram sekitar jam 3.36am.


Berhampiran Kaabah, menjelang masuk waktu solat Subuh.



Kami sekeluarga tiba di Masjidil Haram untuk menunaikan tawaf wida' menjelang waktu solat Zohor. Sekali lagi kami dibenarkan menggunakan laluan tawaf bertingkat kerana kami bergilir-gilir menolak bapa kami yang menggunakan kerusi roda.

Menuju ke tempat tawaf bertingkat.



Laluan ke tempat tawaf bertingkat.


Alhamdulillah, kami sekeluarga dapat menunaikan solat Zohor dan kemudian menunaikan tawaf wida', iaitu tawaf selamat tinggal, kerana kami akan meninggalkan Kota Mekah.

Di bawah adalah gambar-gambar yang sempat saya ambil ketika dan selepas menunaikan solat Zohor dan tawaf wida' di atas tempat tawaf bertingkat.


Pengawal membukakan ruang untuk imam masuk dan mengimami solat Zohor berjemaah.

Pengawal yang bertugas berhampiran Hajarul Aswad dan Multazam.

Kawasan Hijir Ismail yang dikosongkan menjelang solat Zohor.



Seorang jemaah yang dibawa keluar oleh pengawal atau askar bertugas, mungkin kerana dia bertindak liar dan tidak mengikut arahan. 

Di sini, iaitu di Tanah Haram Madinah dan Mekah, anda harus banyak bersabar dengan karenah dan tingkah laku jemaah lain, kerana pada pendapat saya mereka agak kurang berdisiplin dan mementingkan diri sendiri, berbeza dengan jemaah dari Malaysia dan Indonesia yang lebih tertib dan teratur. Mungkin kita akan berasa aneh dan geleng kepala kerana dalam hal ingin beribadah pun, mereka sanggup berkelakuan yang tidak sepatutnya.

Suasana Kaabah selepas solat Zohor. Pada jam 1.28pm. Selepas saya selesai menunaikan solat Zohor dan tawaf wida'.

Matahari betul-betul di atas bangunan Menara Jam Abraj Al Bait.


Kawasan Hijir Ismail dipenuhi jemaah sebaik selesai solat Zohor berjemaah.

Makam Nabi Ibrahim yang dikerumuni jemaah.

Ibu, bapa, dan 2 orang abang saya bergambar kenangan selepas selesai menunaikan tawaf wida'. Pastinya hati akan terasa rindu untuk kembali ke Tanah Haram Mekah ini.

1.40pm. Selepas selesai menunaikan tawaf wida' kami sekeluarga pun bergerak keluar dari Masjidil Haram untuk pulang ke hotel penginapan untuk berkumpul dan bertolak ke Jeddah.

Ini adalah bekas plastik yang disediakan di pintu masuk ke dalam masjid untuk mengisi dan menyimpan kasut atau selipar anda.

Pastinya akan merindui tempat ini. Laluan untuk orang berkerusi roda seperti yang dapat anda lihat dalam gambar di atas adalah laluan yang membawa anda menuju ke tempat tawaf bertingkat. Ianya terletak di kawasan sebelah kanan Pintu King Abdul Aziz.

Antara bangunan hotel penginapan yang terdapat sekitar kawasan Masjidil Haram.

Semoga Allah S.W.T. menjemput aku lagi datang ke sini, insyaAllah.


Berjalan menuju ke hotel penginapan.

'Kawasan burung merpati'.



Walaupun mengikut jadual kami diminta berkumpul jam 2.30pm, namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, bas hanya sampai kira-kira jam 3.42pm.

Ibu saya bergambar bersama jemaah Zahafiz yang lain.

Ibu dan bapa saya bergambar bersama sebahagian daripada rombongan jemaah Zahafiz yang menginap di Hotel Al Saraya.

Setelah hampir sejam menunggu, akhirnya bas kami tiba.


Selamat tinggal Saraya Hotel.

Selepas selesai memindahkan barang-barang masuk ke dalam bas, rombongan jemaah kami pun bertolak terus menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah. Kami tiba di lapangan terbang kira-kira jam 5.30pm.

Matahari mula terbenam.


Di sini juga menyediakan perkhidmatan safewrap untuk membalut beg bagasi dengan plastik agar lebih kukuh. Ia juga menjual air zamzam dalam botol yang dibalut khas. Sebarang botol air zamzam yang ingin anda bawa pulang ke Malaysia mesti dibalut dan dibungkuskan dengan kotak khas, barulah anda dapat check in bersama beg bagasi anda yang lain.

Ketika menunggu di dalam lapangan terbang.


Waktu berlepas kami dijadualkan pada 10.40pm.

Ibu dan abang saya ketika menunggu pintu gate diumumkan dan dibuka.

Suhu dan keadaan semasa di Jeddah pada jam 10.42pm.

Ketika kami sedang menunggu pintu gate dibuka, sedang berlangsung perlawanan EPL antara Chelsea FC menentang Manchester United. Menggunakan aplikasi dan wifi percuma yang terdapat di ruang menunggu, saya mengambil kesempatan untuk live streaming perlawanan ini di telefon. 

Walaupun tiada 'gambar', cukuplah sekadar mendengar suara commentary. Oh yea, Chelsea FC menang 3-1 pada malam itu, hasil jaringan hattrick Samuel Eto'o.

Abang dan bapa saya di ruang menunggu.

Akhirnya, kira-kira jam 10.45pm, pintu gate diumumkan dan dibuka untuk para jemaah bergerak menuju ke kapal terbang. 



Hari Ketigabelas : Isnin (20 Januari 2014) - Jeddah - KLIA



Kami berlepas dari Jeddah kira-kira jam 1.15am waktu Arab Saudi, iaitu 5 jam lebih awal dari waktu Malaysia.


Ketika di dalam penerbangan, saya sempat menonton 2 filem, salah satunya filem ini, Getaway (2013).


Antara maklumat perjalanan yang dipaparkan pada skrin penumpang.


Akhirnya kami tiba untuk mendarat di KLIA sekitar jam 12.41pm waktu Malaysia, selepas kira-kira 6 jam setengah perjalanan.

1.02pm. Keluar dari kapal terbang.

Selepas mengambil bagasi dan keluar dari balai ketibaan, kami sekeluarga disambut keluarga kami yang menunggu seawal waktu ketibaan kami.

Alhamdulillah, selesai sudah ibadah umrah kami sekeluarga untuk kali ini. Saya amat bersyukur kerana telah dijemput Allah S.W.T. dan berpeluang untuk datang ke Tanah Haram dan Kota Suci Mekah dan Madinah buat kali kedua, selepas kali pertama pada tahun 2008 yang lalu. Tambahan pula saya dijemput ke sana pada waktu saya betul-betul memerlukan. Pada saat saya betul-betul perlu mencari kekuatan, ketenangan, dan kesabaran dalam mengharungi dugaan hidup di dunia ini. Sesungguhnya perancangan Allah S.W.T. itu adalah indah buat setiap umatNya.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih, terutamanya kepada kedua ibu bapa saya, abang-abang saya, dan mereka yang sentiasa mendoakan keselamatan kami sekeluarga di sana. Tidak lupa juga terima kasih kepada mutawwif kami, Ustaz Ikram, dan peserta-peserta rombongan jemaah kami yang ramah dan sentiasa murah tangan untuk membantu ketika di sana. Dan terakhir sekali, terima kasih saya ucapkan kepada pihak syarikat Zahafiz yang bertugas sepanjang perjalanan umrah kami untuk kali ini.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada anda, pembaca entry Umrah 2014 yang saya tuliskan di blog ini. Diharapkan penulisan tentang pengalaman umrah saya ini sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran dan informasi tentang ibadah umrah yang mungkin akan anda tunaikan satu hari nanti, insyaAllah.

Di bawah saya sediakan 3 wallpaper Kaabah yang saya edit dan crop daripada gambar yang saya ambil di Masjidil Haram, 2 daripada Umrah 2014, dan 1 daripada Umrah 2008. Kata mutawwif umrah saya 5 setengah tahun yang lalu, ada 3 perkara di dunia ini yang kita dapat pahala hanya dengan melihat atau memandangnya sahaja, iaitu wajah kedua ibu bapa kita, Al-Quran, dan Kaabah. 

Wallpaper Umrah 2014

Wallpaper 1 : Klik SINI untuk download resolusi atau saiz sebenar.

Wallpaper 2 : Klik SINI untuk download resolusi atau saiz sebenar.

Wallpaper Umrah 2008

Wallpaper 3 : Klik SINI untuk download resolusi atau saiz sebenar.


Selamat menggunakannya! 


**Untuk para muslimah yang ingin menunaikan umrah, anda juga boleh pergi ke album facebook INI yang ditulis dan dikongsikan oleh seorang penulis dan pengembara muslimah. Beliau memberikan tips-tips berguna melalui gambar-gambar sepanjang perjalanan mengerjakan umrah.








7 comments :

yatie marsis said...

assalamualaikum saudara. maaf jika salah dari saya. mengikut apa yg mutawwif sampaikan dan apa yg dipelajari, adalah menjadi kesalahan yakni tak sah tawaf wida sekiranya kita mengambil gambar selepas tawaf wida. sekiranya masih di sana, kita perlu melakukan semula tawaf wida nya dan kiranya tidak, maka kita dikenakan dam. org yang diambil gambarnya, dan yang mengambil gambarnya juga dikenakan dam..wallahualam.

areev19 said...

waalaikumsalam puan yatie marsis. terima kasih atas perkongsian. seperti yang puan yatie katakan, wallahualam.

aLiXaL said...

Alhamdulillah.... syukur. Semoga kita semua terpilih sekali lagi menjadi Tetamu Allah... Aminn....

JMohamad Mohamad said...

Confirm. Selepas tawaf wida memang tidak boleh bergambar, kena bayar dam. Dalam kursus umrah dinyatakan, mutawif kami siap umum dalam bas semasa berlepas dari Mekah ke LT Jeddah. Sesiapa yang bergambar selepas tawaf wida sila bayar dam :)

Zayed Zack said...

tahniah..saya suka entry berkenaan umrah yang saudara cerita dalam blog ini. Seolah-olah saudara amat cekap dalam capture moment2 yang sgt penting semasa melakukan umrah, kerana ada insan yang sudah beberapakali pergi, masih tidak dapat peluang pergi ke tempat2 yang saudara dpt pergi..bestnya! insyaAllah jika ada peluang saya nk juga rasa saei di tingkat 2 dan 3, dapat pergi rooftop makkah, dan madinah..

tahniah ats entry ini :)

Zayed Zack said...

btw, sy tercari2 gambar saudara yang botak licin tu, sampai last xjumpa!..hehe

areev19 said...

Terima kasih Zayed Zack atas komen saudara.

Alhamdulillah, umrah ini umrah kedua saya, jadi mungkin saya sudah tahu serba sedikit mengenai perkara-perkara penting atau menarik yang ada di sana. Dan memang sudah menjadi kebiasaan, saya akan mencatat dan merakamkan gambar di setiap perjalanan atau tempat yang saya pergi dengan niat ingin berkongsi pengalaman kepada semua orang. terutamanya yang membaca blog ini.

InsyaAllah, semoga saudara dapat menunaikan niat saudara ke Tanah Haram nanti. Terima kasih sekali lagi kerana sudi luangkan masa membaca catatan perjalanan umrah saya ini.

p/s : gambar botak licin tu utk simpanan sendiri je. hehe. :)

 

Be My Followers

About Me

My photo
KICKERS_areev / PSN & Origin ID & Steam ID : areev19

WE/PES/FIFA Clan